Rate

Chapter 173

Romance Completed 26118

Bab 173

Dia benar-benar tidak menduga akan bertemu semula dengan lelaki itu. Dia mengesat peluh renek yang mula membasahi dahinya dengan saputangan yang diseluk keluar dari poket seluar.

“Kau apa khabar CK?” Sapa lelaki itu sambil duduk di hadapan lelaki.

“Tuan Asri…” sapa CK Tan dengan raut wajah resah. “ Saya sangkakan Tuan Asri…”

“Kau sangkakan aku masih di Australia atau di UK begitu? Hmm…aku tak tahu pula yang kau sentiasa tahu jejak aku walau ke mana sahaja aku pergi. Kenapa? Ada atau tidak aku di sini akan menyusahkan seseorang ke?” Asri memandang tepat wajah bekas peguam Mega Timur itu.

“Bukan begitu Tuan Asri, cuma saya tak menduga Tuan Asri akan pulang ke mari.” Tergagap-gagap lelaki itu menyahut.

“Aku ada hal di sini CK. Aku nak kau keluarkan salinan surat wasiat Zainal Ikram yang kau bacakan selepas kematiannya, dua belas tahun yang lalu. Aku rasa kau tentu masih simpan salinannya bukan?”

“Err.. Tuan Asri nak buat apa dengan surat wasiat tu? Saya dah lupa di mana saya letakkan salinan surat wasiat tu.” CK Tan cuba memberi alasan.

“Jangan nak berlagak bodoh dengan aku CK. Aku tahu kau masih menyimpan salinan surat wasiat tu. Atau kau mahu orang-orang aku ni selongkar setiap inci pejabat kau ni?” Ugut Asri sambil mengerling ke arah dua lelaki di sampingnya.

CK Tan mula gugup. Dia tahu ugutan lelaki itu serius. Sejak dulu dia kenal benar dengan sikap Asri Ikram yang panas baran dan pasti akan mengotakan setiap kata-katanya. Tapi untuk menyerahkan dokumen yang dikehendaki oleh lelaki itu akan menjerat tengkuknya sendiri.

“Kenapa? Kau takut kalau pembohongan yang kau lakukan dua belas tahun yang lalu akan terbongkar? CK, kau ingat lagi dengan pekerja kau yang bernama Molin Rahman?”

CK Tan kelihatan terkejut mendengar nama itu disebut.

“Dua belas tahun yang lalu, kau dan Molin telah memalsukan wasiat Zainal Ikram. Dan sebagai balasan, kau janjikan pada Molin untuk jadikan dia rakan kongsi di firma ini. Tapi kau mungkir janji. Dan kau lupa yang Molin masih menyimpan wasiat asal milik Zainal Ikram itu. Dan wasiat itu sampai sekarang masih belum dibuka sebab ia berada di tangan aku sejak sekian lama.” Ujar Asri lalu menayangkan helaian dokumen sederhana tebal di tangannya.

Lelaki itu terkejut besar. Kertas dokumen bertaip di tangan Asri membuatkan darahnya menyirap.

“Setahun yang lalu, isteri Molin, Ruby datang cari aku sebelum dia meninggal dunia akibat kanser. Dia beritahu aku segala-galanya tentang rancangan kau dan suaminya dua belas tahun lalu. Malah dia juga menyerahkan beberapa bukti yang boleh menyabitkan kau dengan Molin dengan kesalahan pecah amanah. Tentu kau tertanya-tanya kenapa baru sekarang aku muncul dan bukannya dua belas atau sepuluh tahun yang lalu, bukan? Sebab dalam masa setahun ini aku habiskan masa aku untuk menjejak Molin.”

CK Tan tunduk. Tubuhnya gementar menahan debaran di dada. Dia memandang Asri yang merenung tajam ke wajahnya.

“Molin dah ceritakan segala-galanya pada aku tentang rancangan Engku Iskandar, CK. Kau dah tak boleh lari lagi. Masa depan kau dah hancur. Aku akan pastikan lesen guaman kau ditarik balik.” Ugut lelaki itu.

“Tolonglah Tuan Asri, bagi saya peluang. Ini semua angkara Engku Iskandar. Dia yang merancang semua ini.” Rayu CK Tan. Dia rungsing memikirkan nasib anak isterinya jika dia dibawa ke muka pengadilan.

“Undang-undang tak boleh maafkan kau CK, tapi sebagai manusia aku masih boleh merayu agar hukuman kau diringankan jika kau setuju membantu aku.” Ujar lelaki itu. Mata CK Tan tertumpu ke arah Asri yang kelihatan serius.

“Apa yang Tuan Asri nak saya buat?” Dia gugup.

“Bantu aku kenakan Engku Iskandar. Dan aku juga nak tahu semua perkara yang terjadi dua belas tahun yang lalu melibatkan Zainal dan keluarga Munif Ibrahim. Pastikan cerita kau lengkap atau aku takkan teragak-agak serahkan bukti ni pada pihak berkuasa.” Ugut Asri tenang.

CK Tan tergaman. Dia kian buntu. Bekerjasama atau tidak, kedua-duanya boleh membuatkan nyawanya melayang. Dia benar-benar takut apabila memikirkan tentang kemungkinan itu. Lagipun jika dia yang mati tidak mengapa, tapi dia takut hal ini akan melibatkan anak isterinya.

“Hal ni melibatkan Black Parade, Tuan Asri. I takut kalau I buka mulut, nyawa anak isteri I dalam bahaya,” ujar CK Tan resah. Asri mengerutkan dahinya. Black Parade? Azlan, salah seorang orang kanannya perlahan-lahan menghampirinya lalu berbisik sesuatu. Wajah Asri berubah. Dia memandang Azlan bagaikan kurang percaya. Lelaki itu mengangguk, cuba menyakinkannya.

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah yang terkandung dalam wasiat asal Zainal Ikram?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience