Rate

Chapter 183

Romance Completed 26118

Bab 183

“Dia suruh saya buatkan dia kopi.” Jawab Duha Maisara ringkas.

“Hai sejak bila Encik Nashriq tu suka minum kopi? Setahu saya dia selalu pesan teh panas dengan lemon sahaja.” Anis mengerutkan dahinya. Duha Maisara tidak memberi sebarang komen. Dia segera melangkah menuju ke bilik rehat yang tidak jauh dari situ. Kabinet dapur bilik rehat dibuka, namun dia tidak menemui sebarang serbuk kopi. Yang ada hanyalah kopi segera 3 dalam 1 di dalam paket besar yang sudah habis separuh. Malah krimer juga tidak ada. Duha Maisara mencongak sendiri. Ah kopi segera pun kopi juga. Baik aku siapkan kopi segera sahaja, lagi mudah!

Sebentar kemudian, dia sudah melangkah menuju ke bilik lelaki itu. Tapi dia tergaman melihat Nashriq tidak berseorangan di dalam biliknya. Entah sejak bila Erman sudah berada di situ. Keduanya-duanya sedang berbincang sesuatu apabila Duha Maisara masuk lalu meletakkan cawan kopi di meja lelaki itu.

Nashriq melirik ke arah kopi di mejanya. Beberapa ketika matanya merenung Duha Maisara yang masih tercegat di situ.

“Ini apa?” Tanya Nashriq sambil memandang isi cawan yang masih berasap.

“Kopi macam yang Encik Nashriq mahu.” Jawab Duha Maisara.

“Aku tak bodoh, memang aku tahu ini kopi. Tapi kopi segera. Yang aku minta kopi pekat kurang manis. Susah sangatkah nak faham cakap aku?” jerkah Nashriq geram.

“Saya tahu tapi serbuk kopi dah habis. Krimer pun tak ada. Yang ada hanya kopi segera sahaja.”

“Kalau tak ada kenapa tak pergi beli?” Pintas Nashriq laju.

Duha Maisara terlopong mendengar kata-kata Nashriq. Biar betul! Sudah gilakah dia mahu aku keluar membeli kopi? Ringan mulutnya mahu menjawab cakap yang tak masuk akal itu, tapi dia malu pada Erman yang ada sama.

Wajah Erman kelihatan hairan melihat perang dingin yang berlaku di hadapan matanya. Dia tak putus-putus memandang Nashriq dan Duha Maisara silih berganti.

“Kalau macam tu tak apalah. Saya keluar sekejap belikan Encik Nashriq kopi tu.” Duha Maisara beralah akhirnya. Dia baru hendak melangkah keluar apabila namanya diseru lelaki itu. Dia berpaling.

“Kebetulan kau nak keluar, ambil dokumen ni. Dokumen ni nak kena ‘dispatch’ ke Syarikat Tat Heng di Jalan Kuchai Lama hari ini juga.” Ujar Nashriq seraya menghulurkan satu sampul surat besar bertulis nama syarikat itu.

“Tapi dua orang office boy baru aje keluar belum pulang lagi. Yang seorang lagi pula MC hari ni,” beritahu Duha Maisara.

“Habis kau ingat aku tak tahu? Sebab itu aku suruh kau yang pergi.” Balas Nashriq sedikit keras. Duha Maisara terdiam. Dokumen yang masih di tangan lelaki itu diambil perlahan-lahan. Renungan mata Nashriq singgah tepat di mata Duha Maisara yang kelihatan redup. Hati Nashriq terdetik. Kenapa dengan wajahnya, macam orang nak menangis saja. Mata Nashriq mengekori langkah Duha Maisara sehingga keluar dari biliknya. Dia jadi serba salah pula. Melampau sangatkah aku tadi?

Erman yang setia menjadi penonton sedari tadi tertawa kecil, membuatkan mata Nashriq beralih arah. Hairan mendengar ketawa yang meletus dari bibir Erman tak henti-henti.

“Kenapa dengan kau ni Naz?” Soal Erman.

“Kenapa apa?” Dia pura-pura tidak faham.

“Kenapa nak layan dia macam tu? Dia buat salah apa pada kau sampai kau buli dia macam tu sekali.” Tanya Erman lagi.

Nashriq terdiam. Dia membuli Duha Maisarakah atau gadis itu yang membuli hatinya sepanjang hari ini? Dia sendiri tidak pasti apakah hatinya gembira dengan lagaknya di hadapan gadis itu. Namun yang dia tahu sikap Duha Maisara harus diajar sekali sekala, barulah gadis itu tidak berani lagi acuh tidak acuh terhadapnya.

“Sudahlah bang, kita sambung balik bincang fasal masalah Dato’ Mustadza ni, “ pinta Nashriq, sengaja mahu mengubah tajuk perbuatan. Erman hanya mengangguk tanpa banyak soal.

******

Mulut Duha Maisara tidak henti-henti merungut sepanjang kakinya melangkah. Sudah berbakul-bakul sumpah seranah singgah di kepalanya buat lelaki bernama Nashriq Adli itu. Entah kenapa dia benar-benar meradang. Kalau bukan Erman ada sama tadi, pasti dia tinggalkan sahaja lelaki itu begitu sahaja. Malas dia mahu melayan kerenah Nashriq yang kadangkala memeningkan kepala.

Tapi dia perasan sejak pagi tadi lagi, lelaki itu seperti sengaja mahu mencari fasal dengannya. Mengenangkan tugas-tugas yang tak masuk akal disuruh oleh lelaki itu, dadanya seperti hendak meletup. Geramnya bercambah dengan rasa tidak puas hati.

Dia memandang dokumen di tangannya dengan wajah muram. Keluhan kecil meniti keluar dari bibirnya. Hari ini tak fasal-fasal dia terpaksa mengambilalih tugas budak pejabat.

Dia segera menahan teksi untuk ke Jalan Kuchai Lama.

...bersambung

Bab akan datang:

Mengapakah Nashriq berperangai sebegitu dengan Duha?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience