Rate

Chapter 16

Romance Completed 26118

BAB 16

“Err…Duha keluarkan wang simpanan Duha.” Jawabnya.

Zafran tergaman. Wang simpanan? “Banyak simpanan Duha sampai beribu. Betul itu duit Duha sendiri, bukan Duha pinjam dari sesiapa?” Soal Zafran lagi bagaikan kurang percaya.

Duha Maisara menganggukkan kepalanya. Namun matanya seakan tidak mampu bertentang pandang dengan Zafran. Bimbang Zafran dapat menghidu pembohongannya. Bagaimana kalau Zafran dapat tahu wang yang digunakan untuk menjamin ayahnya dipinjam dari Mami Jun? Entah mengapa Duha Maisara serba salah jadinya. Tiba-tiba dia rasa bersalah kerana berbohong dengan Zafran.

* * * *

Mata Zafran asyik mencuri pandang wajah ayu Duha Maisara yang sedang menghirup secawan kapucino pekat. Tingkahlaku Duha Maisara lemah lembut memikat hati. Dia terkesima seketika apabila sepasang mata berbulu lentik itu mengangkat wajah memandangnya. Terasa dadanya sarat dengan debaran. Hati lelakinya bergetar tak tertahan.

“Kenapa abang pandang Duha macam tu? Abang masih marahkan Duha?” Duga gadis itu, sedikit resah.

Zafran melarikan matanya. Dia memandang cawan kopinya sendiri yang masih banyak berbaki. Hatinya terusik.

“Duha tahu Duha salah. Duha tak patut rahsiakan dengan abang fasal ayah ditangkap polis. Duha minta maaf, bang,” ucap Duha Maisara.

Zafran mengeluh. Lagi-lagi soal ayahnya menjadi punca perbincangan mereka setiap kali bertemu. Kadangkala dia risaukan keselamatan Duha Maisara. Apatah lagi ayahnya memang ramai musuh. Zafran risau jika salah seorang musuh ayahnya datang mencari Duha Maisara untuk membalas dendam.

“Lain kali Duha jangan buat macam ni lagi. Apa-apa saja yang ayah buat, Duha kena beritahu abang. Abang sayangkan Duha. Abang tak mahu apa-apa yang buruk berlaku pada Duha.”

Duha Maisara terdiam mendengar kata-kata Zafran. Dia tahu lelaki itu mengambil berat tentangnya. Dalam dunia ini, hanya Zafran yang baik dengannya. Kalau tiada Zafran, mungkin dia sudah mati di kaki lima.

“Ayah tu tak jahat. Dia cuma suka berjudi, tapi dia baik dengan Duha,” ujar Duha Maisara. Zafran menarik nafas panjang. Apakah kata-kata Duha Maisara itu ikhlas atau sekadar untuk menyedapkan hatinya. Mana mungkin lelaki tua itu melayan Duha Maisara dengan baik. Bukan dia tidak tahu sikap ayahnya selama ini.

“Kerja abang kat hospital tu macamana?” Tanya Duha Maisara tiba-tiba. Sengaja dia mahu menukar topik dari terus berbual fasal ayahnya.

“Okey, tak lama lagi praktikal abang tamat. Kemungkinan abang akan ditugaskan di hospital yang sama.”

“Baguslah kalau macam tu. Senang Duha nak berulangalik melawat abang nanti.” Duha Maisara tersenyum senang. Lega mendengar perkhabaran Zafran. Bimbang juga dia jika Zafran ditugaskan di hospital yang agak jauh, mana mungkin dia boleh bertemu Zafran selalu.

“Kalau abang dah ditugaskan nanti, abang nak cari rumah lain yang dekat dengan hospital. Abang nak Duha tinggal dengan abang.” Putus Zafran.

“Ayah?”

“Ayah tak termasuk dalam rencana abang. Hanya kita berdua, Duha.” Ujar Zafran serius. Duha Maisara tersentak. Dia memandang Zafran yang turut merenungnya. Pandangan keduanya bertaut.

“Duha tak faham…”

“Abang nak Duha tinggal dengan abang. Duha saja, bukan ayah.”

Duha Maisara tergaman. Dia keliru jadinya mendengar kata-kata Zafran itu. Apa maksud Zafran mengatakan hanya mereka berdua sahaja yang tinggal? Bagaimana dia boleh tinggal berdua saja dengan Zafran. Zafran lelaki dan dia seorang gadis. Mana mungkin dia tinggal berdua dengan Zafran dalam satu rumah. Lagipun, dia dan Zafran bukannya adik beradik di sisi agama, meskipun ayah Zafran yang membelanya.

Tangan Zafran tiba-tiba meraih jari-jemarinya. Jemari halus runcing itu dibawa rapat ke dadanya. Duha Maisara terkejut besar dengan tindakan Zafran.

Apabila mata anak muda itu menatapnya tidak berkelip, Duha Maisara terkedu. Bingung dengan panahan mata Zafran yang nampak berbeza.

“Lepas abang tamat latihan nanti, abang nak bawa Duha tinggal dengan abang. Abang nak kita hidup bersama sampai bila-bila pun. Abang nak Duha wujud dalam hati abang sama macam dulu. Abang nak Duha jadi isteri abang.” Ucapan Zafran membuatkan jantung Duha Maisara bagaikan terhenti berdegup. Dia memandang lelaki itu seperti tidak percaya. Namun wajah Zafran tampak serius.

* * * *

Sepanjang malam dia tidak dapat lena. Sekejap dia berbalik ke kanan, sekejap dia berbalik ke kiri pula. Namun matanya masih tidak dapat dilelapkan. Pengakuan Zafran hari ini benar-benar di luar dugaan.

“Abang dah lama sukakan Duha, sejak kali pertama ayah abang bawa Duha balik ke rumah. Duha tahu kan yang abang tak ada adik beradik perempuan. Waktu itu abang sayangkan Duha dan anggap Duha macam adik abang. Kita membesar sama-sama. Tapi entah sejak bila, perasaan abang mula bertukar. Sayang abang bertukar menjadi cinta. Abang cintakan Duha.”

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah cinta yang mulai mekar di hati Zafran berbalas?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience