Rate

Chapter 47

Romance Completed 26118

Bab 47

Nashriq terpinga-pinga melihat Duha Maisara meradang. Wajah gadis itu tetap ayu meskipun dalam keadaan marah. Dia hanya memandang Duha Maisara yang mula melangkah keluar. Tanpa sedar, bibirnya menguntum senyum. Dia tidak tahu kenapa dengan hatinya. Namun melihat gadis itu marah-marah begitu, hatinya seolah terhibur.

******

Duha Maisara mengesat airmata yang mahu gugur dari kelopak matanya. Tidak tahu kenapa, dia rasa sedih tiba-tiba. Terasa bagaikan harga dirinya benar-benar jatuh dipijak orang kali ini. Kalau dulu dia masih boleh mempertahankan air mukanya. Tapi kali ini dia benar-benar rasa malu. Malu pada lelaki itu.

“Duha dah nak balik?” Tegur Zarina ketika melihatnya.

Duha cepat-cepat mengesat airmata yang berlinangan. Dia tidak mahu wanita itu tahu perasaan yang bergolak dalam hatinya. Dia berpaling. Bibirnya tersenyum ke arah Zarina sambil mengangguk.

“Lelaki tu dah balik?” Soal Zarina lagi.

Duha Maisara mengangguk. Namun bibirnya langsung tidak mengungkit tentang lelaki yang sampai sekarang dia belum tahu namanya.

“Kak Ina betul-betul hairanlah dengan lelaki tu. Beberapa kali dia datang ke mari, tapi dia hanya duduk diam dalam bilik VIP tu. Malah dia tak pernah melanggan pelayan-pelayan kat sini. Minuman keras pun dia tak pernah pesan. Dia cuma mahukan Duha yang temani dia, itupun cuma duduk-duduk sahaja. Betul dia tak pernah buat apa-apa pada Duha?” Soal Zarina ingin tahu.

Duha Maisara menggeleng. “Betul kak, lelaki itu cuma berbual-bual saja dengan Duha.” Jawab Duha Maisara. Dia langsung tidak menyebut tentang upah yang diterimanya dari lelaki itu. Bukannya apa, dia tidak mahu Zarina tahu tentang hal itu. Lagipun entah mengapa dia rasa malu sendiri dengan kebodohannya.

Sepatutnya dari awal lagi dia tidak patut menerima wang lelaki itu. Malah dari awal lagi juga dia tidak sepatutnya setuju dengan permintaan lelaki itu agar duduk menemaninya. Semuanya silap dia dari awal. Dia yang membiarkan dirinya dihina, dipandang rendah sebegitu rupa.

Dia melangkah mengikut kakinya tanpa hala tujuan. Beg hitamnya diselongkar sambil cuba-cuba mengagau mencari telefon bimbitnya. Dia ingin menelefon Zafran. Namun entah kenapa dia gagal menemui telefon bimbitnya. Duha Maisara tergaman. Puas dia memikirkan ke mana telefon bimbitnya tercicir. Dia teringat kali terakhir dia memegang telefon itu adalah ketika di bilik VIP bersama lelaki itu tadi. Mungkinkah aku tercicir telefon itu di sana? Bagaimana kalau lelaki itu masih berada di situ? Ah malulah dia kalau begini. Tapi takkan nak dibiarkan sahaja telefon itu di situ. Bagaimana kalau Zafran menghubunginya? Tentu lagi parah jadinya kalau Zafran tahu di mana dia bekerja selama ini.

Mahu tak mahu Duha Maisara berpatah balik ke Blue Ocean. Namun melihat tiga orang lelaki berdiri di suatu sudut mengadap ke arahnya, dia tersentak. Salah seorang lelaki itu berkepala botak, membuatkan dada Duha Maisara semakin kuat berdebar-debar. Dia teringat, itulah lelaki yang mencarinya di Blue Ocean tempohari. Dia berundur perlahan-lahan. Namun apabila dia berpusing, dua lelaki lain sedang tersengih memandang ke arahnya.

Lelaki berkepala botak itu memandangnya sambil tersengih. Galak. Perlahan-lahan lelaki botak berkulit hitam itu melangkah ke arahnya. Duha Maisara semakin gugup. Hendak melarikan diri, dia sudah dikepung.

“Jadi kaulah Duha, anak Bustaman?” Lelaki botak itu bertanya.

“Apa awak nak?” Tanya Duha Maisara ketakutan. Black tidak terus menjawab, sebaiknya perlahan-lahan menghampirinya. Wajah Duha Maisara yang ketakutan direnung lama.

“Hmm..tak sangka Bustaman ada anak gadis cantik. Sayang, kau tahu ke mana ayah kau pergi?”

Duha Maisara tergaman. Bagaimana dia boleh tahu kalau lelaki itu menghilangkan diri secara tiba-tiba. Dia menggelengkan kepala.

“Tak tahu? Mustahil kau tak tahu ke mana ayah kau pergi. Jangan sesekali berbohong dengan aku, sebab aku tak mahu cederakan perempuan. Tapi kalau kau berdegil, jangan salahkan aku kalau apa-apa terjadi pada kau,” ugut Black tenang.

“Saya benar-benar tak tahu, percayalah. Dah lama dia hilangkan diri.” Ujar Duha Maisara cuba menyakinkan lelaki itu.

Wajah Black merah padam. Penafian Duha Maisara membuatkan darahnya mendidih tiba-tiba. “Kau jangan cuba nak naikkan darah aku. Aku tahu kau sengaja nak melindungi ayah kau kan? Jangan jadi bodoh, apa gunanya kau lindungi dia kalau dia tak boleh lindungi kau?”

Duha Maisara terdiam. Memang lelaki itu tidak pernah melindunginya selama ini. Dia selalu menjadi mangsa dari kelalaian ayahnya. Tapi meskipun begitu, dia juga sesekali tidak sampai hati mengkhianati lelaki itu. Duha Maisara memandang lelaki di hadapannya. “Kenapa awak cari dia? Dia berhutang duit dengan awakkah?” Dia bertanya.

Black tertawa besar diikuti derai ketawa orang-orangnya. Pertanyaan Duha Maisara menimbulkan kelucuan.

...bersambung

Bab akan datang:

Apa yang mereka mahukan sehingga datang ke rumah mencari ayah Duha?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience