Rate

Chapter 56

Romance Completed 26118

Bab 56

Raihana mengundur selangkah dua. Dua lelaki yang menjadi orang suruhan lelaki itu perlahan-lahan hampir ke arahnya. Dia cuba menjerit, sepantas kilat mulutnya ditekup dengan tapak tangan kasar.

“Oh nak jerit, kau ingat kalau kau jerit, orang akan dengar dan tolong kau. Sayang, ini kebun getah kat sempadan. Takkan ada orang dengar kalau kau menjerit sehingga keluar anak tekak sekalipun,” herdik salah seorang lelaki itu sambil tergelak besar.

Raihana terpegun. Dia memejamkan matanya. Nasibnya bagai di hujung tanduk. Dia tahu apa yang boleh dilakukannya hanyalah berserah pada Allah. Selain itu, dia tiada ikhtiar lain. Menangis airmata darah sekalipun, lelaki-lelaki itu takkan simpati padanya.

Sebaik tubuhnya dihenyak di belakang lori kecil dengan mata tertutup, dia dapat mendengar enjin lori itu dihidupkan. Terjelepuk di suatu sudut dengan tangan dan mata yang tertutup, badannya kebas-kebas. Dari jarak perjalanan, dia tahu sudah berjam-jam kenderaan itu bergerak di atas jalan raya. Otaknya mula mencari ikhtiar.

Dia mula menggesel-geselkan kain penutup mata dengan hujung besi dalam lori tersebut. Beberapa kali mencuba, akhirnya dia berjaya.

Matanya mendongak memerhatikan suasana yang sudah bertukar malam. Remang-remang senja kelihatan di dada langit. Bulat matanya memerhatikan sekitar ruang dalam lori itu. Akhirnya matanya menemui sebuah botol pecah. Dengan botol itulah dia cuba membuka ikatan tangannya. Mujurlah tangannya diikat di hadapan, bukannya di belakang.

Sebaik ikatan di tangannya terlerai, dia segera menyelak kain penutup lori. Dadanya berdebar-debar. Entah kenapa dia jadi takut untuk terjun. Bagaimana kalau nyawanya setakat malam itu sahaja. Tiba-tiba tanpa sedar, kakinya terlanggar sekotak kayu yang terletak di hujung sudut. Dia tergaman melihat isi kotak bertaburan jatuh di atas permukaan jalan raya. Serentak, lori itu dibrek mengejut.

Mendengar bunyi derapan sepatu tergesa-gesa turun dari badan lori, tanpa membuang masa dia segera melompat turun dari lori. Tanpa berlengah, dia berlari sekuat hati ke arah hutan kecil di tepi jalan. Melihat kelibat kecil Raihana yang semakin jauh melarikan diri, kedua-dua lelaki itu tergaman.

“Bodoh! Kejar dia, jangan sampai dia lepas!” Jerit salah seorang lelaki itu. Kedua-dua lelaki itu segera mengejarnya sehingga ke dalam kawasan hutan. Larinya semakin laju. Dia tidak boleh membiarkan dirinya ditangkap sekali lagi. Dia mahu pulang mencari ibunya.

Melihat jalan keluar di hadapannya, hatinya lega. Harap-harap ada kenderaan yang lalu lalang di situ sudi membantunya. Tanpa berfikir panjang, dia segera meluru pantas ke arah jalan besar di hadapannya. Sebuah van sederhana besar sedang meluncur laju ke arahnya. Dia tergaman. Serentak dia memejamkan mata sekuat hati. Tak lama kemudian, tubuhnya terasa dilambung dan dia tercampak jauh ke hadapan. Matanya sayup-sayup memandang. Pandangannya kian berbalam. Namun derapan-derapan sepatu terdengar jelas di telinganya. Oh Tuhan, ambillah nyawaku jika itu yang Kau inginkan terjadi. Dia pasrah.

Duha Maisara terjaga dari tidurnya. Matanya terbeliak. Dadanya turun naik seperti sesak nafas. Dia cuba bertenang. Wajahnya diraup dengan kedua belah tangan. Namun keresahan hatinya langsung tidak mahu hilang. Mimpi itu datang lagi. Bertahun lalu dia cuba menghalau mimpi ngeri yang kerap dialaminya. Terlalu dia berusaha, akhirnya dia mampu tidur tenang. Namun hari ini, mimpi itu datang kembali.

Dia teringat peristiwa di institusi rawatan mental siang tadi. Renungan wanita itu sampai sekarang membuatkan dia sukar mahu melelapkan mata semula. Tubuhnya tiba-tiba gementar. Dia sendiri tidak tahu kenapa tiba-tiba keadaannya menjadi begitu, namun semuanya berpunca dari wanita itu.

“Mustahil!” Tanpa sedar bibir Duha Maisara berbisik sesuatu. Dia sendiri terkejut dengan kata-katanya. Apa yang mustahil sebenarnya? Mustahil kerana wajah wanita di pusat rawatan mental seiras dengan ibunya, atau mustahil kerana selama dua belas tahun ini, dia hidup dengan fikiran bahawa ibunya sudah meninggal dunia? Oh Tuhan, dugaan apakah yang ingin kau berikan padaku di saat aku terasa diriku begitu lemah dan kerdil di sisiMu.

Apakah wanita itu benar-benar ibuku ya Allah? Mungkin selama ini aku dibohongi oleh mereka. Kami dipisahkan oleh keadaan yang memaksa. Ya Allah tunjukkan aku jalan keluar. Jika benar dia ibuku, berilah aku kekuatan untuk menghadapi keadaannya. Tak putus-putus Duha Maisara. Apa yang diharapkan hanyalah satu kebenaran. Dan dia bertekad mahu menyelongkar kebenaran itu mulai saat itu.

******

“Ada orang bawa dia ke tempat ini hampir lapan tahun yang lalu. Keadaannya masa itu sama seperti sekarang. Dengar khabar dia jatuh sakit sebelum disahkan koma. Tapi sebaik pulih dari koma, fikirannya seperti tidak waras. Sebab itu dia dihantar ke mari,” jelas Doktor Habibah .

Duha Maisara tersentak. Kata-kata doktor itu membuatkan dia termenung panjang.

...bersambung

Bab akan datang:

Siapakah pesakit itu? Apakah hubungannya dengan Duha?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience