Rate

Chapter 61

Romance Completed 26118

Bab 61

Perlahan-lahan Duha Maisara menoleh. Lama matanya terpaut pada langkah laju lelaki itu meninggalkan restoran. Dadanya sebak. Dia tahu lelaki itu ikhlas, tapi untuk meminta bantuan lelaki itu menyelesaikan masalah peribadinya, dia lebih malu lagi. Dia tak sepatutnya mengheret seseorang yang tidak ada kena mengena dengannya masuk dalam kancah hidupnya. Duha, kau boleh hadapi semua ini. Kau takkan kalah sebelum berjuang. Dia mengetapkan bibirnya.

* * * *

Nashriq memandang ombak besar yang memukul pantai di Teluk Kemang itu. Beberapa pengunjung pantai itu kelihatan girang bermain ombak di hadapannya. Sesekali pandangannya jatuh pada sekumpulan anak-anak kecil yang diawasi ibubapa masing-masing, bermain di gigi air.

Entah kenapa, melihat betapa girangnya anak-anak itu bermain air, seolah seperti mengulang saat-saat gembiranya ketika berlari-lari anak bersama Raihana di pantai itu. Dia cuba mengejutkan Raihana dengan anak ketam yang ditemuinya di pesisir pantai, menyebabkan gadis itu lari melulu dengan wajah cemas. Dia tertawa besar. Lucu melihat Raihana yang takut-takut dengan anak ketam yang ditemuinya.

“Siapa kata Hana takut?”

“Habis yang Hana lari kenapa?” Dia tersengih.

“Hana lari sebab abang kejar. Siapa suruh abang kejar Hana.” Gadis itu memalingkan wajahnya. Merajuk hati dengannya.

“Betul Hana tak takut dengan ketam ni?” Dia cuba menduga hati gadis kecil itu.

Raihana terdiam. Namun melihat Nashriq menghampirinya dengan ketam itu, dia segera berlari ke belakang babanya.

Zainal Ikram tertawa kecil melihat telatah anak-anak kecil itu. Dia berpaling ke arah Munif dan Maisara yang sedang menyiapkan makanan, bekal perkelahan mereka.

“Sesekali kita berkelah begini, seronok juga kan Munif.” Ujar Zainal Ikram. Munif berpaling. Bibirnya menguntum senyuman.

“Memang seronok bang, harap-harap lain kali kita bawa pula puan ke sini.” Ujar Munif. Mendengar kata-kata Munif, Zainal Ikram terdiam. Dia terkenangkan isterinya yang selalu sibuk dengan urusan perniagaan sampaikan tiada masa mengatur rumahtangga. Entah mahu atau tidak wanita itu pergi berkelah dengannya lain kali.

“Baba, tengok abang ni, suka usik Hana,” Jerit Raihana.

Perbualan Zainal Ikram dan Munif terganggu. Serentak kedua-duanya berpaling ke arah Nashriq yang tidak serik-serik mengusik Raihana.

“Naz, jangan diusik Hana tu. Ayah tengok kamu ni semakin melampau-lampau nakalnya,” larang Zainal Ikram. Anak itu hanya tergelak. Langsung kata-katanya tak diambil pusing.

Mendengarkan Nashriq dimarahi, Raihana tertawa kecil. Lantas dia mendekati Zainal Ikram, lalu melentokkan dahinya ke bahu lelaki itu. Zainal Ikram terkedu. Matanya memandang Munif yang sekadar tersenyum.

“Hana sayang sangat dekat baba,” akui anak gadis itu.

Zainal Ikram tersenyum. “Lebih sayang dari ayah?” Duga Zainal Ikram.

Gadis kecil itu menggeleng. “Sama-sama sayang. Hana sayang pada ayah dan baba, sampai bila-bila pun.” Bisik Raihana, membuatkan Zainal Ikram terharu. Lantas kepala anak itu dirangkul ke dalam pelukannya. Nashriq hanya memerhatikan tindakan ayahnya dari sisi. Dia turut tersenyum. Dia tahu lelaki itu amat menyayangi Raihana. Kadangkala cara layanan ayahnya terhadap Raihana dirasakan ganjil.

Kadangkala terdetik juga rasa cemburu di hatinya, melihat kemesraan ayahnya dengan gadis itu. Tapi cemburunya hanya singgah sekali-sekala. Ini kerana kasih sayang Zainal Ikram terhadapnya juga tidak pernah berkurang. Dengan ayahnya, dirasakan saat-saat dalam hidupnya dilimpahi kasih sayang, tidak seperti dengan uminya. Zainal Ikram pandai mengambil hati. Malah ketegasan lelaki itu dipejabat tidak pernah di bawa pulang ke rumah. Di rumah, lelaki itu adalah ayah penyayang dan suami yang cukup baik buat uminya.

Namun keindahan itu hanya sekejap dikecapi. Tak mungkin dia lupa peristiwa yang berlaku dua belas tahun yang lalu. Peristiwa itu telah mengubah semua persepsi hidupnya tentang sebuah keluarga yang diidam-idamkannya.

“Nashriq Adli, ada orang jemput awak. Awak kena balik rumah sekarang juga.” Suara guru muda bercermin mata itu bagaikan baru semalam terngiang-giang di telinganya. Dia memandang Erman yang berdiri di sisi gurunya. Wajah lelaki itu keruh, membuatkan hatinya gelisah tiba-tiba.

Dia baru hendak menaiki kereta, sebaik Raihana menerpa ke arahnya.

“Abang…abang nak ke mana?” Soal Raihana hairan.

Dia hanya tersenyum memandang wajah Raihana yang dipenuhi tandatanya. Seperti Raihana, dia juga ingin tahu kenapa Erman menjemputnya dari sekolah secara tiba-tiba. Selalunya pakcik Munif yang sering menjemputnya dengan Raihana. Namun pertanyaan itu hanya mampu dipendamkan, apatah lagi melihat Erman seperti tidak banyak cakap seperti selalu.

“Hana jangan bimbang, abang nak balik rumah dulu. Hana teruskan kelas, sambung belajar. Nanti cikgu marah.” Pesannya begitu.

“Tapi Hana nak ikut abang.” Raihana merengek-rengek tidak puas hati. Dia serba salah. Wajah Erman dipandang memohon pengertian. Erman memandangnya seketika sebelum beralih ke wajah

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience