Rate

Chapter 203

Romance Completed 26118

Bab 203

“Kenapa ayah?” Tanya Sachary ingin tahu.

Dato’ Mustadza memandang wajah si anak dengan tubuh gementar. Mulutnya cuba dibuka namun dia gagal melafazkan kata-kata.

“Ayah, kenapa ni?’ Sachary mula gelisah. Sikap lelaki itu membuatkan jantungnya berdebar-debar tidak keruan. Jangan-jangan ada berita buruk tentang Suraya, desis hati kecilnya dengan nafas sesak.

“Sue…..Sue…dia…” Tergagap-gagap lelaki itu menyusun kata.

“Kenapa dengan Sue ayah?”

“Dia…dia diculik!”

“Hah?” Mata Sachary membulat. Sebelum dia sempat menenangkan diri, tubuh Dato’ Sachary sudah terjelepuk lemah di kerusi.

“Ayah..”panggil Sachary cemas.

******

Erman memandang wajah Sachary yang nampak muram. Dia sendiri terasa gelisah. Sesekali dia mengerling jarum jam di dinding ruang tamu. Jarum jam sudah menunjukkan pukul 8 malam. Sepatutnya Nashriq sudah sampai ke rumah pada waktu-waktu begini. Entah mana anak muda itu pergi.

Sejak petang tadi dia puas mencari kelibat Nashriq di pejabat namun gagal. Kata Anis, lelaki itu keluar sejak awal-awal lagi. Apabila dia bertanyakan Duha Maisara pula, Anis hanya menggelengkan kepala tidak tahu. Kata Anis, selepas makan tengahari Duha Maisara tidak pulang-pulang ke pejabat. Apakah Nashriq sedang bersama dengan gadis itu? Erman mengeluh kesal. Sepatutnya jika hendak keluar sekalipun, janganlah sampai tutup telefon.

Apabila mendengar bunyi anak kunci dipulas ke dalam lubang kunci, Erman dan Sachary saling berpandangan. Sebaik daun pintu dikuak, wajah Nashriq menjenguk masuk. Melihat Sachary dan Erman berada di situ, wajah Nashriq terus berubah.

“Kenapa? Ada berita tentang Suraya?” Tanyanya pantas.

Namun kedua-duanya tidak terus menjawab. Wajah Sachary resah memandang Nashriq yang sudah pun menghampirinya.

“Sach, kenapa ni? Apa dah berlaku?” Soal Nashriq ingin tahu.

“Ayah aku dapat panggilan pagi tadi. Suraya diculik Naz.” Beritahu Sachary membuatkan Nashriq tercengang. Diculik?

“Siapa yang culik dia?”

Sachary terduduk lemah. “Puas aku tanya tapi ayah tak nak beritahu. Dia pesan supaya kita tak buat apa-apa, dan yang paling penting jangan telefon polis. Dia takut nyawa Suraya terancam. Tapi aku rasa aku tahu siapa yang punya angkara.” Sachary memandang Nashriq dan Erman silih berganti.

“Siapa?” Erman tidak sabar ingin tahu.

“Berkemungkinan besar orang-orang dari A&K Corporation. Mereka pasti marah sebab ayah aku tak jadi serahkan saham-saham Mega Timur tu pada mereka.” Ujar Sachary.

Erman dan Nashriq saling berpandangan. Betulkah ini semua angkara A&K Corporation? Nashriq termenung panjang. Wajah Estella bermain di matanya. Entah kenapa berat hatinya mahu percaya wanita itu dalang semua kerja-kerja kotor ini. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia berperasaan begitu pada Estella Wong, padahal dia baru sahaja kenal wanita itu beberapa bulan yang lalu.

Nashriq tiba-tiba melangkah pantas ke muka pintu. Erman menoleh.

“Naz, kau nak ke mana malam-malam macam ni?” Soal Erman ingin tahu.

“Saya ada hal, nak keluar sekejap,” jawab Nashriq ringkas, seraya menghilang di sebalik pintu. Erman hanya mampu memandang dengan perasaan resah. Entah kenapa dia rasa cemas mahu melepaskan Nashriq pergi seorang diri. Jauh di dalam hati, dia dapat merasakan ada sesuatu yang mahu diuruskan oleh lelaki itu.

******

Terkejut Auntie Jing melihat kelibat seorang lelaki berdiri di hadapan pintu pagar banglo tiga tingkat itu malam-malam begitu. Beberapa kali lelaki itu menekan loceng pintu, namun dia masih teragak-agak mahu menghampiri lelaki itu. Entah mengapa, dia bimbang jika lelaki itu salah seorang lelaki yang dihantar oleh Albert Wong untuk mengawasi rumah itu.

“Siapa tu auntie?” Jason tiba-tiba muncul di situ sambil memandang ke arah pintu pagar.

“Entahlah Jason, auntie pun tak tahu.” Keluh Auntie Jing.

“Cik Estella di mana?”

“Dia tengah tidur. Sejak dua tiga hari ni dia kurang sihat.”

“Kalau macam tu tak apalah auntie, nanti saya pergi tengok siapa dia.” Ujar Jason seraya melangkah keluar dari pintu.

“Hati-hati Jason,” pesan Auntie Jing sedikit resah.

Jason segera menuju ke arah pintu pagar. Lelaki yang masih tercegat di situ dipandang agak lama. Entah mengapa dia bagaikan pernah melihat lelaki itu dulu.

“Ya, encik ni nak cari siapa?” Tanya Jason agak sopan.

“Saya nak cari Estella Wong.”

“Maaf, Cik Estella sudah tidur. Boleh saya tahu kenapa dan apa hajat encik mahu bertemu dia malam-malam begini?”

“Beritahu dia saya Nashriq Adli mahu bertemu. Saya akan tunggu di sini sampai dia keluar.” Tegas Nashriq. Dia sudah tidak peduli meskipun dia bermandi embun di hadapan pintu pagar rumah perempuan itu.

Mendengar nama Nashriq, Jason terkedu seketika. Apa hajat lelaki itu datang? Namun melihat raut resah lelaki itu memandangnya, dia segera membuka pintu pagar.

“Masuklah, nanti saya kejutkan Cik Estella.” Ujar Jason. Nashriq segera mengekori lelaki itu memasuki perkarangan rumah tiga tingkat itu.

...bersambung

Bab akan datang:

Siapakah yang menculik Suraya? Apakah motif penculikan tersebut?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience