Rate

Chapter 24

Romance Completed 26118

BAB 24

Serentak dia menutup pintu itu. Langkahnya segera dihela ke arah lelaki yang masih merenungnya.

“Encik, saya nak minta tolong encik. Boleh tak encik tolong saya sembunyikan diri dari lelaki-lelaki di luar sana? Mereka semua nak tangkap saya, tolonglah encik,” rayu Duha Maisara resah.

Lelaki itu memandang ke arah pintu. Bunyi bising-bising di luar diiringi derap sepatu yang kuat menarik perhatiannya. Beberapa saat kemudian, pandangannya beralih ke wajah Duha Maisara yang ketakutan.

“Kenapa aku mesti tolong kau?” Tanyanya serius.

Duha Maisara terpaku. Wajah lelaki itu mencerlung tajam ke arahnya. Dia memandang sekali lagi ke arah muka pintu. Bila-bila masa, lelaki-lelaki di luar sana boleh merempuh masuk dan menemuinya di situ. Entah apa nasibnya jika dia ditangkap lelaki-lelaki itu.

Namun belum sempat Duha Maisara mahu berfikir panjang, lelaki itu tiba-tiba meluru ke arahnya. Tubuh Duha Maisara dirangkul dalam pelukannya. Duha Maisara tergaman. Serentak dia mendengar pintu di belakangnya dirempuh kasar. Mahu tak mahu dia membenamkan mukanya ke dada lelaki itu. Matanya dipejamkan. Dia resah.

“Tak mungkin dia. Kita cari di tempat lain.” Telinganya mendengar dengan jelas lelaki-lelaki itu berbicara. Seketika kemudian pintu di belakangnya kembali terkatup. Duha Maisara sedikit lega.

Menyedari tubuhnya masih dirangkul lelaki itu, Duha Maisara cepat-cepat menolak tubuh sasa itu. Entah kenapa dia merasa segan. Perlahan-lahan, dia mendongakkan wajah memandang lelaki itu. Mata lelaki itu seolah terpaku menatap wajahnya.

“Terima kasih sebab tolong saya, maaf sebab saya ganggu masa encik,” ucap Duha Maisara sambil tersenyum. Dia mahu beredar pergi, namun tangannya tiba-tiba disentap agak kuat oleh lelaki itu. Duha Maisara terpaku.

Mata lelaki itu masih menjamah wajahnya. Begitu hampir. Dia kian resah. Oh tuhan! Kenapa dengan lelaki ini? Apakah dia sama seperti lelaki-lelaki lain di kelab ini yang setiap masa menagih tubuhnya. Dia cuba menghindar jauh, namun tangan lelaki itu memaut pinggangnya pula. Duha Maisara semakin takut.

“Encik, tolonglah jangan buat begini. Saya bukan GRO di sini. Saya hanya penyanyi. Tolonglah kasihani saya,” rayunya memohon belas. Dia memejamkan matanya. Tuhan, selamatkanlah hambamu dari melakukan dosa. Keadaanku seperti di hujung tanduk. Jika aku tak mampu melawan, kau lindungilah aku ya Allah! Tak putus-putus dia berdoa begitu, bilamana perasaan takutnya mula menjalar di lubuk hatinya.

Sedikit demi sedikit tubuhnya terasa dilepaskan oleh sepasang tangan yang sasa itu. Dia membuka matanya perlahan-lahan. Mata lelaki itu masih tertumpu ke arahnya. Namun renungan itu kelihatan aneh. Sesaat kemudian lelaki itu memalingkan wajahnya ke arah lain.

“Keluar dari sini sekarang. Jangan ganggu aku lagi.” Lelaki itu menghalaunya. Dia terkedu. Namun sedikit sebanyak dia rasa bersyukur kerana lelaki itu tidak mengapa-apakannya. Perlahan-lahan Duha Maisara melangkah ke arah pintu. Namun dia tidak terus melangkah keluar. Matanya memandang ke arah lelaki yang termenung sendirian mengadap ke arah skrin televisyen besar di bilik itu.

“Maafkan saya encik. Saya ucapkan terima kasih sebab encik sanggup bantu saya. Kalau ada peluang, saya akan balas budi baik encik. Maaf sebab ganggu masa encik,” ucap Duha Maisara sebelum melangkah keluar dari situ.

Perlahan-lahan, mata lelaki itu menoleh ke arah pintu bilik itu. Tubuh gadis itu sudah menghilang dari situ. Dia melepaskan keluhan berat. Entah kenapa perasaannya tiba-tiba berkecamuk.

******

Nashriq menggengam stereng kereta sekuat hati. Kepalanya disandarkan ke kepala kusyen. Matanya dipejamkan. Bayang wajah Raihana semasa kecil muncul silih berganti dengan wajah gadis yang ditemuinya di Blue Ocean tadi. Entah kenapa, perasaan Nashriq jadi tidak menentu apabila berhadapan dengan gadis itu. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia berperasaan begini.

Namun apabila gadis itu tersenyum dengannya, dia benar-benar terkejut. Senyuman gadis itu dan Raihana jelas sama. Malah lesung pipit yang dirindukannya saban waktu dulu, tergambar jelas di hadapan matanya.

“Maaf sebab saya ganggu masa encik,” kata-kata gadis itu lunak di pendengarannya. Bibir gadis itu melemparkan senyuman. Dan dia seperti orang bodoh, tercegat macam patung memandang ke arah gadis itu. Ah, tak mungkin gadis itu dan Raihana orang yang sama. Dia kenal Raihana. Raihana takkan berakhir di tempat seperti itu. Hanya senyuman mereka sahaja yang sama, bukan orangnya. Nashriq cepat-cepat membuang sangkaan yang mula bersarang di kotak fikirannya.

“Naz, mana kau pergi? Semua wakil dari US tertanya-tanya mana kau pergi tadi. Kenapa tinggalkan mereka macam tu aje?” Suara Erman bergema dari corong telefon bimbitnya. Dia hanya mengeluh.

******

Mata Duha Maisara bulat memandang ke arah pintu rumahnya yang terbuka lebar. Pasu bunga yang berderet tiga serangkai di tepi pagar, habis pecah berderai bagaikan dilanda garuda. Dia terlopong. Kakinya diatur perlahan-lahan ke arah rumahnya. Hendak masuk dia bimbang. Risau ada orang lain menantinya di situ.

...bersambung

Bab akan datang:

Siapakah yang mencari Duha pada waktu tengah malam?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience