Rate

Chapter 112

Romance Completed 26118

Bab 112

Mata Engku Latifah memandang ke suatu arah. Suraya turut berpaling.

Dari jauh, dia terlihat kelibat Nashriq melangkah beriringan dengan seorang gadis. Kedua-duanya nampak tergesa-gesa.

“Sue, siapa perempuan yang bersama Nashriq tu?” Soal Engku Latifah tiba-tiba.

“Itu Duha Maisara, pembantu Nashriq yang baru.” Jawab Suraya lurus.

“Pembantu?” Engku Latifah termenung panjang. Dia memang sudah dimaklumkan tentang Nashriq yang mengambil pembantu dari Katrina dan Wan Rohaya. Tapi baru kini dia dapat melihat sendiri gadis yang tersenyum manis di samping Nashriq. Namun entah kenapa melihat kemesraan yang terjalin antara Nashriq dan gadis itu, Engku Latifah merasa kurang senang.

******

“Selepas ni kita nak ke mana?” Tanya Nashriq sambil memandang gadis di sampingnya. Duha Maisara hanya menjungkit bahu. Dia sendiri tidak tahu ke mana, apatah lagi orang yang memandu kereta adalah Nashriq.

Selepas selesai mengikut Nahsriq bermesyuarat di bangunan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Nashriq tidak terus memandu balik ke pejabat. Kereta lelaki itu melencong ke arah lain tanpa hala tujuan.

“Selalunya kalau masa lapang kau buat apa?” Soal Nashriq lagi. Duha Maisara termenung panjang. Apa yang dibuatnya kalau lapang ya? Puas dia berfikir, akhirnya dia tersenyum simpul.

“Saya membaca.” Jawabnya.

“Membaca?” Nashriq menoleh sekilas. Dia teringat kali pertama dia mengekori Duha Maisara ke kedai buku tempat gadis itu bekerja dulu, Duha Maisara juga begitu asyik membelek-belek sebuah buku.

“Biasanya buku yang bagaimana yang kau baca?”

“Macam-macam, tapi saya suka novel karya penulis luar dan tempatan. Kadang-kadang saya berangan hidup saya seperti dalam novel, boleh ditulis-tulis.” Gadis itu ketawa kecil. Nashriq hanya mendengar tanpa mencelah.

Dia terus membelok keretanya ke suatu arah. Hampir lima belas minit memandu, akhirnya Nashriq menghentikan kereta. Tercengang Duha Maisara melihat tempat singgah mereka. Dia memandang Nashriq, hairan. Namun mulut Duha Maisara tidak berkata apa-apa, apabila lelaki itu mengisyaratkan agar dia keluar.

“Duha!?” Syafa tercengang apabila melihat Duha Maisara tiba-tiba muncul di situ. Wajah Duha Maisara berseri-seri memandangnya. Malah Ezad dan Rina juga menjenguk keluar apabila mendengar nama Duha Maisara disebut oleh Syafa. Tubuh Duha Maisara dirangkul erat oleh Syafa. Gadis itu hanya membiarkan seraya tertawa.

“Kak Syafa apa khabar?” Tegur Duha Maisara.

“Baik macam selalu, hanya Duha yang kakak rindukan,” akui Syafa. Sejak gadis itu memberi notis berhenti kerja, dia kehilangan seorang pembantu yang baik. Selama ini dia amat percaya dengan kebolehan Duha Maisara menguruskan kedai buku tersebut. Kini bila Duha Maisara tiada, dia terasa kehilangan. Meskipun dua pembantunya yang lain juga rajin, namun mereka tidak secekap Duha Maisara.

“Mana Duha pergi selama ni? Kakak risau bila Duha telefon kakak kata nak berhenti kerja.” Ujar Syafa.

“Duha tak ke mana-mana kak, ada di sini. Tapi Duha nak minta maaf sebab Duha berhenti kerja tiba-tiba.”

“Itulah, terkejut kakak bila tahu Duha nak berhenti. Harap-harap bukan sebab Duha terasa hati dengan kakak atau apa-apa yang Duha tak senangi di sini.”

“Bukan macam tu kak. Duha ada masalah di rumah, susah Duha nak explain, tapi Duha minta sangat kakak jangan marah.”

Syafa menggeleng sambil tersenyum. Sejurus mata Syafa beralih ke arah Nashriq yang tercegat di belakang Duha Maisara. Dia mengerutkan dahinya. Macam pernah nampak lelaki ni! Inilah lelaki yang pernah datang ke kedai itu dulu dan mengaku tunang Duha Maisara. Betulkah mereka sudah bertunang? Hati Syafa seolah ragu-ragu, apatah lagi bila dia teringatkan bagaimana lelaki itu pernah mengheret Duha Maisara pergi dari situ dulu.

“Siapa ni Duha?” Tanya Syafa ingin tahu sambil memandang ke arah Nashriq.

Duha Maisara berpaling. Nashriq selamba memandang dia dan Syafa berbual.

“Err, ini kawan Duha kak, namanya Nashriq.” Lambat-lambat Duha Maisara memberitahu. Sebenarnya dia serba salah mahu memperkenalkan Nashriq sebagai ketuanya, bimbang Syafa berkecil hati jika tahu dia berhenti kerja semata-mata kerana ditawarkan kerja oleh lelaki itu.

“Kawan biasa ke kawan istimewa?” Sampuk Rina yang muncul tiba-tiba. Ezad yang berada di samping gadis dari Johor itu, turut tergelak.

“Iyalah Duha, entah-entah Duha berhenti kerja sebab nak kahwin tak?” Usik Ezad pula. Duha Maisara tersentak. Entah mengapa wajahnya sudah merah padam kerana dicanang begitu. Diam-diam dia mengerling Nashriq yang tersenyum.

“Betul Duha?” Giliran Syafa pula bertanya. Dia bulat-bulat percaya pada kata-kata Ezad yang serkap jarang. Lagipun dia juga ingin tahu siapa lelaki itu sebenarnya. Meksipun lelaki itu pernah mengaku bertunang dengan Duha Maisara, namun dia mahu mendengar sendiri dari mulut Duha Maisara.

“Eh tak adalah kak, Duha…”

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah Nashriq juga mengenali mereka?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience