Rate

Chapter 141

Romance Completed 26118

Bab 141

Suraya memalingkan wajahnya. Entah kenapa dia benar-benar resah kali ini, meskipun dia cuba bertenang ketika mahu menjenguk wanita itu sebentar tadi. Dalam perbualan antara keduanya, nama Duha Maisara kerap singgap di gegendang telinganya. Apakah kata-kata orang selama ini terbukti betul? Apakah memang benar selama ini Nashriq dan Duha Maisara sememangnya menjalinkan hubungan? Oh tuhan, bodohnya aku selama ini kerana mengharap pada yang tak sudi! Rintih Suraya kesedihan.

Tiba-tiba bahunya disentuh seseorang. Suraya berpaling. Katrina memandangnya penuh simpati. “Kau tak apa-apa kan?”

Dia menggeleng. Pura-pura tersenyum sedangkan hati di dalamnya pecah berderai.

******

Anis benar-benar terkejut apabila Nashriq menghempas pintu biliknya. Dia terkesima seketika. Entah angin apa yang merasuk lelaki itu hari itu sehingga mengamuk begitu. Erman yang kebetulan baru hendak berjumpa lelaki itu, turut terkejut.

“Apa kena Nashriq hari ni Anis?”

“Entahlah Encik Erman. Tadi Puan Engku panggil Encik Nashriq ke biliknya. Agaknya dia kena basuhlah tu, kalau tidak takkan moodnya jadi macam tu,” duga anak gadis itu. Tersengih Erman mendengar kata-kata Anis. Dia malas mahu membuat kesimpulan sendiri, meskipun dia boleh meneka, semuanya kerana hal yang berlaku semalam.

Belum sempat Erman mahu membalas kata-kata Anis, pintu di hadapannya tiba-tiba terbuka. Wajah Nashriq yang muram muncul, memandang keduanya salih berganti. Tapi matanya menuju pantas ke arah Anis.

“Anis, suruh Duha Maisara jumpa dengan saya.” Arahnya.

“Err maaf Encik Nashriq, Duha baru telefon saya tadi. Katanya dia nak bercuti hari ni sebab ada hal.” Beritahu Anis.

“Hal apa?” Nashriq mengerutkan dahinya. Erman turut tercengang.

“Dia tak beritahu apa-apa pulak, Encik Nashriq.”

Nashriq mendengus tiba-tiba. “Teruk betul perempuan ni. Anis, lain kali tolong beritahu Cik Duha yang jika dia nak bercuti, tolong beritahu awal dan minta ‘approve’ dari saya dulu selaku bos dia. Jangan nak memandai-mandai sendiri,” herdik Nashriq panas hati. Dia segera melangkah kembali ke dalam biliknya.

“Tengok tu Encik Erman, memang angin Encik Nashriq tak baik hari ni. Tak fasal-fasal kita pun terkena tempias sama.” Rungut Anis. Erman hanya tersenyum, Tapi otaknya puas bekerja keras memikirkan kenapa Nashriq tiba-tiba bersikap demikian.

******

“Apa yang kau tahu fasal budak perempuan tu?” Dia bertanya ketika bertemu lelaki India itu di persimpangan kawasan berbukit di Bangsar. Lelaki itu tersenyum tenang memandangnya.

“Banyak.”

“Yalah tapi apa dia? Dan pastikan maklumat kau tu berguna untuk aku hapuskan pengaruh Nashriq.”

“Duha Maisara, berusia 24 tahun, bekerja di Blue Ocean hampir setahun yang lalu. Tinggal dengan seorang lelaki bernama Bustaman Akhil dan anak lelakinya Zafran seorang doktor pelatih, dua belas tahun yang lalu. Tapi yang menariknya, hubungan mereka bukan anak beranak ataupun adik beradik.” Ujar Robert.

Engku Iskandar mengerutkan dahinya.

“Aku tak faham.” Dia mengakuinya.

“Tak ada rekod mengatakan Duha Maisara anak Bustaman biarpun jiran-jiran sekeliling mereka mengaku bahawa gadis itu anak Bustaman. Malah nama gadis itu dibintikan dengan nama Abdullah. Tapi aku sedang cuba dapatkan rekod pengenalan dirinya sejak dua belas tahun yang lalu. Mungkin dalam dua tiga hari lagi.”

“Mana dia tinggal sekarang.”

“Di apartment Jalan Semarak. Kononnya apartment ini disewakan oleh Zafran Bustaman. Tapi lelaki ni selalu keluar masuk apartment ni beberapa kali dalam seminggu. Hubungan mereka nampak rapat.”

“Rapat yang macamana tu?”

“Yalah sepanjang aku ekori dia, lelaki ini kerap datang mengunjunginya. Kadang-kadang mereka keluar makan malam bersama. Kadang-kadang nampak macam bergaduh. Kau pun tahukan macamana pasangan yang sedang bercinta.” Lelaki India itu tersengih seraya tertawa.

Engku Iskandar terdiam. Bercinta?

“Kau rasa macam tu?” Dia memandang ke arah Robert, inginkan kepastian.

“Come on lah Is, mereka tak ada hubungan apa-apa. Bukan adik beradik atau bukan juga saudara mara. Tapi ada beberapa kali juga lelaki ini bermalam di apartment itu. Kalau bukan perkara yang aku sedang fikirkan ni, apa pula?”

“Maksud kau mereka bersekedudukan?” Engku Iskandar tersengih. Benarkah begitu? Gadis itu nampak lemah lembut, takkan berani melakukan perkara sebegitu. Tapi jika difikirkan tidak mustahil, bukankah dia bekas pekerja Blue Ocean? Demi kesenangan, semua orang sanggup melakukan apa sahaja, detik hati Engku Iskandar.

“Kalau diikutkan, memang berkemungkinan begitu.” Ujar Robert.

Engku Iskandar tertawa kecil. Siapa yang memainkan siapa sebenarnya? Bagaimana gadis seperti Duha Maisara boleh bercinta dengan dua lelaki dalam satu masa? Atau apakah gadis itu ada agenda sendiri? Memerangkap dan menakluk Nashriq dalam pangkuannya?

Dia memandang beberapa keping gambar di tangannya. Bibirnya tersenyum. Bagaimana kalau Nashriq tahu hal ini? Apa agaknya akan dilakukannya? Atau patutkah aku biarkan Nashriq terus dipermainkan oleh gadis itu sehingga ke akhirnya?

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah dia akan memberitahu kepada Nashriq? Percayakah Nashriq pada Engku Iskandar?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience