Rate

Chapter 92

Romance Completed 26118

Bab 92

Wajah lelaki itu serius. Sesekali Duha Maisara mendengar dia mengherdik lelaki bertubuh kecil di sisinya.

“Benda macam ni pun you tak tahu nak settle. Macamana you jadi pengurus projek ni?” Marah Nashriq dengan wajah berang.

“Tapi Encik Nashriq, saya dah bincang dengan pekerja-pekerja di tapak projek, tapi mereka tak nak beralah. Selagi tuntutan mereka tak berhasil, mereka tak mahu mulakan kerja.” Ujar lelaki di sampingnya, serba salah.

“So you lagi rela projek tu terhenti dari naikkan gaji mereka setakat dua tiga ratus?” Herdik Nashriq. Lelaki itu hanya mampu diam.

Duha Maisara hanya memerhatikan sehingga langkah lelaki itu semakin hampir dengannya. Dia perasan mata Nashriq sudah terarah ke wajahnya. Dia tunduk, tidak berani menentang pandangan lelaki itu. Namun lelaki itu lalu di hadapannya tanpa sepatah suara. Duha Maisara tergaman. Sangkanya Nashriq akan singgah menegurnya, namun lelaki itu terus berlalu pergi dengan dua lelaki berpakaian kot kemas. Entah mengapa dia rasa sedih tiba-tiba.

“Cik, boleh saya tolong?” Gadis di hadapannya tiba-tiba bersuara. Mata gadis itu berkerut memandangnya. Duha Maisara sedikit gugup. Entah apakah dia patut memberitahu sebab kedatangannya kepada gadis itu, sedang orang yang sepatutnya dia jumpa sudah berlalu pergi?

“Cik? Cik ni nak jumpa siapa?” Soal Anis lagi. Dia mula hairan dengan sikap gadis di hadapannya itu.

“Err…sebenarnya saya..” Belum sempat dia menghabiskan kata-kata, telefon di hadapan gadis itu berbunyi. Gadis itu tersenyum. “Maaf.” Ujarnya seraya mengangkat gagang telefon di hadapannya.

Duha Maisara mengeluh panjang. Tunggu di sini pun tak ada gunanya, baik aku pulang saja, bisik hati kecil Duha Maisara. Dia membiarkan gadis itu menjawab telefon. Perlahan-lahan langkahnya diatur menuju ke pintu keluar.

Belum jauh melangkah, terdengar suara gadis tadi memanggilnya kembali. Duha Maisara segera berpaling. Wajahnya berkerut.

“Err Cik, sekejap,” Panggil gadis itu. Duha Maisara tercengang. Namun dia tidak mengambil masa yang lama untuk sampai di hadapan meja gadis itu.

“Cik Duha bukan?” Gadis itu memandangnya.

Dia hanya mengangguk meskipun terbit rasa hairan di hatinya tatkala gadis itu lancar menyebut namanya.

“Encik Nashriq pesan, Cik Duha boleh tunggu dia di pejabatnya. Dia terpaksa keluar sekejap kerana ada urusan.” Pesan gadis itu. Duha Maisara tergaman. Kata-kata gadis itu jelas di telinganya, namun entah kenapa dia rasa seperti terumbang ambing serba tidak kena.

* * * *

Erman asyik merenung ke arah Nashriq yang sedang memandu. Wajah lelaki itu seperti tadi, serius sahaja. Entah kenapa baran Nashriq hari itu merisaukannya. Selalunya Nashriq tidak mudah marah-marah. Namun sejak pagi lagi anak muda itu sudah berangin. Siang-siang lagi Zakry, pengurus projek itu teruk dibambu Nashriq kerana gagal mengawal pekerja-pekerja di tapak projek.

Namun bukan soal itu yang terlintas di fikiran Erman, meskipun dia maklum ada sesuatu sedang mengganggu perasaan Nashriq. Apa yang mahu ditanya sebenarnya berkaitan dengan kehadiran Duha Maisara di pejabat mereka tadi? Apa gadis itu buat di situ? Mahu bertemu Nashriqkah? Tapi anak muda itu tidak pula menegur gadis itu sewaktu berselisih bahu tadi. Itulah yang membuatkan Erman tertanya-tanya.

“Bodoh!” Tiba-tiba Nashriq menghentak stereng keretanya. Erman tersentak. Bulat matanya memandang ke arah Nashriq.

“Benda macam ni pun nak suruh kita yang selesaikan. Kalau begitu baik dia letak jawatan saja, lebih senang.” Rungut Nashriq tiba-tiba.

Erman tidak berkata apa-apa, hanya tersenyum.

“Zakry tu dah cuba sedaya upaya dia. Kata dia, ibu pejabat yang tak benarkan kita naikkan gaji-gaji pekerja tu.”

“Arahan siapa?”

Erman memandang lelaki itu. “Engku Iskandar.” Jawabnya selamba.

Nashriq terdiam. Dia lagi! Entah kenapa dia semakin bosan mendengar nama pakciknya itu dicanang berulangkali dalam satu hari. Dia sendiri tidak tahu kenapa sebahagian besar keputusan harus diluluskan oleh lelaki itu, sedangkan ibunya yang berkuasa penuh dalam syarikat.

“Buang masa betul! Entah apa yang umi nampak pada pakcik tu, sampaikan semua urusan syarikat dia serahkan bulat-bulat pada pakcik. Dah berbelas tahun dia kerja di Mega Timur, entah sudah banyak mana duit syarikat dikautnya dalam poketnya sendiri.”

“Bila dah terlalu kenyang diberi makan, beginilah selalunya,” ulas Erman. Dia sudah lama mengenali sikap Engku Iskandar. Malah sewaktu hayat Tuan Zainal masih ada, ketuanya itu selalu mengeluh benda yang sama. Tentang Engku Iskandar yang suka makan suap serta membuat keputusan yang terburu-buru.

Nashriq mengeluh panjang. Jika ibunya selalu melindungi lelaki itu, sampai bilapun syarikat itu akan menyimpan kandang ‘ular sawa’ dalam syarikat. Dia benar-benar buntu bila memikirkan syarikat yang selama ini dibangga-banggakan oleh ayahnya Zainal Ikram seperti terumbang ambing tanpa nakhoda.

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah Nashriq sendiri akan berdepan dengan Engku Iskandar atau menyiasat tindak-tanduknya dalam syarikat Mega Timur?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience