Rate

Chapter 202

Romance Completed 26118

Bab 202

Secara mendadak penumbuk Nashriq singgah di cermin besar di belakang Duha Maisara. Gadis itu terkejut bercampur panik. Dia terpaku apabila bunyi rekahan cermin itu terdengar jelas di telinganya. Dia memandang Nashriq. Wajah lelaki itu berkerut menahan sakit sambil memegang bucu tangannya yang dibasahi darah. Duha Maisara cemas apabila melihat darah pekat menitis dari tangan Nashriq ke atas lantai sedikit demi sedikit. Dia segera meluru ke arah Nashriq, namun lelaki itu menepis tangannya.

“Tak usah pedulikan aku. Aku hantar kau balik sekarang,” ujar Nashriq perlahan sambil melangkah ke muka pintu. Duha Maisara segera menarik lengan lelaki itu membuatkan langkah Nashriq terhenti.

“Tangan awak cedera, bagaimana awak nak memandu jika begini. Duduk dulu,” pinta Duha Maisara seraya menarik lelaki itu duduk di birai katil. Dia segera memandang sekitar bilik itu. Almari pakaian lama milik ibunya masih kekal tidak terusik di dalam bilik itu. Begitu juga dengan laci-laci bertingkat di suatu sudut. Dia baru teringat ibunya pernah menyimpan kotak First Aid di dalam salah satu laci-laci itu.

Tanpa membuang masa, Duha Maisara segera menuju ke arah laci almari itu lalu membuka laci ketiga. Dia lega apabila kotak First Aid itu masih ada di tempatnya. Mata Nashriq tidak putus-putus memerhatikan tindak tanduk Duha Maisara. Apabila gadis itu kembali dengan kotak First Aid, dahi Nashriq berkerut.

“Mana kau tahu ada kotak First Aid dalam laci tu?” Soal Nashriq tiba-tiba. Duha Maisara tersentak. Dia memandang Nashriq yang bagaikan keliru. Entah mengapa dia serba salah mahu memberikan alasan.

“Saya…saya cuma agak,” balas Duha Maisara sedikit resah.

Nashriq terdiam. Namun lelaki itu tidak lagi melanjutkan pertanyaan. Duha Maisara segera menjamah sisa-sisa kaca yang terlekat pada daging tangan lelaki itu. Selepas itu dia membersihkan luka pula. Nashriq memandang Duha Maisara tidak berkelip. Wajah Duha Maisara seakan tidak mahu dilepaskan dari pandangan matanya. Dia benar-benar mencintai gadis itu.

“Duha, kita kahwin?” Bisiknya tiba-tiba. Duha Maisara terpegun, namun dia berpura-pura tidak mendengar kata-kata Nashriq. Jauh di dalam lubuk hati, perasaannya berbelah bagi.

“Aku takkan tanya lagi tentang hubungan kau dengan Zafran, malah aku takkan ambil kisah. Asalkan kau sanggup hidup dengan aku, yang lain-lain akan aku lupakan.” Ucap Nashriq perlahan.

Duha Maisara memandang lelaki itu. Tatapan mata Nashriq bagaikan membendung luka. Semudah itukah kita boleh bersama, sedangkan kita berdua terlalu jauh berbeza? Hidup kita berdua umpama langit dan bumi. Dia sentiasa di atas sedang aku tetap menongkat langit. Hati Duha Maisara merintih hiba.

******

Hampir sepanjang malam sehingga ke pagi itu mereka menanti kepulangan Suraya, tapi kelibat gadis itu tidak muncul-muncul. Dato’ Mustadza kian resah. Beberapa kali dia berulangalik ke bilik gadis itu, merenung barang-barang milik Suraya yang setiap satu meninggalkan nostalgia baginya. Sue, mana Sue pergi ni? Kenapa buat ayah risau?

Dia menatap hiba potret Suraya yang tersenyum riang di sampingnya semasa mereka sekeluarga bercuti di Pulau Perhentian di Terengganu. Wajah Suraya jarang sekali bermuram kerana anak gadis itu sejak kecil bersifat periang dan mudah mesra dengan orang lain. Sebab itu kalau Suraya tiada di rumah, suasana rumah jadi sunyi sepi.

Sachary hanya mampu memandang ribut resah yang tergambar pada wajah lelaki itu. Dia memahami perasaan ayahnya. Suraya anak gadis kesayangan ayahnya yang tidak pernah berenggang lama dengannya. Sedikit-sebanyak keadaan ini, pasti membuatkan perasaan ayahnya berkecamuk.

“Sudahlah tu ayah, kita tunggu sekejap lagi. Kalau Sue tak balik juga, saya dengan Nashriq akan buat laporan polis pagi nanti,” ujar Sachary.

Dato’ Mustadza menoleh memandang Sachary yang nampak lebih tenang berbanding dirinya. “Sach, ayah bimbang. Bagaimana kalau terjadi sesuatu yang buruk pada Suraya?”

Sachary menarik nafas panjang. Memang banyak kali perkara buruk terlintas di mindanya saat itu. Tapi sedaya upaya dia cuba jua bertenang. Dalam keadaan sekarang, apa yang boleh dilakukannya hanyalah bersikap rasional. Selebihnya dia berserah pada ketentuan Ilahi.

“Kita berdoa banyak-banyak pada Allah ayah, agar Sue selamat dan berada di bawah perlindunganNya.” Ujar Sachary. Dato’ Mustadza terus termenung. Kata-kata Sachary langsung tidak mampu menenangkan kegelisahannya.

“Dato’, ada seseorang nak bercakap dengan dato’ dalam telefon.” Celah pembantu rumahnya yang tiba-tiba menjenguk masuk.

“Siapa Timah?”

“Saya tak tahu dato’,” balas wanita itu.

Dato’ Mustadza mengerutkan dahinya. Siapa pula yang menelefonnya malam-malam begini. Dia terus mencapai telefon yang terletak di ruang tamu. Wajah Sachary dijeling seketika sebelum dia mula membuka mulutnya.

“Hello.” Sapa Dato’ Mustadza. Namun seketika kemudian wajahnya berubah pucat. Sachary yang terkejut melihat perubahan wajah ayahnya segera menghampiri orang tua itu.

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah Duha Maisara akan mengakui bahawa dirinya adalah Raihana?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience