Rate

Chapter 128

Romance Completed 26118

Bab 128

Namun apabila melihat pelupuk mata itu digenangi air jernih, dia terpaku tiba-tiba.

“Mak cik, mak cik tak apa-apa?” Tanya Zafran gelisah.

Wanita itu tiba-tiba menoleh ke arahnya. Zafran terkesima.

“Mana anak aku? Kau kenal anak aku Hana kan? Beritahu aku mana dia?” Wanita itu bertubi-tubi bertanya, membuatkan Zafran tercengang.

“Mak cik, saya tak kenal anak makcik. Saya tak tahu siapa Hana.”

“Bohong! Kau bohong! Kau kenal dia tapi kau kata kau tak kenal. Hana anak aku, aku nak jumpa dia. Kau sengaja tak mahu aku jumpa dia kan.” Herdik wanita itu tiba-tiba. Zafran terpegun. Dia sudah tidak tahu bagaimana caranya harus memujuk wanita itu.

“Aku tahu kau kenal dia. Kau kenal dengan anak aku Raihana. Aku pernah nampak kau cakap dengan dia di situ.” Ujar wanita itu seraya menuding ke suatu arah dengan jari telunjuknya. Zafran tergamam. Satu-satunya orang yang pernah bercakap dengannya di sini ialah Duha Maisara sendiri selain Doktor Habiabh dan jururawat-jururawat yang bertugas di Al-Raudah. Takkan gadis yang wanita itu maksudkan benar-benar Duha Maisara?

Tiba-tiba Zafran teringatkan sesuatu. Dia segera menyeluk saku seluar lalu dikeluarkan sekeping potret Duha Maisara dari dalam dompetnya. Dia menunjukkan potret Duha Maisara di hadapan wanita itu.

“Mak cik, cuba makcik tengok gambar ni. Ini ke Hana yang makcik maksudkan?” Tanya Zafran. Lama matanya memerhatikan reaksi wanita di sampingnya. Mata wanita itu bersinar-sinar. Dia pantas merampas potret di tangan Zafran.

“Hana anak mak. Hana sayang, mak rindukan Hana. Mana Hana pergi? Kenapa tinggalkan mak?”

Zafran tersentak. Kata-kata wanita itu mengejutkannya. Jadi betullah Hana yang dimaksudkan oleh wanita itu adalah Duha Maisara. Oh Tuhan! Apakah maknanya semua ini? Apakah wanita di sisiku sekarang ini benar-benar ibu kepada Duha Maisara? Jika benar begitu, kenapa dia memanggil Duha Maisara dengan panggilan Hana. Siapa Hana atau Raihana itu?

“Betul Duha tak ingat apa-apa tentang keluarga Duha?”

Gadis itu menggelengkan kepala.

“Langsung tak ada?” Dia masih ingin tahu.

“Betul. Yang abang beria-ria tanya ni kenapa?” Gadis itu kelihatan tidak senang hati dengan pertanyaannya. Dia hanya ketawa selepas itu. Langsung dia tidak menyedari kerut resah di wajah gadis itu menandakan sesuatu.

Zafran mengeluh. Entah yang mana satu adalah nama betulmu, Duha Maisara atau Raihana? Tapi kenapa gadis itu berbohong dengannya selama ini? Dan jika Duha Maisara sebenarnya adalah Raihana, kenapa sampai hendak berahsia tentang masa silamnya?

Zafran masih tidak puas hati. Dia harus tahu segala-galanya yang menjadi rahsia dalam hidup Duha Maisara. Dia harus menghubungi gadis itu. Dia mahu gadis itu jelaskan segala-galanya tentang wanita itu, tentang kekeliruan yang mula menyelubunginya.

Sekali lagi Zafran mendail nombor Duha Maisara. Dia ingin bertemu gadis itu. Cubaan pertama gagal, Zafran teruskan pula dengan cubaan kedua. Mendengar panggilannya seperti bersambung, hati Zafran jadi sedikit tenang. Dia menunggu dengan sabar sehingga Duha Maisara mengangkat telefon.

Beberapa saat kemudian, terdengar suara gemersik seorang gadis. Zafran mengerutkan dahinya. Hairan! Bukan suara Duha Maisara seperti yang disangkakannya.

“Hello, saya nak bercakap dengan Duha.” Pintanya.

“Maaf encik, saya receptionist dari Hotel Pearl International. Telefon ni tercicir di lobi hotel kelmarin. Saya sendiri tidak tahu siapa pemiliknya. Boleh encik beritahu saya nama penuh pemilik telefon ni supaya saya boleh mengesan beliau.” Ujar suara gadis itu.

Zafran terpaku. Hotel? Apa Duha Maisara buat di sana?

“Hotel mana?” Zafran bertanya lagi.

“Pearl International, Pulau Pinang.”

“Pulau Pinang?” Zafran semakin hairan. Sejak bila Duha Maisara ke Pulau Pinang? Kenapa tiada sepatah pun kata dari gadis itu memberitahunya? Dalam dua hari ini memang dia tidak dapat bertemu Duha Maisara kerana sibuk. Sedikit pun dia tidak menyedari bahawa Duha Maisara tidak berada di Kuala Lumpur.

******

Berulangkali Duha Maisara mencari-cari telefon bimbitnya namun gagal. Dia mengeluh kecil. Entah apa malangnya nasibnya hari itu, telefon bimbit miliknya hilang lagi entah ke mana. Mulanya dia sangkakan telefon itu tersimpan dalam tas tangan, namun apabila dia mencari telefon itu, tidak pula dia bertemu. Aduh! Macam mana ni? Bagaimana kalau hilang? Apa yang patut aku jawab kalau Zafran tiba-tiba bertanya. Masuk kali ini sudah dua kali dia kehilangan telefon.

Lagipun dia tidak sempat memberitahu Zafran tentang pemergiannya ke Pulau Pinang. Bagaimana kalau tiba-tiba Zafran menelefonnya? Tentu anak muda itu susah hati jika panggilannya tidak bersambut.

Bunyi ketukan demi ketukan singgah di daun pintu biliknya. Duha Maisara mengeluh. Pasti Nashriq sudah siap untuk pergi bermesyuarat. Mahu tak mahu Duha Maisara terpaksa melupakan telefon bimbitnya buat sementara lalu bergegas mendapatkan Nashriq yang sudah menanti di luar.

...bersambung

Bab akan datang:

Jika Duha adalah Raihana, mengapa dia menyembunyikan kisah silamnya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience