Rate

Chapter 94

Romance Completed 26118

Bab 94

Patutlah pejabat kosong sahaja pada waktu-waktu begini. Ah! Masakan Duha Maisara begitu bodoh akan menantinya di situ. Nashriq segera berpusing mahu beredar dari situ, namun langkahnya tidak jadi diatur apabila dia mendengar bunyi bising dari arah dalam. Dia kembali berpaling. Wajahnya dikerutkan. Aku silap dengarkah atau memang bunyi itu datangnya dari arah dalam?

Nashriq memerhatikan ke dalam pejabatnya dengan teliti. Sesaat kemudian, dadanya seakan berdegup kencang tatkala suatu kelibat suatu lembaga muncul dari sebuah bilik. Dia terkedu. Baru pukul tujuh takkan ada hantu kut! Meskipun hatinya berdebar-debar, namun dia cuba memberanikan diri memandang ke arah lembaga itu. Wajah kelibat itu dia tidak nampak jelas kerana terlindung oleh suram cahaya lampu dari beranda luar.

Namun apabila lembaga itu melangkah perlahan-lahan di bawah bias cahaya, Nashriq terperanjat besar. Pantas dia mengetuk-getuk kaca dinding di hadapannya sekuat hati. Lembaga itu menoleh. Wajahnya turut tergaman apabila menyedari kehadiran Nashriq di situ.

* * * *

“Bagi kopi dalam tin tu dua,”pesan Nashriq pada penjaja warung yang masih berniaga di simpang tidak jauh dari pejabatnya. Selepas kopi dan wang bertukar tangan, dia segera melangkah menuju ke arah taman di hadapan bangunan Mega Timur.

Dari jauh, mata Nashriq mencari-cari kelibat Duha Maisara di situ. Melihat sesusuk tubuh sedang termenung di salah satu bangku yang tersedia, dadanya menjadi lega. Mujur gadis itu masih tidak berganjak dari tempat itu. Dia lekas-lekas menuju ke arah Duha Maisara bersama dua tin kopi segera di tangan.

Perlahan-lahan kakinya melangkah ke arah Duha Maisara. Gadis itu leka termenung sehingga tidak menyedari kehadirannya. Apabila Nashriq semakin rapat, dilihatnya gadis itu menekan butang telefon bimbit. Nashriq tidak jadi melangkah.

“Hello mami, ini Duha cakap.”

Diam.

“Tak, Duha cuma nak tanya mami tentang ayah. Ada ayah datang cari Duha di Blue Ocean?” Tanya gadis itu

Diam.

“Duha risaulah mami, dah hampir sebulan ayah tak balik ke rumah. Duha takut kalau apa-apa jadi pada ayah.”

Diam.

“Kalau macam tu tak apalah mami. Tapi kalau ayah muncul, boleh tak mami telefon Duha? Baik, terima kasih mami.” Duha Maisara mengakhiri perbualannya. Suaranya kedengaran sebak. Nashriq terkesima seketika mendengar perbualan itu. Dia rindukah ayahnya barangkali, detik hati Nashriq. Dia teringat pertemuannya dengan Bustaman beberapa hari yang lalu. Haruskah aku memberitahunya tentang ayahnya? Ah, bagaimana kalau selepas tahu, gadis itu akan meninggalkan villa di tasik itu, atau berhenti kerja di Mega Timur? Perbagai fikiran menerpa ke otak Nashriq.

Entah kenapa dia seakan tidak rela Duha Maisara pergi jauh darinya. Dia ingin gadis itu sentiasa ada di hadapan matanya. Dia ingin melihat gadis itu tiap-tiap hari. Oh tuhan, kenapa perasaan ini begitu kuat berlingkar dalam hatiku? Saban masa aku memikirkannya, adakah ini namanya cinta? Nashriq jadi keliru semula.

Tiba-tiba Duha Maisara berpaling. Wajahnya kaget seketika apabila melihat Nashriq tercegat di belakangnya entah sejak bila. Melihat wajah Duha Maisara begitu, Nashriq segera melangkah lalu duduk di bangku kecil di sampingnya. Salah satu tin minuman diserahkan kepada gadis itu. Duha Maisara menyambutnya tanpa banyak kerenah.

“Terima kasih sebab awak datang semula cari saya. Kalau tidak, tentu saya terkurung kat dalam sampai esok pagi.” Ucap Duha Maisara tiba-tiba. Dia benar-benar bersyukur kerana diselamatkan lelaki itu. Atas usaha Nashriq memanggil pihak keselamatan juga, pintu yang terkunci secara automatik di pejabat itu boleh dibuka semula.

“Macamana kau tak boleh sedar semua orang dah balik, tinggal kau seorang saja?” Soal Nashriq ingin tahu. Lucu juga ada mengenangkan lembaga yang ditemuinya itu Duha Maisara. Nasib baik dia tidak angkat kaki terus apabila terpandang kelibat yang pada mulanya disangkakan salah satu entiti yang menghuni pejabatnya.

“Saya tunggu awak mulanya tapi terlelap di kerusi tu. Apabila saya sedar sahaja, hari dah gelap. Saya keluar dari bilik awak, tapi semua orang dah tak ada ketika itu. Masa tu juga saya terpandangkan awak,” cerita Duha Maisara serba ringkas. Timbul rasa segan dia pada Nashriq kerana kebodohannya.

“Hai macam-macamlah kau ni. Anis pun satu, macamana dia boleh tak perasan kau masih ada dalam bilik tu?” Rungut Nashriq entah pada siapa. Duha Maisara hanya diam. Dia memandang wajah Nashriq yang kelihatan serius.

“Kenapa awak datang balik cari saya?” Tanya Duha Maisara ingin tahu. Nashriq terkedu. Dia memandang gadis itu. Timbul rasa serba salah. Apa mahu dijawabnya pada gadis itu?

“Siapa datang cari kau? Aku cuma teringat ada kerja aku yang masih belum siap. Tapi tak sangka pula aku terserempak kau kat sana.”Ujar Nashriq memberi alasan.

...bersambung

Bab akan datang:

Kemana ayah Duha membawa diri? Selamatkah dia?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience