Rate

Chapter 9

Romance Completed 26118

BAB 9

Gadis itu seakan terkejut mendengar herdikan Nashriq. Dia memandang lelaki itu tanpa sepatah suara. Wajah Nashriq yang sedang ralit mengesat air yang terkena mukanya dengan saputangan, sedikit sebanyak membuatkan dadanya berdebar-debar.

“Maaf, saya tak sengaja.” Balasnya lembut.

Nashriq hanya diam. Dia memandang Erman yang hanya tersengih sambil mengangkat bahunya. Seketika pandangannya dialihkan ke wajah gadis itu. Gadis itu seperti ikhlas mahu meminta maaf. Nashriq mengeluh panjang. Tak fasal-fasal dia terkena tempias orang lain.

“Abang, saya nak ke restroom sebentar. Lepas ni abang terus balik, jangan tunggu saya. Saya masih ada hal lain,” ujar Nashriq pada Erman. Tanpa mempedulikan gadis itu, dia segera berlalu pergi. Erman hanya mengangguk. Apabila matanya dialihkan ke arah gadis itu, bebola mata gadis itu dilihatnya begitu asyik mengekori langkah Nashriq. Erman tersenyum. Agaknya, malam ni budak ni akan termasuk jerat baru, bisik hati Erman nakal.

******

Sebaik Nashriq selesai membersihkan diri di restroom, dia bergegas keluar. Namun langkahnya terhalang, apabila sesusuk tubuh dengan berani menghalang laluannya. Mata Nashriq segera mencerun ke arah wajah yang nampak selamba itu. Dia cuba melangkah, namun sekali lagi dia dihalang.

Nashriq memandang gadis itu tidak berkelip. Bibir gadis itu melemparkan senyuman.

“You nak apa ni?” Soal Nashriq hairan.

Gadis itu tidak terus menjawab. Hanya tangannya dihulur pantas ke arah lelaki itu. “I Suraya. Suraya Mustadza.” Ujar gadis tinggi lampai itu.

Nashriq hanya memandang salam yang dihulurkan. Dia tersenyum. Melihat Nashriq seolah sudi membalas senyumannya, hati Suraya seperti di awang-awangan. Dia yakin lelaki itu akan menyambut tangannya.

“So what? Suraya ke siapa ke, do I really care?” Senyuman itu tiba-tiba bertukar dingin. Suraya tergaman. Mata Nashriq merenung tajam ke arahnya. Dia terpaku apabila lelaki itu tiba-tiba mendekatinya. Jarak tubuh lelaki itu dengannya begitu rapat. Entah mengapa dadanya berdebar kencang. Hisk, apa dia nak buat ni? Hati Suraya sudah bergelodak dilambung gelora, apatah lagi tangan Nashriq sudah naik ke bahunya.

Perlahan-lahan dia memberanikan diri memandang lelaki itu dari jarak dekat. Entah kenapa hatinya terbuai dengan renungan Nashriq. Dia mula membayangkan saat-saat indah penuh impian. Suraya tersenyum tanpa sedar. Aneh! Bagaimana dia boleh berangan sejauh itu dengan seorang lelaki yang baru setengah jam tadi dikenali?

Namun impian Suraya terkulai layu tatkala Nashriq menolak bahunya ke tepi. Wajah anak muda itu serius memandangnya. “I cuma nak beritahu you, yang I tak berminat dengan ex-girlfriend orang lain. So please jangan nak memalukan diri you macam ni. I’m really not interested!” Bisik Nashriq di tepi telinganya. Dia terpegun. Nashriq segera melangkah pergi tanpa menoleh, meninggalkan dirinya yang tiba-tiba rasa tersinggung.

“Not interested? Huh, suatu hari nanti aku pasti kau akan melutut juga di kaki aku ni.” Gumam Suraya dengan hati panas. Lelaki itu memang sombong! Berlagak! Kau belum kenal siapa Suraya Mustadza. Selagi aku tak jinakkan kau, jangan harap aku akan berputus asa, bisik Suraya di dalam hati.

******

Sebaik terpandang kelibat gadis itu melangkah memasuki ruang lot parking, Syahrul tersengih. Keluar juga dia. Gadis itu harus diajar. Berani dia mempermain-mainkan aku! Syahrul mengenggam penumbuknya. Dia benar-benar tidak puas hati. Sikap Suraya benar-benar mencabar kesabarannya.

Dia memandang ke arah teman-temannya. “Itu perempuan yang aku maksudkan. Sekarang, kau tahu apa yang patut kau buat kan? Aku nak dia rasa apa yang aku rasakan,” ujar Syahrul geram.

Fendi dan Samad tergelak besar.

“Kau nak aku main kasar ke?” Samad tersengih nakal.

“Suka hati kauoranglah, janji dendam di hati aku ni terbalas. Perempuan macam tu harus diajar.” Bentak Syahrul. Dia memerhatikan dari dalam kereta, tatkala Fendi dan Samad perlahan-lahan merapati Suraya. Dia tersenyum senang. Padan muka dia! Dia ingat dia cantik sangat agaknya! Tapi sejurus kemudian, Syahrul terdiam. Memang cantik! Kalau tidak masakan dia terpikat pada gadis itu.

Asalnya hubungan mereka baik-baik sahaja. Dia pula kerap membawa Suraya keluar. Beribu duitnya habis membeli hadiah yang mahal-mahal untuk gadis itu. Malah dia sudah berangan-angan mahu membawa gadis itu berjumpa keluarganya di kampung. Hajatnya ikhlas untuk mempersuntingkan Suraya.

Namun harapannya punah di tengah jalan. Siapa yang tak hampa bila akhirnya pelaburan yang dibuat langsung tak mendatangkan keuntungan. Sejak seminggu yang lalu, Suraya mula dingin dengannya. Tambah dia bengang apabila terserempak Suraya berpegangan tangan dengan lelaki lain di pusat beli belah beberapa hari yang lalu. Apabila ditanya Suraya memberi alasan rakan sekerja. Rakan sekerja konon! Rakan sekerja apa sampai berpegangan tangan begitu. Syahrul mencebik. Mati-mati dia ditipu oleh perempuan selicik Suraya.

...bersambung

Bab akan datang:

Apa yang terjadi pada Suraya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience