Rate

Chapter 176

Romance Completed 26118

Bab 176

Aku harus ambil tindakan segera, bisiknya dalam hati. Telefon bimbitnya dikeluarkan dari saku poket. Namun belum sempat dia mahu mendail, dia menerima satu panggilan telefon.

******

“Hah kenapa kau nak jumpa dengan aku ni. Cepat sikit. Aku ada hal lain selepas ni.” Ujarnya sebaik tiba di sebuah restoran mamak.

“Relakslah member, kau nak ke mana tergesa-gesa. Lagipun aku ada info baru yang pasti menarik minat kau. Tentang Duha Maisara.” Lelaki India itu tersengih.

Mendengar nama gadis itu, mata Engku Iskandar sudah mengarah ke arah Robert. Wajahnya serius. “Apa maklumat yang kau dapat?”

Robert tidak terus menjawab. Sebaiknya dia menunjukkan beberapa keping gambar di tangannya ke arah lelaki itu. Mata Engku Iskandar lama menatap ke arah gambar yang baru diambil dari tangan Robert. Melihat wanita di samping gadis itu, hatinya tiba-tiba bergetar. Dia tergaman. Lidahnya bagaikan kelu untuk terus berkata-kata.

“Aku dapat tahu dia selalu berulang-alik ke rumah sakit jiwa ni melawat perempuan tu. Aku dapat tahu perempuan tua tu pesakit di situ. Aku cuba tanya jururawat di situ tentang perempuan tu. Kata salah seorang mereka, perempuan tu dikatakan ibu kepada Duha Maisara.” Ujar Robert lagi. Dia berpaling apabila menyedari Engku Iskandar hanya senang berdiam diri sejak tadi. Namun dahinya berkerut apabila mendapati wajah lelaki itu pucat lesi.

“Is, are you okay?’ Tanya Robert separuh hairan dengan reaksi lelaki itu. Namun Engku Iskandar seolah-olah tidak mendengar kata-katanya. Mata lelaki itu menatap ke arah gambar itu bagaikan tidak mahu lepas.

******

Sepanjang malam tidurnya tidak lena. Dia asyik teringatkan gambar yang dilihatnya siang tadi. Wajah wanita yang terpapar dalam gambar itu membuatkan hatinya resah. Mana mungkin dia melupakan wajah itu. Selama ini wajah itulah yang sering menghantui tidurnya.

Selama empat tahun wanita itu koma di hospital, dialah yang merancangkannya. Dia mahu wanita itu tidur buat selama-lamanya. Namun siapa sangka selepas beberapa tahun, wanita itu sedar dari koma. Mulanya dia bimbang, takut rahsianya akan terbongkar. Tapi segala-galanya berjalan lancar bila Maisara seperti tidak waras lagi. Dialah orang yang bertanggungjawab menghantar wanita itu ke rumah sakit jiwa dengan pertolongan Reyna. Segala-galanya dilakukan untuk menutup semua bukti yang boleh mengaitkan dirinya dengan semua yang direncanakannya.

Sangkanya wanita itu akan terus berdiam diri di wad sakit jiwa. Ketika itu dia menyangka tiada sesiapa yang akan menemui Maisara di situ. Tapi kini, semuanya seperti berpatah balik ke arahnya.

Dia teringat kata-kata Robert siang tadi tentang ibu Duha Maisara. Dia mula terfikirkan sesuatu. Ah! Tak mungkin. Tak mungkin dia. Gadis itu sudah mati dua belas tahun lalu. Tak mungkin Duha Maisara boleh menjadi Raihana. Dia cuba bertenang. Nafasnya ditarik perlahan. Tapi resah di jiwanya tak mahu padam. Bagaimana kalau betul gadis itu Raihana? Bagaimana kalau Raihana yang sebenarnya belum mati? Jika betul Duha Maisara adalah Raihana, apa tujuannya bekerja di Mega Timur? Mahu membalas dendamkah? Pelbagai persoalan menerpa serentak di fikirannya.

Dia mula teringatkan perbuatannya dua belas tahun yang lalu. Malah rayuan gadis kecil itu berulangkali hadir, meminta dirinya dilepaskan. Tapi rayuan itu langsung tidak diendahkan. Perasan belas kasihan langsung tidak ada dalam kamus hidupnya. Yang dimahukan hanyalah agar gadis itu terus jauh dari situ. Meskipun dia tidak sampai hati mahu membunuh gadis itu, tapi dengan menghantar Raihana untuk dijual di tanah seberang sebenarnya sama kejam dengan membunuh.

Reyna pernah mempersoalkan kenapa mereka harus memisahkan seorang anak dari ibunya. Tapi ketika itu dia hanya berdiam diri. Dia tahu rancangan Reyna dan Albert mahu membunuh Zainal. Meskipun dia tidak tahu apakah permusuhan Zainal dengan Black Parade, tapi dia tidak ambil peduli. Dan atas balasan kerana membantu wanita itu, dia meminta pula pertolongan wanita itu untuk melenyapkan Raihana dan ibunya dari Vila Zainal Ikram.

Tapi Reyna cukup cerdik, cepat tahu rahsia yang cuba disembunyikan. Hubungan antara Reyna dengan Black Parade membuatkan Reyna cekap menghidu siapa Raihana sebenarnya. Malah adiknya Engku Latifah sendiri tidak tahu asal usul gadis itu. Setiap orang yang berkaitan hanya tahu Raihana anak kepada pasangan Munif dan Maisara. Malah Zainal dan Munif cukup cekap merahsiakan hal yang sebenarnya. Dia sendiri jika bukan kerana terdengar perbualan antara Zainal Ikram dan Munif, pasti turut tertipu dengan helah dua lelaki itu. Siapa sangka gadis kecil itu rupa-rupanya menyimpan rahsia besar Zainal Ikram. Rahsia yang boleh membuatkan rancangannya untuk berkuasa di Mega Timur bakal terjejas.

******

Diam-diam matanya melirik ke arah Duha Maisara yang kelihatan tidak berselera.

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah semua rahsianya akan terbongkar tidak lama lagi? Apa yang patut dilakukannya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience