Rate

Chapter 142

Romance Completed 26118

Bab 142

Duha Maisara menghela wanita itu memasuki apartment 3 bilik itu. Dia tersenyum senang sedangkan wanita di sisinya itu memandang ke segenap rumah dengan wajah takut-takut. Lengan Duha Maisara dipeluk kemas bagaikan tidak mahu dilepaskan. Anak gadis itu hanya tertawa.

“Mak, kenapa ni? Janganlah macam tu, ini rumah Hana buat sementara ni. Hana nak mak tinggal sini dengan Hana. Nanti Hana akan cari rumah sewa yang lain, lepas tu kita tinggal sama-sama tanpa gangguan sesiapa. Hanya ada mak dan Hana saja.” Ujar Duha Maisara sambil memeluk wanita itu penuh kasih sayang.

Wanita itu tersenyum memandangnya. “Betul?”

Duha Maisara mengangguk. “Betul. Hana sayangkan mak, Hana dah tak mahu berpisah dengan mak lagi. Mak tinggal sini dengan Hana ya?”

Maisara memandang gadis itu tidak berkelip. Dia mengangguk.

“Tapi mak kena janji dengan Hana yang mak mesti makan ubat ikut waktu, biar cepat sembuh.” Ujar Duha Maisara.

“Hana pun janji jangan tinggalkan mak dekat situ lagi ya sayang. Mak takut.” Balas Maisara. Duha Maisara terpegun. Dia memandang ibunya dengan mata berkaca. Kasihan mak! Hana minta maaf sebab bulat-bulat percaya mak sudah tidak ada lagi. Hanya tuhan yang tahu bersyukurnya Hana dipertemukan semula dengan mak, rintihnya di dalam hati.

“Betul Duha nak bawa ibu Duha balik?” Doktor Habibah seakan berat hati pada asalnya. Namun kesungguhan hati Duha Maisara membuatkan dia tidak sampai hati.

“Cuma beberapa hari doktor, saya cuma nak tengok macamana keadaan dia di rumah bersama saya. Saya nak habiskan masa saya dengannya. Mungkin dengan cara ini, dia akan lebih cepat sembuh.”

Doktor Habibah terdiam. Dia mengerti keinginan Duha Maisara tidak pernah surut untuk menyembuhkan ibunya. Tapi keadaan wanita itu masih belum cukup sihat untuk dibawa pulang. Lagipun Doktor Habibah benar-benar bimbang jika emosi wanita itu akan timbul semula berada dalam keadaan tertekan.

“Tolonglah doktor, cuma beberapa hari saja. Lagipun saya dah minta cuti.”

Wanita bercermin mata bulat itu menarik nafas panjang. Sukar untuk dia membuat keputusan. Raut wajah gadis itu benar-benar berharap, bagaimana dia mahu menolak hasrat seorang anak yang kehilangan kasih ibunya dua belas tahun lamanya? Namun akhirnya dia mengangguk.

“Tapi janji dengan saya, jika apa-apa berlaku Duha kena cepat-cepat telefon saya,” pesannya. Mendengar kata-kata wanita itu, Duha Maisara benar-benar gembira. Tak putus-putus dia mengucapkan terima kasih kepada doktor itu. Akhirnya tercapai juga hasratnya mahu meluangkan masa bersama ibunya.

Bunyi dentingan kaca terhempas ke lantai mengejutkan Duha Maisara yang terleka. Dia terperanjat. Langkahnya digegaskan ke arah ruang tamu. Sampainya di situ, dia tergaman memandang ibunya yang sedang berteleku meraup muka di suatu sudut. Tidak jauh dari kaki wanita itu, terdapat sebingkai potret keluarga pecah berderai di atas lantai.

“Mak, mak tak apa-apa?’ Soal Duha Maisara cemas. Dia bimbang jika wanita itu cedera terkena bilah-bilah kaca yang berderai di atas lantai. Tangan ibunya yang menutup mukanya ditarik perlahan-lahan. Wanita itu memandangnya takut-takut.

“Mak tak sengaja nak pecahkan benda tu.” Ujarnya memberitahu.

Duha Maisara tersenyum. “Ya Hana tahu mak tak sengaja. Jangan bimbang, Hana tak marahkan mak. Mak duduk situ dulu jangan bergerak. Nanti Hana ambilkan penyapu bersihkan kaca tu dulu.” Dia segera beredar ke arah dapur. Tak lama kemudian, dia keluar semula sambil memegang sebatang penyapu kecil.

Perlahan-lahan tangannya menyentuh permukaan gambar yang terdedah. Lama matanya menatap di situ. Gambar potret dia dan Zafran berdiri di belakang Bustaman itu diambil enam tahun yang lalu sewaktu mereka keluar meraikan kejayaan Zafran memasuki kolej perubatan.

Kata orang sekeping gambar boleh menjelaskan banyak perkara. Betulkah? Di dalam gambar itu nampak jelas dia dan Zafran sedang tersenyum gembira, namun gembirakah hatinya? Ketika itu tidak ada seorang pun yang sedar, Zafran menggengam jari-jemarinya tidak lepas-lepas. Namun ketika itu dia hanya membiarkan, meskipun hatinya kurang senang dengan perlakuan Zafran hari itu. Tapi siapa yang dapat menyangka, sikap Zafran hari itu mempunyai maksud tertentu.

Duha Maisara mengeluh tanpa sedar. Maisara sekadar memandang anak gadis itu termenung di situ. Perlahan-lahan dia mendekati Duha Maisara. Gambar di tangan gadis itu dijengah seketika.

“Abang…” sebut ibunya tiba-tiba. Duha Maisara tersentak dari khayalannya. Dia memandang ibunya yang memandang tidak berkelip ke arah gambar di tangannya.

“Abang Munif….” Ibunya terus mengomel sendirian.

“Mak, ini bukan ayah mak.” Dia cuba menjelaskan. Tapi wanita itu menggeleng pantas.

“Tak, ini ayah Hana. Mana dia pergi? Mak rindukan dia.” Rintih ibunya lagi.

Duha Maisara terdiam. Betul-betulkah ibunya sudah lupa semua peristiwa yang terjadi kepada ayahnya dulu?

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah fikiran ibu Duha semakin pulih untuk mengingati apa yang terjadi dahulu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience