Rate

Chapter 3

Romance Completed 26118

BAB 3

“Di mana dia sekarang? Vila Kasih?” Soalnya ingin tahu.

“Saya dapat tahu mereka terus ke hotel untuk menginap. Mereka tak pulang ke Vila Kasih.”

Lelaki itu termenung panjang. Kenapa anak itu tidak terus pulang ke rumah? Hampir dua belas tahun tidak pulang ke tanahair, takkan dia tidak rindu pada ibunya?

“Tuan nak jumpa dia?” Tanya lelaki muda itu.

Dia hanya tersenyum lantas menggelengkan kepala. “Tak payahlah Lan, belum sampai masanya untuk kami bertemu. Biarlah dulu. Kau dah berjaya jejak Molin?”

Azlan mengangguk. “Kami dah jumpa dia bersembunyi di kampung halamannya di Banting, Kedah. Kamal akan bawa dia ke sini nanti.” Ujar lelaki itu.

“Bagus. Dah sampai masanya kita tahu cerita sebenar. Awasi Molin baik-baik, jangan sampai dia terlepas.” Arah lelaki itu. Azlan mengangguk akur. Dia sudah maklum dengan tugas yang sudah lama diserahkan kepadanya.

Sudah hampir dua tahun mereka menjejak Molin Rahman. Baru kini mereka berjaya mengesan jejak lelaki itu. Hanya dengan kewujudan Molin Rahman, baru mereka boleh membawa CK Tan jatuh dari singgahsananya.

******

Dia memberhentikan langkah. Tertarik pada seorang wanita gempal yang sedang menjual pisang goreng di gerai kecil, tidak jauh dari simpang masuk ke rumahnya. Aroma pisang goreng semerbak harum membuatkan perasaannya jadi ceria. Dia teringatkan ayahnya yang suka benar menjamah pisang goreng petang-petang begitu.

“Beli pisang goreng dik?” Tegur wanita si penjual.

Dia sekadar tersenyum lalu mengangguk. “Bagi tiga ringgit kak,” pintanya seraya meraba-raba dompet kecil dalam saku bajunya. Sebentar sahaja, dia mengeluarkan wang tiga ringgit lalu segera dihulurkan ke arah si penjual. Wang dan pisang goreng bertukar tangan. Hatinya terasa puas.

Langkahnya diatur laju menuju ke arah sebuah rumah teres dua tingkat di kawasan perumahan itu. Sesekali matanya menoleh ke arah sekawan kanak-kanak yang sedang asyik bermain di taman permainan yang hanya terletak beberapa ela di hadapan rumahnya.

Baru hendak melangkah masuk, dia terdengar bunyi kaca terhempas ke lantai. Dia terpana. Serta-merta jantungnya berdegup kencang. Pantas dia menolak daun pintu, lalu berlari ke arah dapur. Melihat seorang lelaki separuh umur sedang tunduk mengutip sisa kaca yang pecah, serta-merta darahnya menyirap.

“Ayah…” Dia bersuara separuh panik.

Lelaki yang sedang tunduk itu tergaman. Dia mengangkat wajahnya memandang ke arah Duha Maisara yang kelihatan kaget. Serentak mulutnya melepaskan keluhan berat.

“Dah balik pun kamu, aku ingatkan kamu tak mahu balik hari ni. Agaknya kamu nak biarkan orang tua macam aku ni mati kelaparan, baru kamu puas hati?” Sindir lelaki itu tiba-tiba. Duha Maisara terkedu.

“Duha minta maaf ayah. Tadi Duha nak balik awal, tapi bos di tempat kerja Duha suruh kami kemaskan stok-stok buku lama. Itu sebabnya Duha lambat balik, tapi tadi Duha ada belikan ayah pisang goreng.”

“Kamu ingat sekadar dengan pisang goreng tu, kamu boleh penuhkan perut aku ni? Apa yang aku nak duit. Mana duit gaji kamu bulan ni?” Asak Bustaman sambil mencerlung tajam ke wajah anak gadis itu.

Duha Maisara terdiam. Dia memandang ayahnya seketika, sebelum perlahan-lahan mengeluarkan dompet duit dari saku bajunya. Namun sebelum sempat dia membuka dompetnya, tiba-tiba sahaja dompet di tangannya direntap kasar. Duha Maisara kaku melihat Bustaman rakus mengeluarkan beberapa keping not dari dompetnya.

“Banyak ni aje kamu ada?” Bustaman seolah naik berang.

“Duha simpan separuh di bank. Kalau ayah nak pakai duit tu ayah ambillah, tapi duit di bank tu Duha simpan untuk kegunaan abang,” sahut Duha Maisara perlahan.

Bustaman terdiam. Dia memandang gadis itu. Timbul rasa serba-salah, tapi dia perlukan duit itu untuk mendapatkan semula wangnya yang banyak dihabiskan di meja judi. Dia teringatkan janjinya dengan Hussain dan Badri untuk bertaruh pada perlawanan poker malam nanti.

“Kalau kau nak menang balik duit yang kau kalah pada Black tempohari, inilah masanya. Aku dengar Black nak buat pertaruhan besar malam nanti.” Ujar Hussein galak.

“Tapi aku tak ada duit.”

“Man…Man, anak kau kan ada. Mintalah duit dari dia. Siang malam aku tengok dia kerja, takkan tak ada duit di tangan.” Pancing Badri pula.

Dan dia seperti orang bodoh, seolah dirasuk untuk mendapatkan balik wangnya yang banyak dihabiskan di meja judi. Kerana judi, dia bagaikan lupa pengorbanan Duha Maisara yang bertungkus lumus bekerja keras menyara keluarga. Tugas yang sepatutnya dia lakukan, terpaksa dibebani di pundak Duha Maisara seorang.

“Ayah, Duha nak masak malam nanti. Ayah nak makan apa, Duha masakkan ya,” ujar Duha Maisara cuba mengambil hati. Tutur kata gadis itu sentiasa lembut tersusun. Biar bagaimana kuat sekalipun dia menghamun anak gadis itu, Duha Maisara tidak pernah melawannya. Tidak sekali juga meninggikan suara padanya.

…bersambung

Bab akan datang:

Apakah Bustaman lembut hati mendengar kata-kata Duha?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience