Rate

Chapter 154

Romance Completed 26118

Bab 154

Hampir dua jam dia menunggu, dia terpaksa mengalah apabila Erman menelefonnya.

“Anis, Duha masih belum datang?’ Tanyanya pada gadis itu.

“Belum Encik Nashriq.” Jawab Anis.

“Ish mana dia pergi? Dia tak tahu ke yang saya ada mesyuarat hari ni?”

“Semalam Encik Nashriq tak jumpa dia?”

“Semalam?” Nashriq mengerutkan dahinya. Dia tidak mengerti maksud Anis.

“Semalam, Duha balik lambat. Katanya dia nak tunggu Encik Nashriq, ada hal penting nak dibincangkan. Masa saya tinggalkan dia semalam, dah nak masuk pukul 6.00 petang. Encik Nashriq balik ke pejabat tak semalam?”

Nashriq menggeleng. Namun otaknya ligat memikirkan kata-kata Anis. Entah kenapa hatinya jadi kurang senang, bagaikan ada sesuatu yang buruk sedang berlaku.

“Tak apalah Anis, nanti kalau dia datang atau call, suruh dia hubungi saya ya.” Pesan Nashriq. Dia harus segera ke bilik mesyuarat pula selepas itu.

Selepas bermesyuarat, Nashriq kembali ke biliknya. Namun kelibat Duha Maisara masih belum kelihatan. Dia mula resah. Wajah gadis itu bermain-main di matanya. Dia menarik keluar laci meja sebelah kanan. Telefon bimbit Duha Maisara masih tersimpan dalam laci mejanya. Dia membelek nama-nama yang terpapar di dalam telefon itu. Akhirnya dia menemukan nama Zafran di antara banyak-banyak nama. Nashriq menarik nafas panjang. Meskipun dia tahu lelaki itu berprasangka terhadapnya, namun dia terpaksa menghubungi lelaki itu. Saat itu soal Duha Maisara lebih penting dari airmukanya.

* * * *

“Kau nak jumpa aku ni kenapa?” Soal Zafran sebaik melabuhkan punggungnya di hadapan lelaki itu. Dia sempat memesan segelas jus buah pada pelayan yang singgah di meja, sebelum menumpukan perhatiannya pada Nashriq yang kelihatan muram.

Nashriq menyeluk saku bajunya lalu dikeluarkan telefon bimbit milik Duha Maisara dari dalam sakunya. Terkebil-kebil mata Zafran memandang telefon bimbit di tangan Nashriq yang kini singgah di atas meja di hadapannya.

“Aku nak pulangkan telefon bimbit ni pada Duha.” Jawab Nashriq. Hilang sudah panggilan ‘saya-awak’ yang digunakan oleh mereka tempohari di hadapan Suraya. Kerana Zafran nampak santai membahasakan ‘aku’ padanya, maka Nashriq juga membalas yang sama.

“Macamana telefon Duha boleh ada pada kau?” Soal Zafran ingin tahu. Serius.

“Dia tercicir telefon ni semasa kami di Pulau Pinang. Jadi aku nak pulangkannya semula.”

Zafran tertawa kecil. Lucu!

“Kenapa harus dipulangkan kepada aku? Bukankah kau lebih cekap menjejak dia dari aku,” balas Zafran bagaikan menyindir. Nashriq cuba berlagak tenang.

“Aku bagi kau sebab sejak balik dari Pulau Pinang, aku dah tak jumpa dengan Duha lagi. Aku nak tahu Duha di mana Zafran.”

“Kenapa tanya aku? Dia bekerja dengan kau bukan?” Sahut Zafran geram. Namun jauh di sudut hati dia jadi hairan dengan kata-kata Nashriq. Kenapa Nashriq sampai tidak tahu ke mana Duha Maisara pergi? Ke mana gadis itu menghilang?

“Aku nak tahu dia di mana, Zafran. Dia tak datang ke pejabat hari ni, sedangkan sepatutnya dia bukan begini. Aku cuma bimbang jika ada sesuatu yang buruk menimpanya, itu saja.”

Zafran terdiam. Sebenarnya dia sendiri sudah beberapa hari tidak bertemu Duha Maisara. Semuanya kerana seorang doktor bedah yang dijemput khas dari luar negara datang untuk memberi seminar pada doktor-doktor pelatih selama beberapa hari. Kerana itu dia agak sibuk sehingga langsung terlupa mahu menelefon Duha Maisara bertanyakan khabar.

Mungkinkah gadis itu ke Al-Raudah bertemu wanita itu? Tapi kenapa Duha Maisara tidak pergi kerja? Apakah dia jatuh sakit? Berbagai persoalan menerpa di fikiran Zafran.

“Kau tahu kan ke mana Duha pergi?” Tanya Nashriq lagi memecahkan lamunan Zafran. Zafran merenung lelaki di hadapannya dalam-dalam. Apa sebenarnya hubungan antara Duha Maisara dan lelaki itu? Apakah memang benar Duha Maisara mencintainya? Entah kenapa hakikat itu terlalu sukar untuk ditelannya. Dia tidak boleh dan tidak mahu kehilangan Duha Maisara.

Zafran bingkas bangun dari kerusi. Jus yang baru dihantar pelayan hanya dipandang kosong. Nashriq turut bingkas bangun. Tajam matanya memanah wajah Zafran. “Zafran, beritahu aku mana Duha.” Pinta Nashriq.

Zafran ketawa besar. Lama matanya menjunam ke arah bebola mata lelaki itu. “Kenapa aku nak beritahu kau mana dia? Jangan ingat aku setuju bertemu kau hari ini, bermakna aku sukakan kau.”

“Zafran, aku sayangkan Duha.” Akui Nashriq tiba-tiba. Ketawa Zafran tiba-tiba mati. Matanya mencerlung tajam memandang lelaki itu. Bibirnya diketapkan. “Mulai hari ini jangan cari dia lagi atau bertemu dia. Aku tak suka kau jumpa dia. Lelaki macam kau hanya akan membuatkan Duha menderita.” Ungkap Zafran seraya berlalu pergi. Nashriq terpaku. Kata-kata Zafran tajam menikam ke hatinya.

...bersambung

Bab akan datang:

Kemana Duha pergi? Adakah dia telah dibuang kerja oleh Engku Latifah?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience