Rate

Chapter 46

Romance Completed 26118

Bab 46

Tanpa membuang masa dia terus membelek satu-persatu barang yang terisi di dalam kotak sederhana besar. Namun tidak banyak barang-barang ayahnya yang masih tinggal kecuali beberapa pakaian lama dan beberapa buah buku-buku lama milik ayahnya yang hampir hangus dimakan api. Nashriq tahu sepanjang hayat ayahnya, lelaki itu memang suka membaca.

Dia mengeluh panjang. Kedatangannya hari itu sia-sia sahaja. Tidak ada sebarang bukti yang boleh membawanya menjejak kisah dua belas tahun lalu. Mungkin kata Erman betul, tidak ada gunanya dia terus berperang dengan kisah lama yang mungkin hanya akan meninggalkan kudis dalam hidupnya. Lupakan sahaja semua perasaan ingin tahu itu, bisik hati kecilnya.

Dia memandang ke arah buku-buku lama ayahnya yang baru dikeluarkan dari dalam kotak. Sebuah buku lama tentang perniagaan karangan seorang penulis berbangsa Inggeris diambil lalu dibelek. Apabila dia menyelak halaman buku itu, dadanya berdegup kencang. Terdapat sebuah lubang di dalam buku itu, seolah sengaja dibuat begitu. Tambah dia terkejut apabila melihat terdapat beberapa keping gambar tersimpan di dalam buku itu.

Perlahan-lahan, jari-jemarinya menyentuh kepingan-kepingan gambar tersebut lalu dikeluarkan. Hampir dia tergaman menatap suatu wajah yang tersenyum manis memandang ke arahnya. Nashriq diserbu perasaan ingin tahu. Milik siapakah wajah itu? Selama hidupnya, inilah kali pertama dia menatap gambar wanita itu. Kenapa gambar wanita ini boleh berada dalam simpanan ayahnya? Hati Nashriq gusar tanpa disedari.

******

Duha Maisara memandang jam di tangannya. Hampir sejam, dia mula naik bosan. Dia memandang lelaki yang berada di hadapannya. Mata lelaki itu terpejam. Tidurkah dia? Sejak dia masuk ke bilik itu, lelaki itu senyap sahaja. Sepatah suara pun tidak keluar dari mulutnya.

Duha Maisara mengeluh. Sepatutnya dia sudah boleh pulang selepas menyanyi, tapi tak disangka-sangka lelaki itu hadir malam itu. Lelaki itu seolah-olah sudah tahu rutin hariannya di situ. Hendak tak hendak, dia terpaksa menemani lelaki itu. Tapi berteman dengan patung yang kaku begitu, membuatkan dia cepat naik bosan.

Lama mata Duha Maisara melirik ke arah lelaki itu. Lelaki itu nyenyak tertidur sambil bersandar pada sofa empuk di bilik itu. Perlahan-lahan Duha Maisara memberanikan diri mendekati lelaki itu. Dia duduk senyap-senyap di samping lelaki itu. Matanya tak putus-putus menatap wajah itu. Inilah kali pertama dia dapat menatap wajah itu dari jarak dekat.

Alis matanya kemas terbentuk di atas kelopak mata yang indah. Bibirnya pula merah, tanda tidak merokok. Kumis nipis yang telah dicukur jelas kelihatan di matanya. Namun tahi lalat kecil di tepi mata kanan lelaki itu membuatkan dia terpaku. Hatinya serta merta tersentap. Serentak bayangan lama terhimbau dalam ingatannya. Dia memejamkan matanya, cuba menghalau wajah itu dari muncul. Namun wajah itu muncul jua tanpa diundang.

Duha Maisara membuka matanya. Namun dia terpegun apabila satu renungan tajam singgah menjamah wajahnya. Dia cuba melarikan diri, tapi lengannya dipaut pantas oleh lelaki itu. Dia tergaman. Lelaki itu menolaknya ke arah sofa, sedikit kasar.

“Kenapa kau renung aku? Apa kau tertarik pada aku?” Soal lelaki itu seraya tersenyum. Matanya menjunam ke wajah Duha Maisara yang terkejut.

“Kalau kau sukakan aku, baik kau lupakan saja. Dah aku katakan yang aku tak berminat dengan kau. Aku cuma nak kau temankan aku, itu saja.”

Entah mengapa, kata-kata lelaki itu membuatkan Duha Maisara diterpa rasa malu. Dia menyumpah diri sendiri yang terlalu asyik merenung lelaki itu. Tapi dalam masa yang sama, hatinya juga terguris mendengar kata-kata lelaki itu.

“Kalau kau buat begini, aku takkan dapat sangkal pendapat pertama aku tentang kau. Apakah kau sekadar seorang penyanyi, atau ada profesion lain yang aku tak tahu.” Sindir lelaki itu.

Duha Maisara tersentak. Kata-kata lelaki itu bagaikan membawa suatu maksud tersembunyi.

“Awak cakap apa ni?”

“Duha Maisara, aku benar-benar nak tahu kau ni jenis perempuan yang macam mana? Mungkinkah kau ni jenis perempuan yang suka menjerat lelaki-lelaki berstatus?” Sinis nada suara Nashriq.

Merah padam wajah Duha Maisara mendengar kata-kata Nashriq. Dia merenung tajam ke arah lelaki itu. Hatinya benar-benar terguris mendengar butir bicara yang singgah dari bibir itu. Siapa lelaki itu sehingga sanggup mengeluarkan kata-kata begitu terhadapnya?

“Biarpun saya bekerja di kelab malam ini, tapi saya masih ada harga diri. Jangan awak ingat sebab semata-mata kerana kerja saya ni, awak boleh hina saya sesuka hati.” Duha Maisara bingkas dari sofa dengan perasaan marah. Dia memandang Nashriq yang merenung ke arahnya.

“Mulai hari ini, saya tak nak tengok muka awak lagi di sini. Duit yang saya terima dari awak beberapa hari yang lalu, saya akan pulangkan nanti. Awak datang saja ke sini untuk ambil duit tu.” Ucap Duha Maisara.

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah Duha akan menjauhkan diri daripada Nashriq selepas ini?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience