Rate

Chapter 179

Romance Completed 26118

Bab 179

Tangan Nashriq tiba-tiba hadir di bahu ibunya. Engku Latifah berpaling. Hilang sekejap wajah suaminya berganti dengan wajah Nashriq yang masih di situ.

“Umi jangan risau, soal syarikat, saya akan usahakan mana yang termampu. Sebaik-baiknya umi rehat saja dan jangan banyak berfikir. Insya Allah, tentu ada jalan keluar untuk kita nanti,” ujar Nashriq. Dia melangkah ke muka pintu. Namun belum sempat jauh langkahnya, dia teringatkan sesuatu. Wajahnya dipalingkan.

“Umi, saya jumpa Pak Cik Asri kelmarin,” beritahu Nashriq tiba-tiba. Engku Latifah tersentak. Terkejut mendengar nama yang meniti dari bibir Nashriq sebentar tadi.

“Dia dah balik ke mari. Dia sampaikan salam pada umi,” bisik Nashriq perlahan. Namun Engku Latifah diam sahaja. Dia tidak memberi sebarang komen terhadap kata-kata Nashriq. Namun jauh di sudut hati, dia seakan resah dengan kepulangan lelaki itu. Apa mahunya sekarang?

******

“Kenapa dengan abang ni?” Terburu-buru dia bertanya apabila melihat lelaki itu terbaring di atas katil tidak bermaya. Wajah Zafran pucat lesi. Sebotol air dimasukkan melalui tiub intra-vena di tepi katil. Zafran diam sahaja. Dia hanya tersenyum memandang Duha Maisara yang keresahan.

“Abang tak apa-apa, Duha janganlah risau.” Ujar Zafran perlahan.

“Mana boleh tak risau, abang jarang jatuh sakit macam ni. Doktor, macam mana dengan abang saya?” Tanya Duha Maisara pada doktor lelaki yang baru memeriksa keadaan Zafran.

“Doktor Zafran ni tak apa-apa. Agaknya sebab terlalu penat bekerja, itu yang menyebabkan suhu badannya panas sedikit. Adik tak payahlah risau. Okey Zafran, aku keluar dulu. Kau rehat sahaja malam ni,” doktor itu tersenyum sebelum berlalu pergi.

Sebaik doktor itu berlalu pergi, Duha Maisara terus merapati Zafran. Dahi lelaki itu disentuh dengan jarinya. Mata Zafran mengekori tindak tanduk Duha Maisara.

“Hmm panas sedikit, memang abang ni demam. Abang nak apa-apa tak, nanti Duha pergi belikan,” ujar gadis itu ingin beredar. Namun tangan Zaftan cepat memaut lengan gadis itu. Duha Maisara tidak jadi melangkah.

“Tak payah, abang tak ada selera nak makan. Duha duduk sini, temankan abang sampai abang tidur boleh?” Pinta Zafran. Duha Maisara terkedu. Namun melihat wajah Zafran yang seolah berharap, dia tidak sampai hati mahu menghampakan permintaan lelaki itu. Akhirnya dia mengangguk seraya tersenyum. Zafran kelihatan lega.

“Macam mana abang boleh demam ni? Selalunya abang kan jarang sakit.”

“Duha ingat abang ni manusia yang ada kuasa magik ke? Abang ni manusia juga, akan ada masanya abang akan jatuh sakit sekali-sekala. Apa yang nak dihairankan.” Ujar Zafran tertawa kecil.

Duha Maisara tersenyum. Sedikit sebanyak hatinya rasa lega kerana Zafran masih mahu ketawa dengannya. Beberapa minggu lalu, mereka seperti orang asing. Masing-masing ke hulu ke hilir dengan hal masing-masing. Zafran sendiri sejak akhir-akhir ini sudah jarang menelefon atau mengajaknya makan. Dia teringat kata-kata doktor yang merawat Zafran tadi. Katanya Zafran terlalu kuat bekerja, betulkah? Mungkinkah Zafran menyibukkan dirinya di hospital kerananya? Kerana cuba melupakan pertelingkahan mereka dulu?

“Duha buat apa sekarang?” Tanya Zafran tiba-tiba merenung gadis itu.

“Maksud abang?”

“Duha masih bekerja di tempat tu?” Entah kenapa soalan itu pula yang terpacul dari bibir Zafran.

Duha Maisara terdiam. Namun dia mengangguk jua. Dia tidak mahu terus membohongi Zafran, kerana itu hanya akan membuatkan dia rasa berdosa pada lelaki itu. Zafran menarik nafas panjang. Dia boleh menduga jawapan gadis itu.

“Duha cintakan dia?” Tanya Zafran tiba-tiba. Matanya merenung jauh ke dalam anak mata Duha Maisara. Gadis itu nampak terkejut mendengar soalannya.

“Rasanya ini bukan kali pertama abang bertanya begini pada Duha. Tapi seperti biasa, Duha tidak pernah mahu memberikan jawapannya pada abang. Duha takut abang marah?” Duga Zafran. Dia benar-benar inginkan jawapan pada persoalan yang sudah lama bermain di fikirannya.

“Duha tak tahu.” Jawab Duha Maisara perlahan. Dia tunduk memandang ke bawah.

“Tak tahu?” Zafran mengerutkan dahinya. “Kalau itu jawapan Duha, maksudnya nasib abang dengan Nashriq sama sahaja. Kami sama-sama lelaki malang.” Ujar Zafran selamba.

“Atau Duha bimbangkan sesuatu?” Renung Zafran. Duha Maisara berpaling. Kata-kata Zafran membuatkan dia tambah tidak mengerti. Apa maksud sebenar lelaki itu.

Sepanjang malam tidur Zafran bertemankan Duha Maisara. Tapi dia terlena sekejap sahaja. Apabila matanya dialihkan memandang Duha Maisara, dilihatnya gadis itu sudah pun tertidur pulas. Entah mengapa timbul rasa serba salah di hati Zafran. Dia tidak sepatutnya meminta Duha Maisara menemaninya. Mungkin gadis itu kepenatan, jika tidak, masakan Duha Maisara terus terlena.

Lama matanya memandang wajah Duha Maisara yang kelihatan ayu dalam tidurnya. Sampai kini perasaannya pada Duha Maisara tetap sama. Cintanya akan terus ditabur meskipun tidak berbalas.

...bersambung

Bab akan datang:

Siapakah yang menjadi pilihan hati Duha sebenarnya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience