Rate

Chapter 23

Romance Completed 26118

BAB 23

Dia terpempan melihat seorang lelaki berkulit hitam dan berkepala botak, bersama dengan kawan-kawannya sedang bercekak pinggang di hadapan Mami Jun. Suara mereka menengking kuat. Duha Maisara mengerutkan dahinya. Meskipun suara herdikan lelaki-lelaki itu sampai di telinganya, namun dia tidak dapat mendengar dengan jelas kerana bergema seiring dengan bunyi muzik yang agak kuat di situ.

Tiba-tiba Duha Maisara merasakan tangannya disentap seseorang. Dia tercengang apabila menyedari Zarina menghelanya ke arah pintu. Wajah wanita itu pucat lesi.

“Kak Ina, kenapa ni?”

Dada Zarina turun naik menahan semput. Pertanyaan Duha Maisara tidak terus dijawab. Dia cuba bertenang. Melihat keadaan Zarina, Duha Maisara semakin hairan.

“Kak Ina, siapa lelaki-lelaki yang bercakap dengan Mami tu?” Soal Duha Maisara ingin tahu.

“Duha tak kenal siapa mereka?” Tanya Zarina, cemas.

Gadis itu menggeleng. Zarina terpinga-pinga.

“Duha tahu tak mereka semua tu tengah cari Duha. Ini mesti ada kena mengena dengan ayah Duha tu. Mereka kata, selagi mereka tak dapat Duha, mereka takkan beredar dari sini. Mami yang suruh kakak cari dan halang Duha dari keluar ke pentas. Mami suruh Duha menyorok dulu.” Jelas Zarina termengah-mengah.

Duha Maisara tercengang. Cari aku? Tapi kenapa? Perlahan-lahan Duha Maisara mara ke arah pintu. Dari situ dia memandang ke arah lelaki-lelaki yang bertekak dengan Mami Jun. Mujurlah ada beberapa orang bouncer di sisi Mami Jun, serta beberapa pelanggan lama Blue Ocean yang turut campur tangan.

Mata Duha Maisara terfokus ke arah lelaki botak itu. Wajah yang lebam-lebam itu dipandang teliti. Entah kenapa, dia merasakan seperti dia pernah melihat wajah lelaki itu sebelum ini. Tapi di mana ya? Dia termenung panjang, cuba mengingati sesuatu. Beberapa ketika kemudian, wajah Duha Maisara berubah. Oh tuhan!

“Duha, kenapa ni?” Wajah Zarina mula kalut apabila melihat kerut resah di wajah Duha Maisara muncul tiba-tiba.

“Kak, itulah lelaki yang Duha jumpa masa ikatjamin ayah tempohari. Ayah bergaduh dengan lelaki itulah. Agaknya dia nak balas dendam pada Duha tak.” Wajah Duha Maisara membayangkan ketakutan.

“Kalau kau tak nak suruh dia keluar, aku akan geledah tempat ni satu persatu.” Jerit lelaki berkepala botak itu. Duha Maisara dan Zarina saling berpandangan. Melihat lelaki-lelaki itu mula melangkah ke setiap tempat, Zarina lekas-lekas menghela tangan Duha Maisara ke arah pintu keluar. Namun belum jauh melangkah, mata kedua-duanya menyorot dua lelaki yang tercegat di pintu keluar. Bukan ‘bouncer’ kelab itu, kerana Zarina mengenali semua bouncer yang bekerja di Blue Ocean.

“Duha, lekas!” Bisik Zarina seraya membawa gadis itu ke sebuah bilik VIP. Sampai di sebuah bilik, tanpa berfikir panjang,. Zarina segera menolak tubuh gadis itu ke dalam. Dia segera menutup pintu dari luar.

Terkejut Duha Maisara kerana ditolak secara tiba-tiba memasuki bilik itu. Dia cuba mendengar dari sebalik pintu, namun tidak terdengar sebarang bunyi. Bibirnya melepaskan keluhan. Bagaimana kalau lelaki botak itu menerpa masuk dan menjumpainya di situ? Apa patut dia buat? Bolehkah Mami Jun melindunginya dari lelaki-lelaki itu? Mampukah dia berselindung dari lelaki-lelaki yang memusuhi ayahnya?

“Apa kau buat kat sini?” Soal suatu suara tiba-tiba. Agak keras. Duha Maisara tersentak. Dia mengerutkan dahinya. Sangkanya bilik itu tiada penghuni kerana lampu di bilik itu samar-samar. Perlahan-lahan Duha Maisara memusingkan tubuhnya. Dari tempat dia berdiri, dia melihat seorang lelaki sedang merenung ke arahnya sambil duduk di sebuah sofa panjang di situ.

Tangan lelaki itu menjalar ke arah sebuah lampu meja tidak jauh dari sofa yang didudukinya. Tak lama kamudian lampu di ruangan itu terbuka. Mata Duha Maisara silau. Pantas tapak tangannya dihala ke arah mukanya, cuba menahan matanya dari merenung ke arah cahaya itu.

“Aku tanya kau, apa kau buat kat sini? Aku dah tempah bilik ni, dan aku tak mahu diganggu.” Herdik lelaki itu garang. Kecut perut Duha Maisara mendengar suara garang itu. Dia melarikan tangannya. Matanya perlahan-lahan merenung wajah lelaki itu. Sesaat kemudian, jantung Duha Maisara bagaikan hendak luruh. Dia tunduk ke bawah, tidak berani memandang wajah lelaki itu lama-lama. Oh tuhan, minta-mintalah dia tidak ingat siapa aku.

Namun apabila dia mengerling lelaki itu sepintas lalu, mata lelaki itu masih menyorot ke wajahnya. Kali ini renungan lelaki itu menikam tepat ke matanya. Dia serba salah, juga gugup.

“Maaf encik, saya tak sengaja ganggu encik. Saya ingatkan bilik ini tak ada orang tadi,” ujar Duha Maisara meminta maaf. Dia cepat-cepat beredar ke arah pintu. Tombol pintu dipulas perlahan. Apabila pintu itu terkuak, mata Duha Maisara cepat terpandang kelibat si botak dan teman-temannya sedang membuka pintu bilik berhadapan dengan bilik itu.

...bersambung

Bab akan datang:

Kemana Duha menyembunyikan diri?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience