Rate

Chapter 111

Romance Completed 26118

Bab 111

Duha Maisara terpegun. Kelibat anak muda itu melangkah diintai sepasang matanya yang longlai.

Perlahan-lahan dia masuk ke biliknya sendiri. Apabila daun pintu dikatup, tangannya perlahan-lahan mengunci pintu kamar. Bukan kerana dia tidak percayakan Zafran. Hampir dua belas tahun mereka membesar bersama. Selama ini Zafran tidak pernah mengapa-apakannya meskipun mereka hanya ditinggal berdua di rumah, jika Bustaman tiada.

Yang dibimbangkan hanyalah perasaan Zafran yang terganggu. Meskipun dia tidak pasti apa sebenarnya yang menganggu emosi lelaki itu, namun dia tahu pasti sedikit sebanyak disebabkannya. Kerana dia, Zafran berubah sikap. Kerana dia juga, kemesraan mereka yang dulu, tiba-tiba hilang entah ke mana.

******

Suraya mengetuk pintu bilik di hadapannya. Dia mendengar seketika. Apabila terdengar suara wanita itu, barulah Suraya menolak daun pintu di hadapannya. Wajah Engku Latifah yang sedang berbual dalam telefon ditatap agak lama. Wanita itu sempat mengisyaratkan agar dia menunggu sebentar. Suraya mengangguk.

Sementara menunggu wanita itu selesai berbual, Suraya leka memerhatikan potret-potret keluarga wanita itu yang tergantung di dinding bilik. Potret lelaki yang berada di samping Engku Latifah diperhatikan agak lama. Agaknya inilah Tuan Zainal Ikram, bekas pengerusi syarikat itu yang sudah lama meninggal dunia.

Sedikit sebanyak, Suraya tahu juga cerita tentang kematian Zainal Ikram yang kononnya melibatkan pemandunya sendiri. Namun dia tidak pasti kesahihan cerita itu. Untuk bertanya sendiri pada Nashriq, dia bimbang dimarahi lelaki itu.

Apabila mata Suraya beralih arah, dia tertarik memandang dua kanak-kanak yang sedang bergambar ceria di samping arwah Zainal Ikram. Lama matanya memerhatikan ke arah potret tersebut. Wajah kanak-kanak lelaki di sisi Tuan Zainal sudah pasti Nashriq. Suraya tersenyum. Comel lelaki itu semasa kecil.

Pandangan Suraya beralih ke arah kanak-kanak perempuan yang sedang dipegang tangannya oleh Zainal Ikram. Dahinya berkerut seribu. Pelbagai pertanyaan singgah di kepalanya. Dia pernah melihat potret wajah yang sama terpapar di atas meja di bilik Nashriq tempohari. Namun sehingga sekarang dia masih belum tahu siapa kanak-kanak perempuan itu.

“Sue? Sue tengok apa tu?” Tegur Engku Latifah yang baru selesaikan berbual.

Suraya berpaling. Wajahnya tersenyum simpul.

“Maaf auntie, Sue tengok gambar auntie sekeluarga.” Ujarnya.

“Gambar lama Sue, tak ada apa-apa yang menarik.” Balas Engku Latifah seraya mendekati anak gadis itu.

“Auntie, budak perempuan di sebelah Tuan Zainal ni siapa? Adik Nashriq ya?” Tanya Suraya tiba-tiba. Entah kenapa, dia benar-benar ingin tahu.

Melihat potret yang ditunjukkan oleh Suraya, wajah Engku Latifah berubah. Dia memang berhajat ingin membuang semua gambar Raihana. Namun entah apa silapnya, gambar yang satu itu tidak terbuang. Dia tidak sampai hati. Apatah lagi dalam potret itu turut ada gambar suaminya dan Nashriq. Malah seingatnya, suaminya amat menyayangi potret tersebut. Lagipun, dia tidak memiliki banyak gambar Nashriq dan Zainal Ikram. Meskipun dia benci mahu memandang gambar gadis kecil itu, namun dipaksakan jua dirinya membiasakan diri dengan potret tersebut.

“Auntie?” Suraya memandang wanita itu. Dia hairan kerana Engku Latifah bagaikan tidak mahu menjawab pertanyaannya.

Wanita itu memandangnya dengan wajah keruh. Suraya tergaman. Dia rasa menyesal kerana bertanya. Wanita itu bagaikan tidak suka dia bertanya.

“Maaf auntie, Sue tak sengaja.” Ucap Suraya.

“Budak perempuan tu…” Suara wanita itu tersekat-sekat. Suraya memandangnya. Dia benar-benar ingin tahu apa sebenarnya yang mahu dinyatakan oleh wanita itu.

“Budak perempuan tu anak pembunuh. Pembunuh kepada suami auntie.” Ujar Engku Latifah dengan nada keras. Suraya terperanjat besar. Tidak menyangka akan mendengarnya sendiri dari mulut wanita itu.

“Maksud auntie?”

“Memang auntie benci sangat dengan mereka, tapi auntie tak boleh buang gambar itu. Itu satu-satunya gambar yang paling disayangi oleh suami auntie. Dia sayangkan budak tu macam anak sendiri, tapi mereka bunuh dia. Mereka bunuh harapan auntie.” Luah Engku Latifah sebak.

Suraya terdiam. Dia tidak memberi sebarang komen, apatah lagi dia sebenarnya tidak tahu hujung pangkal cerita.

“Maaf auntie, Sue tak tahu semua ni.” Ungkap Suraya. Engku Latifah memandang anak gadis itu sambil menggelengkan kepalanya.

“Tak apa, lagipun auntie memang ingin lupakan terus peristiwa hitam ini dalam hidup kami. Kalau boleh auntie tak mahu ingat lagi. Sudahlah kita jangan bercakap lagi soal itu. Tujuan auntie panggil Sue ni sebab nak ajak Sue lunch dengan auntie tengahari ni. Masa pun dah nak masuk tengahari. Auntie dah tempah meja di restoran yang biasa auntie pergi tu. Makanannya sedap,” canang Engku Latifah.

Suraya hanya tersenyum. Dia berjalan keluar beriringan dengan Engku Latifah. Sampai di lobi syarikat, langkah Engku Latifah terhenti. Suraya berpaling. Hairan dengan sikap wanita itu.

...bersambung

Bab akan datang:

Apa yang Engku Latifah lihat sehingga menyebabkan dia berhenti di situ?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience