Rate

Chapter 212

Romance Completed 26118

Bab 212

Dia memandang wajah si kecil yang dibasahi airmata. Seketika matanya berpaling ke arah lutut kanak-kanak itu yang dipenuhi darah kesan luka. Hatinya bercambah rasa simpati.

“Sakit?” Dia bertanya. Kanak-kanak itu mengangguk sambil teresak-esak. Duha Maisara segera mengelap darah pada lutut kanak-kanak itu dengan hujung bajunya yang labuh. Nashriq ralit memerhatikan tingkah gadis itu dari jauh. Dia tersenyum tanpa sedar. Hilang sekejap persoalan yang menjengah kepalanya tentang kemunculan Asri bersama Duha Maisara ketika itu.

“Sekejap ya dik, akak nak balik rumah sekejap ambilkan plaster. Tunggu sini jangan ke mana-mana, sekejap sahaja.” Pesan Duha Maisara sebelum mula melangkah. Namun langkahnya terhenti tiba-tiba. Matanya terperosok pada kilauan cahaya yang terletak di tengah-tengah jalan. Dia segera mendekati arah cahaya itu. Seketika kemudian dia terperanjat besar apabila mendapati sinar cahaya itu datangnya dari kalung berbutirkan ‘saphire’ berwarna oren kemerahan yang dihilangkannya dulu.

Perlahan-lahan Duha Maisara tunduk mengutip kalung itu. Fikirannya dipenuhi tandatanya. Apakah selama ini dia tercicirkan kalung ini di sini? Tapi mustahil tiba-tiba kalung ini boleh muncul begitu sahaja, sedangkan hampir tiap-tiap hari dia berulangalik melalui jalan itu.

Melihat Duha Maisara mengutip sesuatu di jalan, Nashriq mengerutkan dahinya. Apa yang menarik sangat sehingga dia termenung begitu? Bunyi enjin kenderaan jelas terdengar di telinganya. Nashriq menoleh. Namun rasa ingin tahunya bertukar menjadi debaran kencang tatkala terpandang sebuah kereta berwarna merah tua, sedang meluncur laju ke arah Duha Maisara.

Nashriq tiada pilihan lain. Dia segera meluru pantas ke arah Duha Maisara. Tubuh gadis itu ditolak ke seberang jalan. Dia tersungkur jatuh bersama-sama Duha Maisara di atas batu kerikil tajam. Gadis itu mengaduh kesakitan.

“Kau tak apa-apa?” Tanya Nashriq bimbang. Mendengar suara Nashriq, Duha Maisara terkejut besar. Namun mata Nashriq sudah dilarikan ke arah kereta yang menderum laju di suatu simpang jalan. Dahinya berkerut. Entah kenapa susuk tubuh pemandu kereta itu bagaikan dikenalinya. Tak mungkin dia! Sangkaan buruk cepat-cepat dihapuskan dari kepalanya. Dia tidak mahu membuat andaian melulu sedangkan dia tidak pasti lelaki di dalam kereta itu adalah Engku Iskandar.

Duha Maisara cuba bangun dengan wajah berkerut. Dia mendesis kesakitan. Nashriq terkejut. Matanya beralih ke arah lengan dan siku Duha Maisara yang kemerahan.

“Sakit?” Dia bertanya.

“Sikit saja,” jawab gadis itu.

“Kau nak ke mana ni?” Tanya Nashriq apabila dilihatnya gadis itu bingkas bangun.

“Saya nak balik rumah ambilkan ubat dan plaster untuk budak tu.” Ujar Duha Maisara perlahan tanpa memandang wajah Nashriq. Nashriq menoleh. Budak lelaki yang terjatuh dari basikal tadi masih di hujung jalan. Dia kembali memandang Duha Maisara.

“Tak payahlah. Kau duduk tunggu di sini. Biar aku pergi belikan ubat dengan plaster dekat kedai simpang jalan tu.” Arah Nashriq seraya berlalu pergi sebelum sempat Duha Maisara mahu melarang. Dia hanya mampu memerhatikan Nashriq berlari pantas ke arah keretanya. Sekejap sahaja kereta lelaki itu sudah berlalu di hadapannya.

Duha Maisara memejamkan matanya. Hatinya terasa pedih tatkala dia menatap wajah lelaki itu. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia berperasaan begini. Tapi inilah hakikat yang dirasainya kini. Dalam sekelip mata cinta yang dirasainya terhadap lelaki itu hanya tinggal sejarah. Mana mungkin dia dapat memiliki Nashriq sedangkan antara dia dan Nashriq berkongsi ayah yang sama. Baba! Apabila teringatkan lelaki itu, Duha Maisara tidak dapat menahan perasaan.

“Kakak nangis?” Suatu suara halus menyentak gegendang telinganya. Dia mengangkat wajah. Budak lelaki yang ditolongnya tadi entah sejak bila sudah duduk di sampingnya. Melihat luka di lengan Duha Maisara, kanak-kanak itu segera mengeluarkan sapu tangan dari kocek seluar lalu dihulurkan ke arah Duha Maisara.

“Lengan kakak tu berdarah. Ambil ni buat lap.” Suruh kanak-kanak itu.

Duha Maisara tergaman. Namun melihat kanak-kanak itu kelihatan bersungguh-sungguh, dia tersenyum akhirnya. Dia yang sepatutnya menolong kanak-kanak itu, tapi akhirnya kanak-kanak itu pula yang membantunya. Tiba-tiba Duha Maisara teringatkan sesuatu.

******

Sebaik selesai membeli plaster dan ubat-ubatan yang diperlukannya, Nashriq segera bergegas ke tempat di mana Duha Maisara ditinggalkan. Namun dia hampa apabila melihat kelibat gadis itu sudah hilang. Dia memandang ke arah bumbung apartment 14 tingkat itu. Mungkin dia sudah pulang ke rumah, desis hati kecil Nashriq.

Seketika lamunan Nashriq dikejutkan dengan bunyi ketukan singgah di cermin tingkap keretanya. Dia berpaling. Seorang kanak-kanak kecil sedang merenungnya dari luar kereta. Nashriq segera membuka cermin keretanya.

“Abang ni Nashriq ya?” Tanya kanak-kanak itu. Nashriq tergaman. Bagaimana kanak-kanak itu kenal dengannya? Sejurus kemudian, dia terpandang kanak-kanak itu memimpin basikal di sampingnya.

...bersambung

Bab akan datang:

Siapakah kanak-kanak yang mengenali Nashriq itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience