Rate

Chapter 170

Romance Completed 26118

Bab 170

Dia segera melangkah ke suatu arah. Belum jauh dia melangkah, lelaki itu menoleh ke arah Duha Maisara yang seakan ragu-ragu mahu mengikutnya.

“Mari Duha,” ajak Asri. Duha Maisara memulakan langkah, namun matanya menuju ke suatu arah. Tapi melihat langkah lelaki itu menuju ke arah yang sama, dia jadi semakin gugup. Apalagi apabila melihat Asri singgah di suatu pusara, dia semakin tertanya-tanya siapa lelaki itu sebenarnya.

“Duha bacalah sesuatu, sedekah pada orang yang dah tiada,” bisik Asri pada gadis itu. Duha Maisara terdiam tapi dia akur pada suruhan Asri. Tangannya ditadahkan membaca beberapa surah yang diingatnya bersama getaran di dadanya yang tidak kunjung padam. Air matanya seolah ingin menitik dari sepasang kelopak mata yang sudah basah. Tapi dia cuba bertahan. Dia tidak mahu melepaskan tangisnya di situ. Dia tidak mahu Asri tahu bahawa kubur yang dikunjungi oleh lelaki itu adalah pusara ayahnya sendiri.

“Pusara ni pusara arwah kawan lama pak cik. Dia meninggal dunia hampir dua belas tahun lalu. Kampung ni kampung halaman dia, tempat dia dibesarkan. Dan satu-satunya hasrat dia yang terakhir adalah untuk dikuburkan di sini.” Bicara Asri berselangseli dengan nada sebak. Duha Maisara tunduk membisu.

“Tapi ada satu lagi hasrat dia yang tidak sempat tertunai.” Asri memandang Duha Maisara. Gadis itu turut memandangnya.

“Sehingga saat-saat kematiannya, dia rindu sangat ingin bertemu anak dan isterinya. Namun mereka berdua hilang entah ke mana. Tapi kerana kasih sayangnya pada anak dan isterinya itu, dia ingin dikuburkan di sini. Dia mahu pusaranya mudah ditemui, mudah dicari.”

Duha Maisara sudah tidak mampu menahan perasaan. Dia berpaling ke arah lain. “Lebih baik saya tunggu pak cik di kereta.” Ungkap gadis itu lalu bersedia untuk beredar. Asri hanya memandang lesu.

“Dah berapa lama Hana tak balik ke kampung ni?” Suara tenang Asri berbicara membuatkan langkah Duha Maisara terhenti tiba-tiba. Dia terkesima. Perlahan-lahan dia berpaling ke arah lelaki itu. Apakah aku silap mendengar lelaki itu menyebut namaku?

“Itu nama sebenar Duha kan? Raihana Munif.” Kata-kata Asri seterusnya membuatkan Duha Maisara terus kaget. Matanya merenung jauh ke arah wajah lelaki itu.

“Pak cik ni siapa sebenarnya?”

Asri tidak terus menjawab. Perlahan-lahan dia mara ke arah gadis itu. Wajah itu nampak bingung. “Hana dah tak kenal siapa pak cik? Ingat lagi patung beruang panda yang pak cik hadiahkan semasa ulangtahun Hana yang ke sembilan dulu?”

Duha Maisara terpempan. Ingatannya tiba-tiba menerawang pada patung beruang kesayangannya dulu. Sewaktu dia pergi dari rumah Tuan Zainal dulu, dia tidak sempat mengambil patung itu. Mungkin patung itu sudah hilang atau dibuang ke mana-mana. Tapi lelaki yang pernah menghadiahkan patung itu kepadanya, dia ingat-ingat lupa. Lagipun ketika itu dia masih kecil. Yang dia ingat lelaki itu mempunyai parut panjang di lehernya.

Mata Duha Maisara menuju ke arah leher lelaki itu. Di situ dia melihat parut yang sama yang terukir pada lelaki yang berada di hadapannya. Hati Duha Maisara berdetik.

“Kenapa dengan leher pak cik tu ayah?” Dia pernah bertanya begitu suatu ketika dahulu. Ayahnya hanya tersenyum.

“Pak cik Hana tu dulu bekas tentera. Dia pernah kena tetak dengan parang sewaktu cuba menyelamatkan seorang wanita dari kena samun. Nasibnya baik hayatnya masih panjang.” Cerita ayahnya.

Dia pula terlopong mendengar cerita itu. Rasa ngeri dan cemas datang sekaligus. Tapi lelaki itu jarang-jarang hadir di rumah mereka. Kata ayahnya, lelaki itu suka merantau ke serata pelusuk dunia. Dia hanya balik beberapa kali dalam setahun. Masa selebihnya dihabiskan di luar negara.

“Hana masih tak ingat?” Pertanyaan Asri mengganggu lamunannya. Dia memandang lelaki itu tidak berkelip.

“Pak Cik Asri, abang baba kan?” Duha Maisara masih ragu-ragu. Tapi apabila melihat lelaki itu menganggukkan kepala, dia hampir mahu menangis. Entah kenapa dia rasa sebak bercampur gembira dapat bertemu lelaki itu semula.

******

“Nashriq tahu siapa Hana?” Soal lelaki itu sebaik mendengar ceritanya bagaimana dia mula-mula bekerja di Mega Timur. Duha Maisara menggelengkan kepala.

“Bagaimana dengan Engku Latifah dan Engku Iskandar? Mereka juga tahu siapa Hana?”

“Tak. Hana rasa semua orang tak tahu. Tapi itu semua dah tak penting pak cik. Hana dah berhenti kerja dari Mega Timur. Hana cuma nak memulakan hidup baru dengan mak.”

Asri terdiam. Dia tidak tahu bagaimana mahu memujuk gadis itu balik semula bekerja di Mega Timur.

“Hana dah tak sayangkan Nashriq?” Asri tersenyum. Dia masih ingat bagaimana akrabnya hubungan dua anak kecil itu suatu ketika dulu.

Duha Maisara terkedu mendengar pertanyaan lelaki itu.

...bersambung

Bab akan datang:

Apa kaitan Raihana dengan keluarga Zainal Ikram?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience