Rate

Chapter 207

Romance Completed 26118

Bab 207

Tiba-tiba Suraya yang berada yang di samping Nashriq terjelepuk jatuh. Nashriq terpegun. Dia memandang gadis itu tidak berkelip. Mata Suraya tertutup rapat.

“Sue? Kenapa ni?” Dia tunduk mendakap gadis itu. Nafas Suraya turun naik. Nashriq naik cemas. Apakah sakit jantungnya datang kembali?

“Kenapa Nashriq?” Tanya Asri turut terkejut.

“Pakcik, kita kena bawa Suraya ke hospital segera. Dia…dia sakit jantung,” beritahu Nashriq dengan nada resah. Asri terkejut. ASP Baharin segera memanggil seorang anggota paramedik yang kebetulan sedang menuju ke arah mereka.

******

Dato’ Mustadza dan Sachary melangkah cemas menuju ke wad kecemasan. Di muka pintu, Nashriq sedang menunggu dengan wajah gelisah. Sebaik terpandangkan Dato’ Mustadza dan Sachary, dia segera menuju ke arah dua lelaki itu.

“Macamana keadaan Suraya, Nashriq?” Tanya Dato’ Mustadza.

“Belum tahu lagi Dato’, doktor masih di dalam memeriksa keadaan Suraya.”

Dato’ Mustadza mengeluh panjang. “Macamana semua ni boleh berlaku? Sue, jangan tinggalkan ayah Sue,” rintih Dato’ Mustadza tak putus-putus. Sachary di samping cuba memujuk ayahnya.

Tiba-tiba pintu bilik di hadapan mereka terbuka luas. Seorang doktor dalam lingkungan lewat 40an keluar dari dalam.

“Doktor Halim, macamana dengan keadaan anak saya?”

“Dato’, keadaan Suraya sangat lemah. Jantungnya tak mampu bertahan lagi. Suka atau tidak, sebaiknya kita kena jalankan ‘bypass surgery’ malam ini juga.” Cadang doktor itu.

Dato’ Mustadza terduduk lemah. Apa yang ditakutinya terjadi jua. Dengan melakukan pembedahan ini bermaksud kadar peluang Suraya untuk hidup hanya separuh sahaja. Sachary turut bimbang. Sesekali matanya singgah pada wajah Nashriq yang hanya diam.

“Dato’ kena sain surat kebenaran untuk pembedahan ni. Saya akan bersedia dengan unit pembedahan.” Sambung Doktor Helmi lagi. Dato’ Mustadza mengangguk lesu. Sebaik Dato’ Mustadza beredar mengekori Doktor Helmi, Sachary mengerling ke arah Nashriq.

“Apa sebenarnya yang terjadi kat sana Naz. Aku dapat tahu pihak polis serbu tempat tu. Macamana polis tahu macamana nak cari Suraya?” Sachary ingin tahu.

“Aku pun tak tahu macamana nak terangkan pada kau Sach. Aku pun sama keliru.” Keluh Nashriq sambil meraup wajahnya di sebuah bangku. Seperti Sachary, dia juga benar-benar ingin tahu apa sebenarnya yang terjadi dalam bangunan gudang itu. Siapa sebenarnya yang menculik Suraya, jika bukan Estella puncanya.

Terkenangkan wanita itu yang entah apa nasibnya, Nashriq diterpa resah berpanjangan. Sejak tadi dia ingin benar tahu keadaan Estella. Namun mengenangkan Suraya yang masih dalam keadaan bahaya, Nashriq tidak sanggup meninggalkan gadis itu sendirian. Sejak tadi juga dia tercari-cari kelibat pakciknya Asri serta ASP Baharin yang turut sama berkejar ke hospital sejak malam tadi. Entah ke mana kedua lelaki itu menghilang. Puas dia bersoal jawab dengan ASP Baharin yang ingin tahu bagaimana dia berada di situ. Mujurlah pakciknya Asri memberi alasan kononnya dia diajak ikut serta dalam gerakan polis malam itu.

Namun perasaan hairan masih kuat menguasainya. Pelbagai pertanyaan tentang peristiwa malam ini menjengah lubuk hatinya. Pertama tentang orang yang menculik Suraya, kedua tentang kehadiran Asri di tempat itu dan ketiga tentang Engku Iskandar yang disebut oleh lelaki itu. Entah mengapa Nashriq seperti dapar merasakan ada sesuatu di sebalik semua kejadian yang berlaku ini. Siapa pula Albert Wong yang dicanang oleh ASP Baharin? Malah nama lelaki itu bukan pertama kali didengarnya. Kalau dia tidak silap, nama itu juga singgah dari bibir Estella dan Jason.

Kehadiran Zafran di muka pintu bilik bedah mengejutkan Nashriq. Zafran juga terpana melihat kehadiran Nashriq di situ. Dia yang ingin melangkah masuk ke bilik bedah, menghalakan kakinya ke arah Nashriq.

“Kau buat apa di sini?” Soal Zafran agak hairan.

“Suraya sakit. Dia harus dibedah malam ini.” Ujar Nashriq ringkas.

“Jadi gadis di bilik bedah tu Suraya?” Wajah Zafran mencerut.

Nashriq mengangguk.

“Doktor Helmi suruh aku bantu dia dalam ‘operation’ malam ni. Tapi aku tak tahu pesakit tu Suraya.” Akui Zafran. Dia melepaskan keluhan berat. Dia mengangguk ke arah Sachary yang turut memandangnya.

“Ini Sachary, abang Suraya.” Nashriq memperkenalkan. Kedua lelaki itu berjabat tangan. Namun tiada suara dilontarkan. Masing-masing sibuk melayan perasaan. Zafran ingin kembali ke bilik bedah, namun tangan Nashriq lebih pantas memautnya. Mata Nashriq menuju ke wajah Zafran.

“Dia gadis yang baik. Kau selamatkanlah dia.” Pinta Nashriq resah.

Zafran terdiam. Wajah lelaki di hadapannya itu ditatap lama. “Dah memang jadi kewajipan kami. Jangan bimbang, Suraya pun kawan aku. Aku akan cuba sedaya upaya,” ujar Zafran seakan berjanji.

******

Lama matanya menjunam ke arah tubuh yang terbaring lesu dari cermin kaca di hadapannya.

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah pembedahan itu berjaya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience