Rate

Chapter 221

Romance Completed 26118

?Bab 221

Raihana terus melangkah keluar. Dia mahu mencari Nashriq, namun ketika dia mencelah di sebalik orang ramai, matanya terpandang Nashriq sedang bercakap-cakap dengan seseorang yang membelakanginya. Dia mengerutkan dahinya. Siapa pula lelaki itu? Tapi sebaik lelaki itu berpaling, mulut Raihana terlopong.

“Abang!” Jerit Raihana seperti tidak percaya. Bagaimana Zafran boleh ada di situ sedangkan ketika berbual dengan lelaki itu tempohari, Zafran mengatakan dia tidak sempat balik untuk menghadiri majlis itu.

“Duha apa khabar?” Zafran tersenyum memandangnya.

“Baik. Bila abang balik?”

“Semalam. Sengaja abang tak telefon Duha, nak buat ‘surprise’ untuk hari ni. Tapi Naz tahu abang balik. Dia yang aturkan.” Ujar Zafran seraya menjeling lelaki di sisinya. Nashriq hanya tersenyum. Dia tahu kehadiran Zafran amat bererti buat Raihana.

“Abang tak jumpa Suraya di sana?” Soal Raihana tiba-tiba. Bibirnya tersenyum seraya melirik nakal ke arah Nashriq. Lelaki itu turut tersenyum. Zafran ketawa kecil. Dia faham maksud kata-kata Raihana. Sepertimana dia cuba melupakan gadis itu dari hatinya, dia juga sedang mencuba mengenali hati budi Suraya. Apatah lagi sejak Suraya menyambung pelajaran di UK, mereka kerap bertemu.

“Dia sihat.” Jawab Zafran ringkas.

“Itu aje?”

Zafran ketawa lagi. Usikan Raihana membuatkan dia ingin menarik hidung gadis itu. Tapi Raihana cepat mengelak di belakang Nashriq. Ketawanya meletus. Nashriq turut tertawa.

“Bagaimana dengan seminar abang?”

“Hmm bolehlah. Tapi abang kena balik UK malam esok. Seminar tu belum habis. Abang balik ni pun semata-mata untuk Duha.” Raihana tersenyum. Dia tahu lelaki itu amat mengambil berat tentangnya. Belum sempat dia mahu membuka mulut, dia terpandang kelibat Estella dan Jason sedang melambai-lambaikan tangan ke arah mereka.

“Auntie datang tu. Maaf, Duha pergi sapa sekejap, nanti Duha datang balik.” Ujar Raihana seraya berlari-lari kecil ke arah Estella dan Jason. Zafran hanya mampu memandang gerak geri gadis itu yang kelihatan riang. Ketawa Raihana polos, bukan lagi ketawa yang dibuat-buat seperti dulu. Dia tahu gadis itu bahagia kini.

Zafran memandang Nashriq yang hanya diam. Dia tahu lelaki itu mampu membahagiakan gadis kesayangannya. Seperti mana dia menghargai cintanya, dia juga tidak mahu gadis itu kehilangan Nashriq.

“Naz, aku serahkan Duha pada kau. Lindungilah dia seperti yang kau lakukan dulu. Dulu mungkin kau adalah abangnya, tapi kini aku adalah abangnya. Jika kau lukakan dia, giliran aku untuk melindunginya.” Bisik Zafran di telinga Nashriq. Lelaki itu hanya mengangguk.

“Aku janji Yan.” Ucap Nashriq buat kali kedua. Pertama di hadapan ayahnya Zainal Ikram dan kini dia berjanji pula di hadapan Zafran. Namun janji kali ini akan dipastikan sesungguh hatinya. Dia sudah tidak sanggup kehilangan gadis itu buat kali kedua. Demi tuhan, dia menyayangi gadis itu. Raihana adalah dunianya sepertimana wujudnya Duha Maisara dalam hatinya.

* * * *

Nashriq diam-diam melirik wajah ceria Raihana di sampingnya. Anak gadis itu sedang leka memberi makan sekawan itik yang seang berenang di tasik buatan di hadapan Vila Kecil. Sesekali mata Nashriq menoleh ke belakang. Vila Kecil yang dulu terbiar, kini sudah berseri semula.

Baru beberapa hari yang lalu, penyelenggaraan dibuat ke atas rumah itu. Dinding yang kian kusam kini bercat baru. Semak samun yang menghuni di sekeliling rumah itu juga sudah dibersihkan. Entah kenapa, hati Nashriq senang melihat rumah itu kembali ceria. Semuanya berkat pertolongan pakciknya Asri yang sudi membantu. Dua hari selepas itu, pakciknya Asri terus berlepas ke Amsterdam bersama makcik Maisara. Khabarnya ada doktor pakar yang boleh membantu memulihkan wanita itu. Mereka pula akan menyusul kedua-duanya minggu depan apabila segala urusan di Mega Timur selesai. Begitulah perancangan Nashriq pada asalnya.

Apabila pandangan Nashriq beralih arah, matanya bertembung pandang dengan wajah Raihana yang asyik merenungnya. Nashriq terkesima seketika. Pantas dia mencuit dagu anak gadis itu. Raihana ketawa kecil.

“Nakal!” Bisik Nashriq sambil menggelengkan kepala. Tingkahlaku Raihana kini, mengingatkannya tentang kenangan lama.

“Naz teringatkan baba?” Soal Raihana ingin tahu.

“Kenapa tak panggil abang?” Sanggah Nashriq tanpa menjawab pertanyaan Raihana. Gadis itu terdiam.

“Hana keliru.” Jawabnya.

“Keliru? Maksud Hana?”

“Yalah, Hana dah panggil Zafran abang, takkan nak panggil seorang lagi pun abang.” Jawab gadis itu selamba. Nashriq terkedu.

“Oh jadi Zafran lagi pentinglah dari abang? Sebab tu Hana lebih suka panggil dia abang. Jadi abang ni siapa pula?” Gumam Nashriq seolah merajuk hati dengan penjelasannya. Raihana hanya tersenyum.

“Zafran kena dipanggil abang sebab Zafran adalah abang bagi Hana. Tapi Naz lain.”

“Apa yang lain?” Nashriq ingin tahu.

“Naz adalah orang yang Hana cintai. Orang yang Hana sayang.” Ucap Raihana malu-malu. Nashriq sekadar tersenyum mendengarnya.

Namun dia senang mendengar bicara gadis itu.

“Hana pun sama. Hana adalah orang yang paling abang sayang. Duha Maisara yang sentiasa di hati abang buat selama-lamanya,” bisik Nashriq romantis.

– TAMAT -

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience