Rate

BAB 215

Romance Series 197165

Tengku Qistina tidak senang duduk. Remy dan Gee memaklumkan yang dia tidak dapat menjejaki Sharleez.

"Takkanlah kau berdua tak tahu siapa perempuan tu?" Soal Tengku Qistina tidak berpuas hati.

"Aku dah puas cari tapi tak tahu siapa dia bos," balas Gee.

"Mustahil!"

"Betul, aku tak jumpa bos," tokok Remy, sedangkan dia mengetahui siapa sebenarnya Sharleez walaupun tidak mengetahui secara mendalam.

Namun dia mengakuinya, perempuan itu benar-benar hebat dalam seni mempertahankan diri. Dia juga boleh kalah dengan perempuan itu.

"Aku tak percaya! Aku yakin perempuan tu tak lari jauh ke mana.. cuma kau berdua gagal menjejakinya. Aku nak kau cari dia sampai jumpa. Bawa dia pada aku!" Jerit Tengku Qistina dihujung bicaranya.

"Tapi bos..."

Belum sempat Gee mahu meneruskan kata-katanya, satu tamparan hinggap di pipinya.

"Aku tak sukakan alasan!"

"Okay bos!"

"Ada apa-apa lagi bos?" Soal Remy.

"Kau berdua boleh pergi sekarang," balas Tengku Qistina yang masih berdiri membelakangi Gee dan Remy.

Gee melepaskan keluhan berat, "Hisyh aku geramlah dengan bos tu, suka hati aje tampar aku. Kalau tak ingatkan dia tu perempuan dah lama aku belasah.."

"Gila! Hey, dia tu bos kita tahu tak. Kalau kita tak buat kerja mana nak dapat duit.."

"Arghhh persetankan semua tu!" Marah Gee agak tertekan.

"Sabar bro!" Pujuk Remy.

"Kalau aku jumpa perempuan tu siap! Nahas aku kerjakan dia.."

Tengku Arissya termenung dijendela. Sejak dari tadi dia asyik berkurung dalam biliknya.

"Sayang... abang tak nampak pun kelibat Kak Arissya?"

"Berkurung dalam biliklah tu," balas Tengku Elvia bersahaja.

"Sayang ajaklah Kak Arissya makan ke apa. Abang rasa dia tak makan lagi tu.."

"Dia dah dewasa abang, tahulah dia mencari makan sendiri," balas Tengku Elvia.

Tengku Emir Danish melepaskan keluhan kecil, dia tahu isterinya marahkan kakaknya. Namun sikap begitu tidak baik. Segera dia menasihati isteri kesayangannya.

"Sayang dah tak sayangkan Kak Arissya ke?" Soal Tengku Emir Danish. Tengku Elvia terdiam dia hanya memandang kosong skrin televisyen di hadapannya itu.

"Dulu abang ingat lagi, sayang cakap dengan abang. Sayang rela berkorban apa saja untuk Kak Arissya. Ya sayang abang nampak semua tu, sayang ke Paris dan tangguhkan perkahwinan kita dulu semata-mata nak jejaki Kak Arissya, pujuk dia balik Malaysia. Tapi..."

Belum sempat Tengku Emir Danish menghabiskan ayatnya, Tengku Elvia membantah, "Cukup abang! Tak perlu ingatkan Elvia semua tu lagi.."

"Perlu sayang, sebab sayang seolah-olah menghukum Kak Arissya. Kenapa mesti abaikan dia bila semua ni terjadi? Sayang tahu tak, Kak Arissya tu perlukan sayang.. adik dia.. nak lagi dalam keadaan sekarang ni, dalam keadaan yang paling sulit untuk dia terima kenyataan pahit tu.."

Tengku Elvia memandang seraut wajah suaminya dengan rasa tidak puas hati, "Tapi akak tetap salah! Dia degil, bodoh sombong. Elvia penatlah abang. Bila dah jadi macam ni tanggunglah sendiri!"

"Jangan terlalu mementingkan diri sendiri, Tengku Elvia!" Ucap Tengku Emir Danish agak tinggi nada suaranya, secara tak langsung ia mengundang rasa kecil hati isterinya.

"Abang tak faham. Keadaan sekarang dah berbeza. Elvia tak ada niat pun nak menghukum akak. Tapi Elvia nak satu benda aje, biar akak boleh fikir sendiri dan buat keputusan sendiri, jalan mana yang dia nak pilih lepas ni..

Sebaik menghabiskan kata-katanya, Tengku Elvia bangkit dari duduknya. Namun pantas tangan sasa milik Tengku Emir Danish memegangnya.

"Apa abang?" Marah Tengku Elvia. Dia agak terasa apabila suaminya meninggikan nada suaranya tadi. Bukanlah dia membenci, apalagi ingin memingkirkan kakaknya. Tapi untuk kali ini dia mahu Tengku Arissya membuat keputusannya sendiri. Apa tindakan yang akan dia lakukan.

Tengku Emir Danish bingkas bangun juga, pergelangan tangan itu ditarik lembut agar dekat dengannya, "Abang minta maaf kalau sayang berkecil hati dengan abang. Abang ingat...."

"Faham. Mungkin cara Elvia ni semua orang akan fikir Elvia menghukum akak.."

"Ya abang faham, dah ya. Maafkan abang.." balas Tengku Emir Danish memeluk isterinya, seakan memujuk.

Dari pagi Tengku Arissya hanya makan roti dan minum air yang sudah sedia ada dalam biliknya. Dia tidak ada hati mahu keluar bilik. Hatinya masih dilanda kesedihan yang maha hebat.

Jam 3.00 pagi perutnya tiba-tiba terasa sakit. Tengku Arissya bingkas bangun, dia memegang perutnya seakan menahan rasa sakit. Bercampur dengan sakit kepalanya yang kian berdenyut. Mungkin dia sudah terkena gastrik dan migrain. Dia berusaha bangun perlahan dari pembaringannya, dia mahu mencapai segelas air ditepi mejanya namun gagal. Gelas kaca itu terhempas, lalu jatuh. Kuat kedengarannya.

Tengku Elvia yang kebetulan lalu dikawasan bilik kakaknya terkedu apabila bunyi kaca terhempas, dia segera mengetuk pintu. Meminta kakaknya membuka pintu biliknya.

"Kakak!"

"Buka pintu ni! Akak kenapa ni?" Panggilnya berulang kali kerana risau. Tengku Arissya sudah tidak terdaya. Dunianya terasa kian gelap.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience