Rate

Chapter 153

Romance Completed 26118

Bab 153

“Banyak-banyak bersabar Duha. Pak Mat percaya, takkan senang-senang mereka nak buang Duha macam tu saja. Lagipun Engku Iskandar tu memang sejak dulu macam tu perangainya, suka menggoda staf-staf di sini. Pak Mat percaya, orang akan lebih percaya Duha dari dia,” pujuk lelaki itu.

“Tapi Duha tak yakin Pak Mat. Engku Iskandar tu abang Puan Engku, takkan dia nak percayakan cakap-cakap Duha ni. Lagipun dari cara dia padang Duha tadi, Duha tahu dia tak sukakan Duha.” Keluh Duha Maisara. Mana mungkin dia lupa pada renungan tajam wanita itu yang singgah di raut wajahnya. Lagipun dengan reputasinya di syarikat itu, mana mungkin orang akan percaya cakap-cakap gadis yang dituduh menjadi orang ketiga dalam hubungan antara Nashriq dan Suraya.

“Cik Duha, Puan Engku nak jumpa di pejabatnya.” Beritahu seorang pegawai lelaki. Duha Maisara memandang Pak Mat. Wajahnya resah. Orang tua itu menganggukkan kepalanya.

“Pergilah. Terangkan baik-baik pada Puan Engku cerita sebenar.” Nasihat Pak Mat.

Duha Maisara merasakan debaran di dadanya semakin kuat tatkala dia menghampiri pintu bilik wanita itu. Dia tahu benar sikap keras dan tegas wanita berusia awal 50an itu. Jika bukan kerana wanita itu dulu, mana mungkin dia dan ibunya dihalau keluar dari rumahnya sendiri. Malah kerana wanita itu juga, dia terpisah dari ibunya. Kadangkala hatinya kuat menyatakan semua musibah yang berlaku dalam hidupnya dua belas tahun yang lalu, adalah berpunca dari wanita itu.

Mata Engku Latifah garang mengawasi kelibat Duha Maisara memasuki biliknya. Wajah anak gadis itu seakan takut-takut mahu memandangnya.

“Duduk.” Suruh Engku Latifah. Duha Maisara akur. Dia duduk di hadapan wanita itu. Perlahan-lahan kepalanya diangkat memandang raut wajah wanita yang tidak banyak berubah. Mata wanita itu tidak lepas dari wajahnya.

“Jadi kamulah Duha Maisara, pembantu anak saya?” Tanyanya dingin.

Duha Maisara mengangguk.

“Saya dah bercakap dengan abang saya tadi. Saya tahu dia yang menganggu awak sebenarnya.” Ujar wanita itu.

Duha Maisara terdiam. Betulkah wanita itu mempercayainya?

“Tapi saya tak salahkan dia. Jika tak ada angin, masakan pokok bergoyang.” Sambungnya. Duha Maisara tersentak. Kata-kata wanita itu seperti mempersendakannya.

“Apa maksud puan?”

Engku Latifah tersenyum sinis. Bukan sekali dua dia berurusan dengan gadis seperti Duha Maisara. Malah sejak arwah suaminya masih hidup lagi, dia sudah berhadapan dengan ramai wanita-wanita yang mahu memikat hati Zainal Ikram. Tapi kebijaksanaannya menguruskan wanita-wanita itu membuktikan sampai ke akhir hayatnya, Zainal Ikram tetap miliknya seorang.

“Saya tak suka bercakap banyak.Kita selesaikan masalah ini begini saja.” Wanita itu meletakkan sekeping cek di hadapannya. Duha Maisara terpegun. Jumlah angka yang tertulis pada cek itu membuatkan dadanya berombak kencang.

“Untuk apa puan bagi saya cek ni?” Tanyanya.

“Saya tak rasa awak gadis yang bodoh, Duha. Awak tentu faham apa maksud saya bukan. Saya nak awak terima cek ni dan jangan datang lagi bekerja di Mega Timur. Dan yang paling penting, jangan jumpa lagi dengan anak saya.” Ungkap Engku Latifah.

Duha Maisara terpempan mendengar butir bicara wanita itu. “Tapi apa salah saya? Kenapa puan buat saya begini?”

“Sebab saya tak suka anak saya bergaul dengan perempuan kelab macam awak.”

Kata-kata wanita itu mula menghiris hatinya. Dia tahu sudah pasti Engku Iskandar yang mencanang begitu pada wanita itu.

“Nashriq anak saya dan bakal mewarisi perniagaan ini. Saya tak mahu calon menantu saya dikatakan perempuan kelab malam yang tidak tahu asal usul keturunan.” Sambung Engku Latifah.

Duha Maisara terdiam. Dia sepatutnya tidak perlu terkejut dengan kata-kata pedih yang terlontar dari bibir wanita itu. Sejak azali wanita itu tidak pernah berubah.

“Saya tak boleh tinggalkan Nashriq, puan.” Jawab Duha Maisara berani. Dilihatnya wajah Engku Latifah mula berubah. Raut tenang tadi mula bertukar merah padam.

“Tak boleh atau tak mahu tinggalkan Nashriq? Sebab dia berduit, berharta. Itu sahaja sebabnya kenapa perempuan tak malu macam awak, sentiasa mahu dekat dengan Nashriq. Tapi saya takkan benarkan Nashriq terpengaruh dengan penipuan awak, Duha. Saya akan pastikan dia tinggalkan awak, walau dengan apa cara sekalipun.” Bentak Engku Latifah mula hilang sabar. Kata-kata gadis itu mula mencabar kesabaran yang cuba dipertahankannya.

******

Matanya asyik menjeling tempat duduk Duha Maisara yang kosong sejak pagi. Jarum jam sudah hampir pukul 10.00 pagi, tapi kelibat Duha Maisara langsung tidak kelihatan. Nashriq kian resah. Berhari-hari dia tidak dapat bertemu Duha Maisara bermula sejak gadis itu mengambil cuti sehinggalah ke hari ini. Entah kenapa hatinya terbeban dengan rindu yang tak kunjung padam. Semalam dia ke rumah Duha Maisara tapi apartment gadis itu bergelap.

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah yang akan dilakukan Engku Latifah untuk menjauhkan hubungan Duha dan Nashriq?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience