Rate

Chapter 45

Romance Completed 26118

Bab 45

Jauh di sudut hati, dia juga sayangkan Zafran. Sejak kecil mereka bersama, mana mungkin dia tidak menyimpan apa-apa perasaan terhadap lelaki itu. Tapi perasaan yang wujud di hatinya tetap tak boleh disamakan dengan perasaannya yang dulu. Semua kelukaan yang pernah dirasakan dulu seolah membataskan perasaannya pada Zafran.

“Duha? Kenapa Duha menangis?” Wajah Zafran kelihatan bimbang. Terkejut dia melihat mata gadis itu bergenang. Duha Maisara cepat-cepat mengesat airmata yang mengalir di pipinya. Dia tidak mahu Zafran melihat tangisan dalam hatinya.

Tangan Zafran pantas memegang dagu Duha Maisara. Dia terpegun. Mata yang selalu bersinar itu benar-benar menitiskan airmata. Tapi kenapa? Kerana akukah Duha Maisara menangis?

“Duha menangis sebab abang?” Zafran serba-salah. Tangannya dijatuhkan.

Duha Maisara menggeleng. Dia mengesat airmata di hujung pelupuk mata. Perlahan-lahan dia memandang Zafran. “Bukan sebab abang. Duha menangis sebab gembira dipertemukan dengan abang. Kalau bukan sebab abang, entah di mana tempat Duha sekarang.” Keluh anak gadis itu.

“Duha rindukan mak ayah Duha?” Duga Zafran.

Anak gadis itu mengangguk. Itu juga salah satu sebabnya.

“Betul sampai sekarang pun Duha tak ingat siapa mereka atau di mana mereka berada?” Tanya Zafran. Kasihan dia melihat Duha Maisara yang membesar tanpa keluarga.

Gadis itu menggelengkan kepala. Hatinya terharu, terasa rindu, namun kerinduan itu cepat-cepat dihapuskan. Sekarang, hanya Zafran dan ayahnya Bustaman merupakan keluarga yang ada di hatinya. Dan mungkin dia takkan mendapat keluarga lain sebaik dia bersyukur dipertemukan dengan Zafran. Sekurang-kurangnya Zafran sentiasa di sampingnya, memujuk dan menjaganya sama seperti dulu.

******

Pusara lelaki itu dipandang sebak. Tak lupa dia membaca surah-surah ayat suci untuk disedekahkan kepada insan yang paling penting dalam hidupnya dulu. Setiap saat dia terkenangkan lelaki itu. Gelak ketawa dan tutur nasihat lelaki itu sehingga kini masih menjadi pegangan hidupnya. Mana mungkin dia boleh lupa pada wajah itu, meskipun jarak masa terus melewati hidupnya tahun demi tahun.

“Naz rindukan ayah!” Bisiknya dengan wajah pilu. Batu nesan yang tegak berdiri itu disentuh perlahan-lahan. Matanya berkaca tanpa disedari.

“Hidup dan mati adalah kerja tuhan. Tapi selagi hari ini kita masih hidup, kita harus teruskan kehidupan ini dengan penuh bermakna, seperti kita akan mati keesokkan harinya.” Kata-kata Erman suatu ketika dahulu mengusik lamunannya.

“Apa sebenarnya yang berlaku dua belas tahun dulu ayah? Apakah benar pakcik Munif yang membunuh ayah? Naz benar-benar ingin percaya kenyataan itu, tapi hati kecil Naz seakan meragui semua kebenaran yang ada di hadapan mata. Apa patut Naz buat ayah?” Rintih Nashriq sambil memejamkan matanya.

Dari jauh, gerak geri Nashriq menjadi santapan sepasang mata. Melihat Nashriq, entah kenapa dia termenung panjang. Dia memahami kesedihan yang dirasakan anak muda itu sebenarnya. Sepertimana Nashriq, dia juga merasakan kepedihan itu.

“Tuan nak ke sana?” Azlan bertanya sambil turut memandang ke arah Nashriq yang masih berteleku di pusara ayahnya.

“Tak apalah Lan, kita balik dulu. Esok kita datang lagi. Biarkan sahaja dia bersendirian melawat pusara ayahnya.” Ujarnya.

“Habis kita nak ke mana sekarang?”

“Terus pandu ke Al-Raudah. Saya nak bertemu Doktor Habibah.” Arah Asri. Azlan tanpa banyak soal terus memandu keluar dari kawasan perkuburan itu.

******

“Ini semua barang-barang tinggalan dari Teratak Budi yang masih tinggal. Selepas kebakaran tu, semua barang-barang yang masih tinggal dihantar ke mari. Sebab Puan Engku dah tak mahu tengok barang-barang ni semua, dia minta Mak Ngah simpan dalam bilik stor ni. Encik Nashriq nak buat apa dengan barang-barang ni semua?” Tanya wanita itu agak hairan.

“Saja saya nak tengok Mak Ngah, kalau-kalau ada barang peninggalan ayah yang masih selamat.” Balas Nashriq.

“Kalau macam tu, Encik Nashriq tengoklah sendiri. Mak Ngah nak masuk ke dalam siapkan makan malam. Encik Nashriq singgah makan di sini tak malam ni?”

“Mungkin tak Mak Ngah, saya nak balik ke pejabat selepas ni.” Nashriq menggelengkan kepala. “Err Mak Ngah, boleh tak Mak Ngah jangan beritahu umi yang saya singgah ke mari hari ni?” Pinta Nashriq. Dia tidak mahu ibunya tahu dia balik ke Vila Kasih hari itu. Wanita itu tergaman mendengar permintaannya, namun sejurus kemudian dia mengangguk.

Selepas wanita itu beredar, mata Nashriq menuju ke segenap ceruk bilik stor yang dipenuhi barang-barang lama yang sudah tidak digunakan. Tiba-tiba dia terpandang sebuah kotak sederhana besar yang terletak di tepi sudut. Melihat pada tulisan besar tertulis Teratak Budi di atas kotak itu, dia tertarik untuk mencapai kotak tersebut. Ini pasti barang-barang tinggalan dari kebakaran itu, bisik hati kecil Nashriq.

...bersambung

Bab akan datang:

Mengapa Nashriq ingin melihat barang peninggalan ayahnya? Apa yang dia ingin cari?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience