Rate

BAB 127

Romance Series 197165

Esoknya Tengku Arissya ke hospital, dia sudah meminta daripada Hud Mikail untuk bermalam di hospital pada malam itu. Dia mahu sentiasa ada dekat dengan Tengku Harith Zaqwan.

Hud Mikail terpaksa akur kerana dia faham Tengku Arissya risaukan keadaan Tengku Harith Zaqwan. Jadi biarlah jika itu yang Tengku Arissya mahukan dia turuti saja.

Tengku Arissya tersenyum sendiri apabila memandang wajah cintanya itu, lalu memberi salam, "Assalamualaikum abang. Good morning!"

"Abang apa khabar hari ni? Semalam Arissya balik kejap, pagi ni Arissya datang sini lagi nak temankan abang. Abang cepatlah bangun ya.." sambungnya lagi sambil melabuhkan punggungnya di kerusi.

Tengku Arissya diam seketika, dia tahu Tengku Harith mendengar. Dia mahu meluahkan sesuatu. Dia kembali bersuara.

"Arissya nak luah sesuatu kat abang ni, hmm... sebenarnya Arissya masih sayangkan abang. Ya, betul selama ni Arissya ego, langsung tak pedulikan hati dan perasaan abang. Abang nak tahu tak sebab apa?"

Suasana sunyi, tetap sunyi. Tengku Arissya kembali meneruskan luahan hatinya.

"Sebab Arissya terluka, sakit hati dan kecewa dengan abang. Abang tak pertahankan pun rumahtangga kita. Abang tak halang pun Arissya pergi. Abang biarkan aje. Arissya terasa hati tau.."

Tengku Arissya cuba menahan sebak di dadanya.

"Arissya ingat abang akan halang Arissya pergi, tapi tak! Abang diam aje. Abang buat tak tahu. Arissya tak sukakan semua tu sebab Arissya berharap pada abang, abang akan halang Arissya pergi.."

Kali ini Tengku Arissya menangis tapi dia masih meneruskan kata-katanya, "Abang tahu tak, susahnya ada kat negara orang. Jauh dari family. Arissya sorang-sorang kat Paris tu. Sakit demam Arissya sendiri. Tak ada abang yang menemani. Arissya sedih sangat. Arissya tak tahu nak luah macam mana, tapi semuanya menyakitkan.."

"Arissya kena migrain teruk kat sana, fikir macam-macam pasal kita. Papa tak tahu yang Arissya selalu sakit kepala, Arissya diam sebab tak nak papa risau. Abang tahu tak Arissya selalu rindukan abang, tapi mana abang waktu tu? Abang tak ada pun di sisi Arissya. Ya! Memang Arissya marahkan abang, kita pun dah berpisah tapi kalaulah abang lebih faham semua yang Arissya lalui tentu abang takkan biarkan Arissya tanggung penderitaan ini.."

"Derita. Abang tahu tak kenapa Arissya sebut tentang derita? Sebab dahsyatnya hati perempuan yang kecewa kerana lelaki yang dia cintai. Ketika seorang perempuan mencintai lelaki, dunianya hanya lelaki itu. Bila seorang perempuan kecewa dengan orang yang dia sayang, dia berharap perpisahan tu takkan terjadi. Dia berharap lelaki yang dia sayang tu pertahankan hubungan tu, walaupun perempuan tu yang selalu ucapkan kata perpisahan. Perempuan bila dia sedih, sakit hati, terluka dan merasa kecewa semua benda dia luah. Arissya tak pernah pun bermimpi yang kita akan akhiri cinta kita dengan perpisahan tapi kebisuan abang buat Arissya makin menderita. Abang tak sungguh-sungguh sampaikan Arissya rasa terbuang," luah hati Tengku Arissya. Terdengar esak kecil tangisnya. Jari jemari Tengku Harith Zaqwan tiba-tiba mula bergerak perlahan.

"Arissya ego sebab tak dihargai. Arissya nak abang rasa sakit yang sama macam Arissya rasa. Arissya nak abang sedar sesuatu. Arissya nak abang rasa sakitnya bila orang yang kita sayang tak pedulikan kita. Arissya cuma nak bagi pengajaran pada abang bukannya menghukum. Abang pun kena faham hati Arissya. Abang terlanjur bukan dengan perempuan lain, tapi dengan Tengku Qistina. Perempuan yang abang pernah bina impian untuk hidup bersama dia, itu yang memedihkan hati Arissya bila tahu hakikat tu, sedangkan Arissya ni isteri abang sebelum ni.."

Jari jemari Tengku Harith Zaqwan masih bergerak-gerak.

Tengku Arissya menyeka air matanya perlahan, dia kembali menyambung luahan hatinya.

"Abang tahu tak Arissya nak halang abang balik Malaysia tapi tak sempat. Arissya memang merancang nak balik Malaysia juga, tapi disebabkan urusan kat sana tak settle Arissya balik lewat. Arissya langsung tak tahu abang sakit kat sini, ada kat wad. Semua orang tak bagitahu Arissya. Papa tipu Arissya bagitahu yang dia sakit, tapi sebenarnya abang yang sakit. Arissya lagi sakit hati bila semua orang sembunyikan daripada Arissya punca abang jatuh sakit. Nasib baik ada Darius dan Rubina yang sudi cerita everything. Abang sakit sebab Arissya rupanya. Gara-gara abang nak selamatkan Arissya daripada Aakif Aryanz, abang yang akhirnya jatuh sakit akibat jangkitan kuman disebabkan luka tikaman tu. Ya Allah.. Arissya sedih sangat bila tahu pasal ni. Arissya rasa nak menjerit meraung.."

"Abang.. Arissya tak dapat balik nak ubah masa, tapi Arissya janji akan selalu temankan abang selagi abang sudi. Jaga abang sepanjang abang sakit. Maafkan Arissya abang. Arissya banyak salah dengan abang. Maafkan Arissya," ucap Tengku Arissya sebak. Mengalir laju air matanya kerana terlalu sedih. Dia menyembamkan mukanya ke katil itu.

Tangan Tengku Harith Zaqwan kini sudah bergerak-gerak. Tangan itu menyentuh kepala Tengku Arissya, namun matanya masih rapat terpejam.

"Abang..." Ucap Tengku Arissya terkedu. Dia segera memanggil doktor. Doktor segera datang ke bilik wad itu untuk memeriksa keadaan Tengku Harith Zaqwan, manakala Tengku Arissya di arahkan keluar bilik wad itu seketika.

"Arissya kenapa you ada kat luar ni?"

"Tangan Harith bergerak-gerak perlahan,"

"Alhamdulillah, mungkin ia petanda yang baik," balas Hud Mikail yang ke hospital pada pagi itu untuk melawat Tengku Harith Zaqwan.

"Tapi I tak pasti juga, Harith akan sedar atau tak sebab mata Harith masih terpejam walaupun tangannya bergerak.."

"Don't worry Arissya. I yakin Harith akan sedar," balas Hud Mikail gembira.

Hampir sejam barulah doktor keluar dari bilik wad Tengku Harith Zaqwan.

"Doktor macam mana dengan Harith?" Soal Hud Mikail.

"Alhamdulilah, ini satu keajaiban. Pesakit sudah sedarkan diri, dari segi kesihatan fizikal dan dalaman semuanya stabil," balas doktor itu tersenyum gembira.

Tengku Arissya senyum, Hud Mikail juga.

"Tapi...."

"Tapi apa doktor?" Soal Tengku Arissya berdebar.

"Pesakit mengalami amnesia anterograde," ucap doktor itu.

"Amnesia anterograde?"

"Amnesia atau hilang ingatan adalah suatu gangguan dalam hal mengingat informasi, pengalaman atau kejadian, serta kesulitan dan membentuk ingatan baru. Penyakit ini dapat terjadi secara tiba-tiba mahupun perlahan-lahan. Tapi you all berdua jangan risau, biasanya gejala amnesia anterograde hanya bersifat sementara," jelas doktor itu membuatkan Tengku Arissya dan Hud Mikail sedikit merasa lega.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience