Rate

Chapter 156

Romance Completed 26118

Bab 156

“Jadi maksud kau hanya kalung ‘sapphire’ yang dimiliki oleh kau dan Raihana saja yang memiliki ciri ‘asterism’ dan berwarna oren merah jambu?”

Nashriq mengangguk. “Kata ayah, sapphire lambangnya kesetiaan, ketenangan dan pada masa yang sama melambangkan cinta. Sebab itu dia berpesan supaya kami tak boleh tanggalkan kalung ni dari leher kami. Tapi selepas Raihana hilang, saya tanggalkan kalung ni dan simpankannya sahaja dalam kotak.” Keluh Nashriq. Dia benar-benar kesal kini. Sepatutnya dia tidak boleh tanggalkan kalung itu dari lehernya. Kalung itu berlambangkan kesetiaan. Tindakannya seolah-olah meragui kesetiaan itu.

“Abang, kita mesti cari Hana. Saya tahu dia ada di sini selama ini. Mungkin selama ini dia memerhatikan kita dari jauh.”

“Kau benar-benar yakin yang Hana ada di sini selama ini?”

Nashriq mengangguk. Dia sudah bertekad mahu mencari gadis itu walau selama mana ia diperlukan. Tumpuannya pada Raihana membuatkan ingatannya pada Duha Maisara beralih seketika. Lupa sudah dia pada Duha Maisara yang menghilang entah ke mana.

* * * *

Dia masih menyelongkar setiap inci rumah itu berkali-kali. Setiap sudut dijengah dan diteliti, namun barang yang dicari langsung tidak ditemui. Duha Maisara mengesat peluh yang mula menitik dari dahinya. Nafasnya tercungap-cungap kepenatan. Dia lelah. Lelah mencari sesuatu yang dia tidak ingat di mana dan bagaimana boleh hilang.

Malah dia sendiri tidak sedar bilakah masanya kalung yang sentiasa di lehernya tercicir entah ke mana. Duha Maisara benar-benar resah. Entah mengapa dia benar-benar sayangkan kalung itu. Kalung itu adalah bukti bahawa dia adalah anak orang gaji yang disayangi oleh Tuan Zainal Ikram dua belas tahun yang lalu. Meskipun masa menjadi luka yang amat dalam buatnya, namun untuk membuang kalung itu jauh dari hidupnya, entah mengapa dia benar-benar tidak rela.

Tiba-tiba ingatan Duha Maisara singgah pada peristiwa hitam yang dialaminya beberapa hari yang lalu. Dia masih ingat bagaimana dia meronta-ronta untuk melepaskan diri dari Engku Iskandar. Apakah kalung itu terjatuh sewaktu itu? Mungkin juga. Tapi tiba-tiba dia jadi resah pula. Bagaimana dia mahu mencari semula kalung itu jika Engku Latifah sudah mengharamkan kakinya berpijak di situ?

Duha Maisara termenung panjang. Entah mengapa sebaik dia teringatkan wanita itu, bahang di hatinya terasa lagi. Dia benar-benar membenci wanita itu. Siapa wanita itu sehingga mengagungkan haknya untuk membeza-bezakan manusia? Oh Tuhan, apakah keputusan yang aku buat ini tepat? Bagaimana dengan Nashriq sendiri? Sudahkah dia tahu sebab kenapa aku tidak hadir ke pejabat hari ini?

“Ambillah semula cek puan ni. Saya tak perlukannya.”

“Kenapa? Awak rasa tak cukup? Tak cukup saya boleh tambah.” Wanita itu sudah bersedia dengan buku ceknya. Duha Maisara hanya tersenyum. Mudahnya orang kaya ini menabur wang sesuka hati tanpa memikirkan perasaan orang lain. Bezanya dulu, wanita itu melontar dia dan ibunya jauh-jauh tanpa sesen pun wang.

“Puan, saya pernah berjanji dengan Nashriq dulu yang saya hanya akan pergi dari sini jika dia sendiri yang menghalau saya. Saya ingin berpegang pada janji itu. Tapi duit puan telah menyebabkan saya sedar yang manusia itu sama sahaja. Terima kasih sebab menyedarkan saya yang sememangnya saya tak layak di sini.” Dia bingkas bangun.

“Baguslah awak dah sedar, tak perlu saya bermadah berjela-jela panjangnya. Tapi baik awak ambil duit ni sebagai gantirugi perasaan awak yang terbuai oleh janji manis Nashriq. Mungkin lain kali awak akan beringat dahulu sebelum berangan nak memijak mahligai dengan kaki kotor awak tu.” Sindir wanita itu tidak pernah cukup.

Duha Maisara mengesat airmata yang bertakung di kelopak matanya. Dia benar-benar terasa dirinya dipijak-pijak sehinanya. Untuk apa kau terus di sana jika maruah diri kau tergadai di sana? Lama matanya menatap ke arah surat yang baharu separuh ditaip. Entah mengapa untuk meneruskannya, dia rasa tidak berdaya.

Deringan loceng pintu apartmentnya membuatkan Duha Maisara tergaman. Siapa? Nashriqkah? Dia menunggu sehingga loceng pintu itu ditekan berkali-kali. Beberapa ketika kedengaran suara Zafran memanggil. Dia cepat-cepat meluru ke arah pintu.

Wajah Zafran merenung lama ke arahnya tatkala dia membukakan pintu. Anak muda itu melangkah masuk.

“Maaf, Duha di bilik tadi, tak dengar bunyi loceng pintu tu.” Dia memberi alasan.

“Abang sangkakan Duha tak ada tadi.” Balas Zafran. Namun dia perasan wajah Duha Maisara sembab bagaikan baru lepas menangis. Hati Zafran tertanya-tanya sendiri. Apakah ada sesuatu berlaku padanya?

“Abang nak air apa, nanti Duha buatkan.”

“Apa-apa saja.” Jawab Zafran. Apabila gadis itu beredar ke arah dapur, Zafran terpandang skrin komputer yang terpasang.

...bersambung

Bab akan datang:

Apa yang tertera pada skrin komputer Duha itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience