Rate

Chapter 137

Romance Completed 26118

Bab 137

Tapi semakin dia cuba, semakin dia sukar memadamkan ingatannya pada Duha Maisara. Kini dia pasrah. Dia akan menerima segala yang tertulis dalam lubuk hatinya tanpa menolak atau membantah.

“Puan Engku takkan setuju Naz, lebih-lebih lagi kalau dia tahu apa pekerjaan Duha sebelum ini.” Ujar Erman.

“Umi tak ada kena-mengena dalam hidup saya, bang. Saya akan aturkan hidup saya sendiri tanpa bayang-bayang umi.”

Erman mengeluh. Nashriq seperti sudah nekad. Dia sudah tiada ikhtiar mahu menghalang keputusan lelaki itu.

“Apa kau sudah pasti dengan kejujuran Duha Maisara?” Soal Erman lagi.

“Maksud abang?”

“Kau yakin yang dia mendekati kau bukan kerana wang dan kedudukan kau sebagai anak Zainal Ikram?” Tanya Erman.

Nashriq terdiam. Dia memandang Erman yang nampak tenang menuturkan kata-kata itu. Apakah Erman meragui bahawa Duha Maisara tidak jujur dengannya? Tidak! Aku yakin Duha Maisara bukan gadis begitu. Aku yakin dia gadis yang baik, suci seperti salji di Pergunungan Alps yang pernah dijelajahinya dua tahun yang lalu bersama Erman.

“Dan bagaimana dengan Raihana? Kau sudah lupa pada dia?”

Nashriq tersentak. Nama Raihana muncul semula sejak sekian lama. Dia termenung panjang.

“Kau dah tak mahu mencari dia lagi?”

“Bukan begitu.”

“Habis? Dulu, nama dia tak pernah lekang dari bibir kau. Tapi bila kau bertemu Duha Maisara, kau seolah lupakan Raihana yang pernah kau sayang dulu.” Tuduh Erman.

Nashriq terdiam. Betulkah begitu? Tapi hatiku masih mengimpikan untuk bertemu Hana. Tapi takdir ini aneh. Di saat rindunya berakar umbi terhadap gadis kecil itu, kehadiran Duha Maisara singgah di lubuk hatinya. Malah kadang-kala dia jadi keliru, apakah kerana imbas wajah Raihana terbayang di wajah Duha Maisara yang membuatkan dia menyukai gadis itu?

******

“Kami dah cuba hubungi Cik Duha tapi tak dapat. Sebab tu kami terpaksa hubungi Doktor Zafran pula.” Ujar jururawat itu.

“Maaf, telefon saya hilang entah ke mana. Apahal pihak institusi panggil saya? Ada sesuatu ke berlaku pada pesakit itu?” Tanya Duha Maisara sudah tidak sabar. Sejak tadi dia sudah membayangkan pelbagai kemungkinan buruk.

“Tak ada apa-apa yang buruk berlaku sebenarnya, tapi biarlah Doktor Habibah sendiri yang menerangkan pada Cik Duha.” Ujar jururawat berkulit hitam manis itu.

“Doktor Habibah dah pulang?”

“Ya, dia memang nak berjumpa sendiri dengan Cik Duha. Dia sedang menunggu Cik Duha di biliknya.”

Tanpa membuang masa, Duha Maisara segera melangkah laju ke bilik doktor wanita itu yang dia sudah sedia maklum di mana letaknya. Daun pintu diketuk beberapa kali. Setelah mendengar suara doktor wanita itu, barulah Duha Maisara berani menolak daun pintu di hadapannya.

Doktor wanita itu mengangkat kepalanya. Dia tersenyum apabila melihat Duha Maisara di situ.

“Duha, masuklah. Sejak kelmarin lagi saya menunggu kedatangan Duha.” Pelawa doktor itu. Tanpa berlengah, Duha Maisara segera melangkah masuk. Dia mengambil tempat duduk di hadapan wanita itu. Wajahnya penuh dengan kebimbangan. Doktor Habibah tersenyum tenang menatap wajah itu. Dia tahu perasaan anak gadis itu tidak tenteram.

“Ibu saya baik-baik saja kan doktor?” Tanya Duha Maisara sudah tidak sabar.

Doktor itu masih tersenyum. Dia mengangguk.

“Dia baik dan sihat. Duha tidak perlu risau.”

“Tapi kenapa doktor panggil saya ke mari? Saya sangkakan ada sesuatu yang berlaku pada ibu saya.”Ujarnya sedikit tenang.

“Memang ada sesuatu yang berlaku, tapi bukannya perkara buruk.”

“Maksud doktor?”

Doktor Habibah tidak terus menjawab pertanyaan Duha Maisara, sebaiknya dia bercakap melalui butang interkom di telefonnya.

“Zariah, tolong bawa Makcik Jamilah ke bilik saya sebentar.” Pinta Doktor Habibah. Duha Maisara mengerutkan dahinya. Dia tidak faham sebenarnya apa yang sedang berlaku.

“Nanti, Duha akan faham sendiri,” ujar Doktor Habibah apabila melihat wajah Duha Maisara yang seakan gelisah. Beberapa minit kemudian, seorang jururawat menjengah masuk sambil memimpin seorang wanita. Duha Maisara tergaman. Dia memandang wanita itu tidak berkelip. Mata wanita itu juga menyorot ke arahnya sambil tersenyum.

“Hana?” Panggil wanita itu.

Duha Maisara tersentak. Dia bingkas bangun dari kerusi yang di dudukinya. Wajah wanita itu dipandang teliti, mahu memastikan apakah pendengarannya tersilap. Dua minggu yang lalu, wanita itu masih tidak mampu mengenalinya. Kenapa tiba-tiba sahaja, wanita itu menyebut namanya pula.

“Hana tu nama asal Duha bukan?” Soal Doktor Habibah di sampingnya.

Duha Maisara hanya mengangguk. Matanya mula berkaca. Dia tidak sangka wanita yang amat dirinduinya itu sudah kenal siapa dia.

“Mak…” panggil Duha Maisara pula. Perlahan-lahan kakinya melangkah ke hadapan wanita itu. Pipi ibunya yang cengkung diusap perlahan. Dia tidak dapat menahan perasaan sebaknya.

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah ibu Duha sudah semakin sembuh?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience