Rate

BAB 173

Romance Series 197165

Seminggu kemudian..

Sejak Tengku Arissya marahkan Tengku Harith Zaqwan, semenjak itulah mereka berdua tidak lagi bertemu. Namun Tengku Harith Zaqwan sentiasa tahu perkembangan bekas isterinya itu melalui Rokiah a.k.a Sharleez.

Selama seminggu Tengku Arissya langsung tidak mempedulikan Tengku Harith Zaqwan. Mendengar nama bekas suaminya itu sudah pasti akan mengundang kemarahannya. Dia begitu membenci Tengku Harith Zaqwan. Sebenci-bencinya. Bayang lelaki itu juga tidak ingin dilihatnya.

Sekarang hubungan Tengku Arissya lebih akrab dengan Faqrul. Setiap hari mereka akan keluar makan berdua. Kadang-kala mereka juga keluar bersama pada hujung minggu. Tengku Arissya tidak lagi menyekat dirinya untuk keluar dengan sesiapa saja, bagi dia Faqrul seorang lelaki yang baik dan memahami dirinya.

Mungkin Tengku Arissya terlupa, dia juga pernah menganggap Aakif Aryanz seorang lelaki yang baik dan memahaminya, tapi apa kesudahannya? Dia dianiayai oleh lelaki yang disanjungnya setinggi langit. Siapa yang datang pada waktu itu menyelamatkan nyawanya? Menyelamatkan maruahnya yang hampir diragut oleh manusia iblis itu?

Tengku Harith Zaqwan penyelamatnya. Lelaki yang selalu dihinanya, dimarahinya dan disakitinya berulangkali. Sampai akhirnya Tengku Harith Zaqwan terlantar diatas katil hospital akibat jangkitan kuman. Semuanya kerana bidadarinya. Bidadari yang tidak pernah berhenti berdegup di setiap denyut jantungnya. Kasih sayang lelaki itu setulus embun pagi, tapi malangnya rasa itu selalu dipandang sepi Tengku Arissya, sebab sakitnya masih mengaum dibunuh oleh saktinya cinta.

Terlalu buta rupanya mata hati Tengku Arissya. Dia terlalu bodoh. Bodoh kerana ego! Bodoh kerana sombong. Dia tidak belajar dari kesilapannya. Dia sedang mengulangi kesilapan yang sama, tapi kali ini entah takdir Tuhan yang mana akan menanti untuknya.

Barangkali dia fikir dia cukup hebat, cukup sempurna sehingga kesalahan Tengku Harith Zaqwan disebut berulangkali, sedangkan dia lupa yang dia juga pendosa tanpa noktah. Dia meletakkan hukuman yang cukup kejam pada Tengku Harith Zaqwan. Dia lupa hidup ini ibarat roda yang berputar. Suatu hari dia akan merintih kesakitan bersama linangan air mata kerana diburu kekesalan. Waktu itu dia perlu belajar erti redha dan pasrah.

Begitu sikap manusia, kadang-kala merasa diri paling dicintai, buatlah apapun.. tetap akan dicari, tetap akan dikejar sang kekasih. Namun mereka terlupa, akan ada satu fasa dalam hidup yang paling mencintai akan berhenti menyintai. Lelah dalam peperangan mengangkat sebilah pedang untuk menghunus musuh tidak sama memberi sepenuh hati berjuang untuk memiliki hati seorang kekasih. Hanya Tengku Harith Zaqwan yang tahu ertinya patah.

"Arissya malam ni keluar nak?" Soal Faqrul yang sedang menikmati makan tengah hari bersama Tengku Arissya.

"I tak boleh keluar malam ni,"

"Why?"

"Papa tak izinkan, lagipun semalam I dah keluar. Balik agak lewat pula tu,"

"Owh yeke? Hmm.. tak bestlah. Ingat nak ajak tengok wayang malam ni,"

"Ada movie baru eh?"

"Ha'ah.. movie best. Rugi kalau you tak pergi," balas Faqrul.

"Tengoklah macam mana,"

"I harap sangat you dapat pergi, pleaseee.. kali ni aje," pujuk Faqrul. Sengaja dia mengajak Tengku Arissya agar dapat meluangkan masa dengan gadis pujaan hatinya itu.

"Okay, malam ni I cuba cakap dengan papa nak jumpa Datin Helena, lepas tu kita keluar," balas Tengku Arissya sudah pandai belajar menipu. Tersenyumlah si Faqrul, bukan main gembira hatinya.

Tengku Arissya menuruni anak tangga dari tingkat atas, dia baru saja selesai bersiap mahu keluar dengan Faqrul pada malam itu. Kalau papanya masih tidak pulang dari kerja lagi senang, dia tidak perlu bersoal jawab.

"Arissya!"

"Eerr.. papa," ucap Tengku Arissya yang sudah berpaling ke belakang.

"Nak ke mana tu?"

"Arissya nak keluar kejap jumpa dengan Datin Helena. Datin nak jumpa Arissya, nak bincang pasal bisnes papa," balas Tengku Arissya.

"Laaa.. kenapa tak jumpa sebelum balik kerja tadi?"

"Owh tadi Arissya sibuk papa,"

"Okaylah, jaga diri tu baik-baik. Kalau boleh urusan bisnes jangan dibawa sampai ke malam, lagipun Arissya tu perempuan. Papa risau," pesan Datuk Mustaqim.

"Baik papa, papa jangan risau tau. Arissya tak pergi manapun, jumpa dengan Datin Helena aje," balas Tengku Arissya berjaya melepasi sesi soal jawab dengan Datuk Mustaqim.

Di sebalik perbualan dua beranak itu mereka diintip oleh Rokiah a.k.a Sharleez yang ada diruangan dapur. Dia akan segera memaklumkan pada Tengku Harith Zaqwan, lagipun Tengku Arissya kerap keluar pada waktu malam.

"Baik, thank's maklumkan pada aku," ucap Tengku Harith Zaqwan yang baru saja selesai menyiapkan kerjanya di ofis.

Ke mana Tengku Arissya pergi dia akan awasi. Biasanya Sharkief akan follow Tengku Arissya dan akan memberitahu keberadaan Tengku Arissya kepadanya. Selepas itu tugasan Sharkief akan diambil alih olehnya.

Tengku Harith Zaqwan memerhati gerak geri Tengku Arissya, kelihatan dia baru saja keluar dari keretanya. Tiba-tiba ada seorang lelaki datang menyapanya. Betul dugaannya, itu Faqrul. Jadi Tengku Arissya sanggup menipu Datuk Mustaqim demi lelaki tak guna tu. Dia tahu pun melalui Rokiah a.k.a Sharleez. Dia dimaklumkan Tengku Arissya akan keluar dengan Datin Helena tetapi sebaliknya yang dia sedang lihat.

Bukan main mesra mereka berdua. Sakit betul hatinya. Kalaulah dia tidak mengenangkan rancangannya sudah lama dia bertindak bodoh.

Tengku Harith Zaqwan keluar dari keretanya setelah menyalin pakaiannya dalam kereta. Ya, dia salin baju kemejanya, dia mengenakan sweater hitam dan topi agar tidak dikenali. Dia tetap perlu mengawasi Tengku Arissya dengan Faqrul. Dia tidak mahu lelaki itu melampaui batas.

Sampai saja di pawagam Tengku Harith Zaqwan duduk di bahagian belakang. Dapatlah dia lihat dari arah bawah. Dia menikmati saja movie itu tapi lama kelamaan matanya terasa mengantuk. Cuba ditahan tapi gagal, lagi pula tubuhnya terasa penat. Mana tidaknya dia baru saja balik dari kerja. Kerja di ofisnya juga berlambak, mahu mengawasi Tengku Arissya lagi. Allah saja Yang Maha Mengetahui betapa penatnya dia.

Tengku Harith Zaqwan tersedar hampir setengah jam kemudian, dia terkedu. Mana perginya Tengku Arissya dan Faqru? Nampaknya dia sudah kehilangan jejak mereka berdua. Tengku Harith Zaqwan berlari keluar, dia menuju ke arah tempat dia memakirkan keretanya. Jelas kereta keduanya sudah tiada di situ.

Tengku Harith Zaqwan bersandar di keretanya, dalam keadaan hatinya kehampaan. Dia kemudiannya perlahan-lahan jatuh terduduk bersandar, topi yang dipakainya dibuang. Lelahnya!

Terasa seluruh tubuhnya sakit, dia benar-benar penat. Dia kehilangan jejak Tengku Arissya, kalaulah dia tidak tidur sudah pasti dia tahu di mana keberadaan bekas isterinya saat ini. Namun kini hanya doa yang mampu dia panjatkan semoga Tengku Arissya sentiasa berada dalam jagaan Allah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience