Rate

Chapter 177

Romance Completed 26118

Bab 177

Makanan di pinggannya masih banyak yang belum bersentuh. Sesekali dia memain-mainkan makananannya dengan garpu di tangan.

“Kenapa tak makan? Tak sedap ke makanan tu?” Dia bertanya. Gadis itu menoleh seketika, tapi selepas itu tunduk semula.

“Takkan makan bertemankan lelaki kacak macam aku pun tak berselera.” Sambung Nashriq selamba. Dia masih menyuap makanannya.

Duha Maisara terdiam. Dia sebenarnya resah. Kalau diikutkan hatinya, dia mahu terus pulang tadi. Tapi Nashriq lebih cekap menunggunya di hadapan bangunan pejabat. Meskipun dia enggan mengikut lelaki itu, tapi Nashriq beria-ria memaksanya. Mahu tak mahu dia terpaksa menemani lelaki itu makan.

Melihat Duha Maisara yang tidak banyak bercakap, Nashriq mengeluh panjang. Sebenarnya terdapat banyak perkara dalam kepalanya yang mahu diucapkan pada gadis itu. Terlalu banyak persoalan yang memerlukan jawapan gadis itu. Tapi entah kenapa setiap kali mahu bertanya lidahnya jadi kelu.

“Duha, boleh tak untuk kali ini kau bersikap jujur dengan aku?” Soal Nashriq tiba-tiba. Gadis itu mengangkat mukanya lalu bertembung pandang dengan sepasang mata Nashriq yang bersinar tajam. Dahi Duha Maisara berkerut. Entah kenapa kata-kata Nashriq kedengaran aneh.

“Seumur hidup aku tidak pernah bercinta. Tapi untuk kali ini aku ingin mencuba mencintai seseorang. Aku ingin mencintai kau Duha.” Ucapan Nashriq membuatkan Duha Maisara tergaman.

“Tapi aku inginkan cinta yang jujur, yang ikhlas dengan menerima seadanya, yang tidak berbohong atau dibohongi. Aku ingin memberikan cinta yang sebegitu terhadap kau, tapi hanya jika kau sanggup membalasnya dengan cinta yang sama. Tell me something Duha. Selama ini kau tidak pernah berbohong dengan aku kan?” Mata Nashriq merenung tepat ke wajah itu. Dia inginkan kepastian agar hatinya tidak terus meragui gadis itu.

Entah kenapa hati Duha Maisara bergetar menerima kata-kata dari bibir Nashriq. Sepatutnya dia rasa gembira dengan ucapan cinta itu, tapi anehnya entah kenapa rasa gembira itu berganti dengan rasa sedih. Lebih-lebih lagi apabila lelaki itu bercakap soal kejujuran dengannya. Tapi untuk berlaku jujur di hadapan lelaki itu terlalu sukar baginya. Perhubungan yang bermula dengan satu pembohongan, saban waktu sentiasa menyeksa dirinya.

Melihat Duha Maisara yang tetap berdiam diri, membuatkan dada Nashriq jadi sesak. Perasaannya bercampur gaul. Dia sendiri jadi keliru, apakah perasaan yang patut dirasainya kali ini. Kebisuan Duha Maisara hanya akan menutup kebenaran yang dia inginkan.

Ketika menghantar gadis itu pulang juga begitu. Duha Maisara terus menutup mulutnya. Dia hanya mampu menghantar gadis itu pergi dengan keluhan. Nashriq tidak tahu kenapa dia berperasaan aneh sejak beberapa hari ini. Tapi sikap Duha Maisara yang sering menghindar membuatkan dia sudah mula merasa kehilangan gadis itu.

Lama termenung di perkarangan pintu masuk apartment itu, Nashriq mula memulas stereng keretanya. Ketika itu jugalah dia terpandang kelibat Duha Maisara tergesa-gesa keluar semula dari bangunan itu, lalu menahan sebuah teksi yang kebetulan lalu. Dia tergaman. Hendak kemana dia?

Melihat teksi itu mula bergerak, Nashriq turut menghalakan keretanya masuk ke jalan utama. Namun belum jauh dia mengekori teksi yang dinaiki Duha Maisara, telefon bimbitnya berdering nyaring. Dia terkesima. Skrin pada telefon dipandang sepintas lalu. Namun melihat nombor dan nama yang tertera, Nashriq terpaksa menghentikan keretanya di sudut jalan. Teksi yang terus jauh hanya mampu dipandang hampa.

******

“Bagaimana dengan umi saya doktor?” Tanya Nashriq ketika berkejar pulang ke rumah. Perkhabaran yang diterimanya dari Erman tentang Engku Latifah yang pengsan di pejabat, membuatkan dia cemas.

“Dia tak apa-apa, cuma mungkin disebabkan tekanan. Insya Allah selepas berehat, Puan Engku akan sihat semula. Tapi kalau boleh dalam seminggu dua ni, cubalah minta dia lupakan soal perniagaan buat sementara.” Nasihat doktor itu.

Nashriq hanya mengganguk. Selepas menghantar doktor itu ke muka pintu, dia naik semula menjenguk ibunya di bilik. Wanita itu memejamkan matanya. Perlahan-lahan Nashriq duduk di samping ibunya. Raut wajah wanita itu ditenung. Tanpa sedar mulutnya melepaskan keluhan berat. Dia tahu ibunya rungsing kerana memikirkan masalah pejabat yang semakin bertambah sejak akhir-akhir. Belum selesai masalah lama, timbul pula masalah baru. Tidak mustahillah tekanan darah wanita itu naik mendadak.

Nashriq memandang jam di pergelangan tangannya. Hampir pukul 8 malam. Sepatutnya dia harus pulang ke pejabat untuk menyelesaikan beberapa kerja yang tertangguh. Dia menarik selimut lalu membaluti tubuh wanita itu. Tapi belum sempat dia mahu beredar, mata Engku Latifah tiba-tiba terbuka. Nashriq terpegun. Langkahnya tidak jadi diatur. Mata Engku Latifah perlahan-lahan mengarah ke arah Nashriq. Lama matanya merenung anak itu.

“Umi tak apa-apa? Erman beritahu saya tadi umi pengsan di pejabat,” ujar Nashriq lembut. Dia menarik semula kerusi di sisi wanita itu.

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah masalah yang melanda Mega Timur hingga membuatkan Engku Latifah tertekan?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience