Rate

Chapter 41

Romance Completed 26118

BAB 41

“Mereka pernah bekerjasama dengan kita dalam beberapa projek. Kenapa Naz tiba-tiba tanya tentang A&K Corporation?” Engku Latifah hairan.

“Sebab saya nak tahu apa umi dah buat dengan tanah tapak Vila Kecil yang ayah serahkan pada pakcik Munif dulu?” Dia bertanya lagi.

Engku Latifah terdiam. Serta-merta dia jadi resah. Dia benar-benar tidak menyangka, Nashriq akan bertanya tentang vila itu.

“Sampai hati umi buat macam tu pada Hana dan Makcik Sara. Sudahlah umi halau mereka dari rumah kita. Tak cukup dengan itu, umi halau pula mereka dari Vila Kecil milik mereka sendiri. Naz tak sangka umi sanggup berlaku kejam seperti ini.” Tuduh Nashriq agak kesal.

“Rumah tu bukan milik mereka Naz.”

“Ya, Vila Kecil memang milik ayah. Tapi ayah berikan rumah tu pada pakcik Munif sekeluarga, cuma nama sahaja yang belum sempat ditukar. Semua orang tahu hal itu. Tapi umi pula sanggup merampas tanah itu dan menjualnya pada orang lain. Kenapa umi boleh jadi macam ni? Saya dah tak kenal siapa umi lagi.” Bisik Nashriq sebak.

Engku Latifah terpaku. Kata-kata Nashriq meresahkan hatinya. Dia tidak tahu apa yang harus dikatakan pada anak itu. Melihat renungan tajam pada wajah Nashriq, lidah Engku Latifah bagaikan kelu untuk berkata-kata.

* * * *

Dia memandang wajah dua beranak itu dengan pandangan benci. Mata Maisara kian basah. Berjujuran airmata wanita itu mengalir di pipi. Namun entah kenapa sedikit pun perasaan simpatinya tidak ada untuk wanita itu. Matanya turut mencerlung ke arah gadis kecil belasan tahun yang tunduk diam di sisi ibunya.

“Aku nak kau kemas kain baju kau dan berambus dari rumah ni. Aku tak perlukan khidmat kau lagi.” Keras nada suaranya bertutur. Wanita di hadapannya terkejut. Bulat mata itu memandangnya.

“Puan, tolong jangan halau kami pergi. Hanya keluarga puan sahaja yang kami ada sekarang. Saya dah tak tahu hendak ke mana. Kalau sebab abang Munif, percayalah cakap saya puan, abang Munif tak bunuh Tuan Zainal. Selama ini kami terlalu hormatkan Tuan Zainal.” Rayu wanita itu dengan airmata bercucuran.

“Kau nak aku percaya yang suami kau tak bakar rumah itu dan menyebabkan kematian suami aku? Dasar perempuan kampung. Kalau diikutkan hati aku, aku cincang lumat kau dan anak kau hidup-hidup. Mulai hari ini jangan pernah kamu dua beranak berani muncul di hadapan aku lagi. Aku tak mahu tengok muka kau sampai bila-bila pun.” Bentaknya benar-benar meradang. Sakit hatinya hanya tuhan yang tahu.

Maisara memandang sayu ke arahnya. Namun wajahnya dipanggung ke arah lain. Enggan memandang wajah keduanya. Seperti memahami dirinya tidak lagi diperlukan, Maisara memimpin tangan Raihana lalu keluar. Namun belum sempat jauh kaki itu melangkah, Engku Latifah sekali lagi memanggilnya.

“Jangan kau harap kau boleh balik ke Vila Kecil. Rumah tu milik suami aku, lagipun tak ada bukti yang mengatakan yang tanah tu hak kau. Kau berambuslah ke mana sahaja yang kau suka, kecuali ke rumah ini dan Vila Kecil. Kalau aku nampak barang-barang kau masih ada di Vila Kecil menjelang malam esok, aku tak akan teragak-agak bertindak.” Ugut Engku Latifah.

Maisara terkedu. Dia menoleh memandang Raihana yang kelihatan sedih. Anak gadis itu seolah memahami setiap perkara yang berlaku dalam hidup mereka. Entah bagaimana dengan nasib mereka, masa depan mereka.

“Abang ambillah geran ni. Vila Kecil akan jadi hak abang, kalau abang buat sesuatu untuk Tif.” Ujar Engku Latifah sambil menunjukkan geran rumah kepada lelaki itu. Engku Iskandar memandangnya tidak berkelip. Namun tangannya segera mencapai dokumen-dokumen itu. Matanya membulat.

“Ini geran tanah Vila Kecil, bukan keluarga Munif memiliki rumah itu?”

“Itu dulu, tapi saya dah ambil semula rumah tu. Saya tak mahu keluarga pembunuh suami saya tinggal di situ, di rumah hasil titik peluh Zainal.”

Mata Engku Latifah merenung abangnya.

“Abang, saya nak abang pastikan Maisara dan Raihana pergi jauh dari hidup kita semua. Saya nak mereka pergi sejauh yang boleh. Saya tak mahu mereka kembali semula ke sini. Sampai bila-bila pun saya tak mahu tengok muka mereka.” Ujar Engku Latifah. Engku Iskandar tersentak. Namun wajah Engku Latifah bagaikan sudah nekad.

* * * *

Nashriq memandu tanpa arah haluan. Meredahi malam yang kian muram, sama seperti hatinya ketika itu. Dia sendiri tidak tahu kenapa saat itu, kekecewaan yang dialaminya begitu menyakitkannya.

Kata-kata ibunya seperti menambahkan sakit pada lukanya yang sedia ada. Jauh di sudut hati, dia rasa benar-benar bersalah. Bersalah pada Raihana. Bersalah pada makcik Maisaranya yang bagaikan ibu baginya selama ini.

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah usaha Nashriq untuk mencari Raihana dan Maisara diteruskan?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience