Rate

Chapter 85

Romance Completed 26118

Bab 85

“Kenapa diam? Dah bisu?” Tajam mata itu menjamah wajah Duha Maisara.

“Saya rasa segan di sana.” Jawab Duha Maisara. Perlahan.

“Segan? Alasan apa tu?” Nashriq tertawa sinis, sedang Duha Maisara tidak bersuara.

“Aku bukannya suruh kau datang ke situ untuk tayang tubuh, tapi aku minta kau datang kerana urusan kerja. Atau kau lebih suka selama-lamanya dipanggil perempuan kelab malam?” Duga Nashriq, sakit hati.

Duha Maisara mengangkat mukanya. Memandang Nashriq yang berkata tanpa berfikir panjang. Tidakkah lelaki itu tahu bahawa hatiku benar-benar sakit mendengar sindirannya?

“Ya saya memang perempuan kelab malam. Dan perempuan kelab malam ini hanya akan memalukan awak sahaja jika saya berkerja di situ.” Ucap Duha Maisara dengan suara meninggi. Dia sudah tidak tahan. Sudah berulangkali Nashriq mengeluarkan kata-kata yang melukakan hatinya.

Nashriq terdiam. Wajah keruh Duha Maisara sedikit sebanyak membuatkan dia jadi kesal. Sudah dia tahu gadis itu sakit kaki, namun dia masih jua cuba menyakitkan hati Duha Maisara. Naz, kenapa dengan kau ni? Bukankah kehadirannya sentiasa kau nanti, sentiasa kau rindui?

“Dah berhari-hari aku tunggu kedatangan kau. Setiap hari juga aku ke bahagian personnel, menanti kau datang untuk melapor diri. Tapi kau tak muncul-muncul. Aku pun tak tahu kenapa kau ni degil sangat, tak mahu ikut cakap aku?” Keluh Nashriq. Dia menjeling wajah Duha Maisara yang seakan merajuk hati dengannya.

******

Terkebil-kebil mata Duha Maisara melihat Nashriq yang sedang memasak sesuatu di dapur. Malah tubuh lelaki itu siap bersarung dengan apron. Namun dia sedikit pun tidak menyangka Nashriq yang nampak sombong, kelihatan lincah melakukan kerja dapur.

Nashriq menoleh tiba-tiba ke arahnya. Wajahnya tersenyum simpul. “Dulu aku selalu masak dengan abang Erman ketika menetap di US. Kami tak pernah ambil pembantu. Semua makanan kami masak sendiri.” Cerita Nashriq tiba-tiba sambil menggoreng nasi. Dia bagaikan tahu apa yang sedang difikirkan oleh gadis itu. Duha Maisara tersenyum.

“Dah lama awak di US?” Soal Duha Maisara. Lelaki itu tidak terus menjawab. Matanya merenung jauh bagai terkenangkan sesuatu.

“Terlalu lama. Separuh dari hidup aku di sana.” Bisik lelaki itu.

“Dan separuh lagi?” Entah mengapa Duha Maisara bertanya begitu.

Nashriq terdiam. Matanya memandang Duha Maisara yang kelihatan tenang. Gadis itu turut menatapnya. Pandangan kedua-duanya bertaut. Duha Maisara mula serba-salah. Dia tidak sepatutnya menyoal Nashriq begitu.

“Dah lewat ni, awak sepatutnya balik. Lagipun tak manis kalau orang tengok kita berdua-duaan di sini.” Ucap Duha Maisara tiba-tiba. Sedikit resah.

Nashriq tersenyum. Kata-kata Duha Maisara kedengaran lucu di telinganya. Dia menatap gadis itu tak berkelip. “Kau takut orang tengok, atau kau takut dengan aku?” Dia tertawa kecil. Duha Maisara mengetapkan bibirnya. Dia dah mula dah!

“Saya serius ni.”

“Aku pun serius.” Tingkah Nashriq. Duha Maisara terkedu.

“Kau takut jatuh cinta dengan aku kan?” Duga Nashriq. Entah kenapa, perasaan gadis itu seperti boleh dibacanya. Perlahan-lahan langkah Nashriq mula mendekatinya. Mata anak muda itu tak lepas dari wajahnya. Duha Maisara mulai gusar. Dia berundur beberapa langkah ke belakang. Wajah Nashriq kelihatan serius, sedangkan hati Duha Maisara semakin sarat dengan resah.

Terkejut Duha Maisara apabila tubuhnya melanggar dinding. Langkahnya terhenti di situ, manakala tubuh Nashriq terlalu hampir dengannya. Mata lelaki itu menjamah setiap inci wajahnya. Jari-jari lelaki itu jua semakin galak singgah memainkan anak rambutnya. Debaran di dada Duha Maisara semakin kuat. Oh Tuhan, janganlah apa-apa terjadi antara kami, kerana aku terlalu menghargai kenangan yang kami ada selama ini. Kenangan itu terlalu bererti buatku, dan aku tak mahu kenangan itu tercalar malam ini.

Melihat Duha Maisara seakan gugup, Nashriq tersenyum kecil. Perlahan-lahan dia mula menjauh. Namun wajah gadis itu masih ditenung. Entah kenapa dia suka benar melihat wajah Duha Maisara yang cemas. Dia gemar melihat wajah itu seakan takut-takut mahu menatapnya. Melihat Duha Maisara begitu, entah mengapa dia seolah mahu melindungi gadis itu.

“Jangan lupa makan nasi goreng ni sebelum makan ubat. Rehat dua tiga hari. Selepas itu, datang semula ke Mega Timur. Aku dah sediakan jawatan untuk kau di sana.” Ucap lelaki itu selamba seraya menanggalkan apron yang dipakainya.Nashriq segera melangkah ke arah pintu. Namun sebelum dia keluar, dia sempat berpaling ke arah Duha Maisara.

“Kalau kau tak datang ke Mega Timur, aku akan jumpa dengan abang doktor kau tu. Tentu dia berminat nak tahu di mana adiknya bekerja sebelum ini.”

Duha Maisara tersentak. Kata-kata Nashriq berbaur dengan ugutan, meksipun wajahnya kelihatan tenang saat menuturkan kata-katanya. Namun Duha Maisara tahu, kata-kata itu juga bukan satu gurauan.

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah Duha terima untuk bekerja di Mega Timur atau masih memikirkan dulu tawaran?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience