Rate

Chapter 122

Romance Completed 26118

Bab 122

Dia terpaku memandang cincin bertatah berlian itu yang terbentuk cantik di dalam kotak.

“Cincin ni abang beli dua bulan yang lalu. Memang dah lama abang simpan hasrat untuk mengambil Duha sebagai isteri abang. Sejak kita sama-sama remaja, hasrat ini sudah abang simpan sejak dulu lagi. Sekarang yang tinggal hanyalah jawapan dari mulut Duha.” Bisik Zafran. Dia benar-benar mengharapkan Duha Maisara menerima lamaran hatinya. Namun gadis itu diam sahaja.

“Duha…” panggil Zafran apabila dilihatnya gadis itu terus membisu. Mata Duha Maisara tiba-tiba beralih memandangnya. Zafran terperanjat apabila melihat sepasang mata indah itu bergenang dengan air mata. Duha Maisara menatap lelaki di hadapannya dengan perasaan sebak. Oh Tuhan, kenapa harus Zafran menyimpan perasaan padaku? Bukankah lebih baik kalau di hatinya hanya mengenang aku sebagai adiknya. Tentu lebih mudah untuk aku berhadapan dengannya.

Demi-Mu, aku sayang pada Zafran. Dia adalah segala-galanya, kerana sedari kecil kami sudah menempuhi ranjau hidup bersama. Tapi cinta adalah sesuatu yang terlalu mahal untuk aku balas budi baiknya. Tapi pada masa yang sama, aku juga tidak sanggup untuk terus melukakan hati lelaki ini. Bantulah aku mencari jalan keluar ya Allah!

******

Nashriq memulas tombol pintu. Dia melangkah masuk dengan langkah longlai. Matanya sempat menjenguk ke arah bilik Erman, namun kelibat lelaki itu langsung tidak kelihatan. Masih belum balik barangkali! Dia tahu sejak akhir-akhir ini, Erman kerap melawat ibunya yang kini tinggal bersama adiknya di Petaling Jaya.

Nashriq melemparkan kot dan tali leher ke atas sofa, sebelum melangkah menuju ke arah peti ais. Dia mengeluarkan sebotol air mineral dari dalam peti ais lalu mula meneguk. Hilang rasa dahaga yang benar-benar memeritkan anak tekaknya sedari tadi. Bersama botol air mineral di tangan, Nashriq termenung panjang.

Ingatannya tumpah pada Duha Maisara yang langsung tidak mengangkat panggilannya atau menjawab mesej-mesej yang dihantarnya. Entah ke mana dia pergi agaknya. Seharian dia tidak bertemu dengan Duha Maisara, membuatkan rindunya membuak-buak. Balik dari Putrajaya petang itu, dia terus mencari kelibat Duha Maisara di pejabat. Tapi kebanyakan pekerja-pekerja di Mega Timur Construction sudah pulang, termasuklah Duha Maisara sendiri.

Tapi apabila dia pergi ke rumah gadis itu, tidak ada seorang pun yang membukakan pintu untuknya. Sudahnya dia mengambil keputusan menanti Duha Maisara di taman yang biasa didudukinya. Namun sampai ke malam kelibat gadis itu tidak kelihatan. Entah ke mana dia pergi. Atau dia marahkan aku? Tapi apa pula salah aku sehingga panggilan aku langsung tak dihiraukan, fikir Nashriq sedikit resah.

Bunyi deringan dari telefon bimbitnya yang tercampak di atas sofa membuatkan senyuman dari bibir Nashriq mula terhias. Dia segera meluru ke arah telefon bimbit, bagaikan sudah tidak sabar mahu menjawab panggilan itu.

Namun sejurus mendengar suara Erman, senyuman Nashriq mula pudar. Sangkanya Duha Maisara yang menghubunginya.

“Naz, abang ni. Abang nak beritahu kau yang mungkin abang tak boleh ikut kau bermesyuarat di Pulau Pinang. Mak abang kena serangan strok petang tadi.” Suara Erman bagaikan tersekat-sekat. Dia tergaman.

“Bagaimana keadaan mak abang?”

“Kami dah bawa di ke hopsital. Mujurlah kami cepat hantar ke hospital, kalau tidak, tak tahulah apa mungkin berlaku.”

“Nanti saya datang, mak abang di hospital mana?”

“Tak payah Naz, kau kena ambil penerbangan awal pagi esok. Lagipun mesyuarat penilaian dengan pihak CIDB tu penting. Kau kena bersedia.” Ujar Erman tidak setuju.

“Okey, abang nak jenguk mak abang dulu. Bye.”

Nashriq terus terdiam apabila perbualan singkatnya dengan Erman terhenti begitu sahaja. Dia mengeluh panjang. Kasihan Erman. Tentu dia susah hati kerana keadaan ibunya yang kerap sakit sejak akhir-akhir ini.

******

Duha Maisara baru sahaja hendak melangkah memasuki bangunan pejabat Mega Timur Construction apabila dia terdengar bunyi hon kenderaan dibunyikan agak kuat membingitkan telinganya. Dia lekas berpaling. Sebuah Toyota RAV4 berwarna silver metalik yang amat dikenalinya sudah menanti di hujung jalan.

Kepala Nashriq terjenguk dari dalam kereta seraya melambai ke arahnya. Duha Maisara tergamam. Dia ragu-ragu mahu melangkah ke arah lelaki itu. Namun melihat wajah Nashriq bagaikan naik radang melihatnya, mahu tak mahu Duha Maisara terpaksa melangkah ke arah kereta lelaki itu.

“Masuk. Aku nak kau ikut aku ke satu tempat.” Suruh Nashriq sambil membukakan pintu di sebelahnya.

“Tapi saya…”

“Aku kata masuk, masuklah.” Suara Nashriq sudah mula meninggi. Mahu tak mahu, Duha Maisara terpaksa melangkah masuk dengan wajah sebal. Nashriq selalu begini, suka memaksanya membuat sesuatu yang dia tidak gemar.

“Kita nak ke mana ni?” Tanya Duha Maisara.

...bersambung

Bab akan datang:

Ke mana Nashriq ingin membawa Duha pergi?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience