Rate

Chapter 163

Romance Completed 26118

Bab 163

Wajah Pak Mat resah. Dia menggelengkan kepala. “Lebih baik tempat lain saja. Saya tak mahu orang lain nampak,” ujar lelaki itu membuatkan Nashriq jadi hairan. Tak mahu orang lain tahu?

“Kalau begitu, Pak Mat tunggu saya di warung di hujung simpang tu. Sekejap lagi saya datang.”

Lelaki itu hanya mengangguk.

Beberapa minit kemudian, Nashriq sampai ke warung mamak dua blok dari bangunan pejabatnya. Wajah Pak Mat bagaikan resah menanti kedatangannya.

“Pak Mat nak cakap apa dengan saya?” Tanya Nashriq lembut.

Lelaki itu menarik nafas berat. Dia tidak tahu di mana hendak memulakan cerita. Bimbang juga ada jika Engku Latifah tahu dia yang membawa mulut, sudah pasti kerjanya akan terjejas. Silap-silap dia boleh dibuang kerja.

“Sebenarnya saya nak bercakap fasal Duha, encik.” Ujar orang tua itu perlahan. Nashriq tersentak. Fasal Duha?

“Kenapa dengan Duha, Pak Mat?”

“Sebenarnya masa Encik Nashriq tak ada di pejabat beberapa hari yang lalu, ada sesuatu berlaku pada Duha.”

“Maksud Pak Mat?’ Nashriq pantas bertanya. Dia benar-benar bimbang mendengar kata-kata lelaki itu.

Tanpa membuang masa Pak Mat menceritakan semua kejadian itu dari mula sehingga akhir. Malah tak lupa juga dia memberitahu anak muda itu tentang amaran Engku Latifah agar peristiwa itu dirahsiakan.

“Ingat, rahsiakan semua hal ini atau kamu semua akan saya buang kerja,” ugut wanita itu beberapa hari yang lalu. Dia sendiri pada mulanya takut mahu membuka mulut. Tapi mengenangkan Duha Maisara yang sudah beberapa hari tidak datang bekerja, Pak Mat mula mengesyaki sesuatu. Selebihnya dia bimbang dengan keselamatan gadis itu. Bimbang Duha Maisara diapa-apakan.

Nashriq terperanjat besar mendengar cerita yang baru keluar dari mulut Pak Mat. Hatinya mendidih marah. Dia tidak sangka Engku Iskandar sanggup melakukan perbuatan keji begini. Padanlah Duha Maisara tidak mahu menjawab panggilannya. Bodoh! Kenapa sampai saat ini, kau masih ingin berahsia denganku? Nashriq mengeluh panjang.

“Siapa lagi yang tahu hal ini?”

“Tak ada siapa, kecuali beberapa orang pekerja termasuk saya sendiri. Kami sendiri terkejut bila dengar Duha menjerit. Tak sangka pula Tuan Engku boleh berperangai macam tu pada Duha. Kasihan dia. Dia benar-benar takut.”

“Lepas tu apa umi saya buat Pak Mat?”

“Saya dengar Duha dipanggil ke pejabat Puan Engku. Lepas tu saya tak jumpa dia lagi. Kelmarin baru saya tahu yang Duha dah beberapa hari tak datang bekerja. Saya bimbang. Sebab tu walaupun takut, saya kena juga beritahu hal ni pada Encik Nashriq.”

Oh tuhan! Rupa-rupanya ini yang ditanggung Duha Maisara selama beberapa hari ini. Nashriq mengetapkan bibirnya. Dia benar-benar meradang. Hal ini tak boleh dibiarkan begitu sahaja. Hak Duha Maisara harus dilindungi. Dia bingkas bangun dari kerusi. Pak Mat terpinga-pinga.

“Encik Nashriq nak ke mana ni?” Resah orang tua itu dibuatnya.

“Saya nak pergi ajar orang tua bedebah tu.” Nashriq sudah mengenggam penumbuknya.

“Tapi dia kan pakcik Encik Nashriq.”

Nashriq memandang Pak Mat yang kegelisahan. “Pak Mat, dalam soal ini, keluarga atau tidak bukan persoalannya. Tapi ini melibatkan maruah seorang gadis. Dan selagi Duha Maisara bekerja dengan saya, saya harus pertahankan dia.” Ucap lelaki itu sebelum beredar pergi.

Pak Mat hanya mampu memerhatikan atur langkah anak muda itu., Diam-diam dia menyimpan rasa kagum terhadap lelaki itu. Sikap Nashriq benar-benar mirip dengan ayahnya, bisik Pak Mat sambil tersenyum. Dalam pada itu dia tak putus-putus berdoa agar Duha Maisara dilindungi tuhan selalu.

* * * *

Engku Iskandar benar-benar terkejut apabila Nashriq tiba-tiba menerpa masuk ke biliknya dengan wajah berang. Tanpa sebarang bicara atau amaran, tumbukan padu singgah ke batang hidungnya. Dia tersungkur jatuh dengan hidung berdarah dan bibir yang pecah.

“Naz, kenapa dengan kau ni? Apa kau dah gila?” jerit Engku Iskandar dalam kesakitan. Nashriq tunduk di hadapan lelaki itu dengan wajah marah. Dia benar-benar tidak menyangka keji lelaki itu bukan setakat makan hasil haram, tapi juga berkelakuan tidak senonoh.

“Gila? Pakcik kata saya gila? Habis perbuatan pakcik pada Duha Maisara bukan gila namanya?”

Engku Iskandar terdiam. Oh rupa-rupanya fasal gadis itu, detik hati kecil Engku Iskandar. Dia bingkas bangun. Darah di hidung dan bibirnya diseka dengan jari. Dia tertawa kecil.

“Kau ni memang dah hilang akal Naz. Takkan sebab perempuan sundal tu kau nak tumbuk aku?” Mulut Engku Iskandar mula celupar. Nashriq semakin panas hati. Tiba-tiba dia mendorong tubuh Engku Iskandar menghempap dinding. Leher kemeja lelaki itu direnggut kasar.

“Pak cik jangan nak bercakap ikut sedap mulut. Gadis yang pak cik kata sundal itu adalah pembantu saya. Saya bertanggungjawab penuh terhadap dia.”

...bersambung

Bab akan datang:

Apa yang Engku Iskandar cuba racuni pemikiran Nashriq?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience