Rate

Chapter 143

Romance Completed 26118

Bab 143

Nashriq berkeluh kesah sepanjang hari di dalam bilik. Banyak dokumen-dokumen penting yang masih belum disemaknya. Entah kenapa, dia bagaikan tiada mood untuk bekerja hari itu. Ingatannya tertumpu pada Duha Maisara yang mengambil cuti secara tiba-tiba. Terdetik juga rasa resah di hatinya, apakah Duha Maisara sakit atau berdepan dengan masalah lagi?

Dia baru ingin menelefon Duha Maisara bertanyakan khabar, apabila tiba-tiba dia teringat pada telefon bimbit Duha Maisara yang masih berada dalam simpanannya. Nashriq mula menyesal. Kalau bukan sebab dia berniat mahu mengusik gadis itu dengan menyimpan telefon bimbitnya, tentu masalahnya selesai hari itu.

Sebenarnya hati Nashriq meronta-ronta mahu bertemu Duha Maisara. Bukan sekadar kerana risaukan keadaan kesihatan gadis itu, tapi lebih kepada ancaman ibunya sebentar tadi. Entah kenapa, dia benar-benar yakin wanita itu mampu melakukan seperti apa yang dikatakannya. Bukan sehari dua dia hidup dengan wanita berketurunan kerabat diraja Kelantan itu. Sedikit-sebanyak dia tahu wanita berhati keras itu selalu memegang pada janji. Jika itu katanya, maka itulah yang akan dikotakannya. Inilah yang membimbangkan Nashriq. Dia tidak mahu kerana dirinya, Duha Maisara dilukakan. Dia tidak rela melihat gadis kesayangannya menyulam derita.

Nashriq bingkas bangun. Tidak ada gunanya dia terus duduk di situ sedangkan hatinya rungsing. Benar-benar rungsing. Namun belum sempat dia mahu keluar dari biliknya, telefon bimbitnya berdering. Dia mula tersenyum. Barangkali Duha Maisara yang menelefon.

Namun melihat nama yang terpapar di situ, wajah Nashriq kembali muram. Bukan Duha Maisara yang ditunggu-tunggu tapi nama Suraya pula yang menjengah dalam skrin telefon. Dia segera menjawab panggilan. Perbualan mereka ringkas sahaja. Gadis itu mahu bertemunya.

Dia segera berkejar ke sebuah restoran di PJ. Sebaik memasuki restoran itu, matanya melilau mencari kelibat Suraya. Apabila melihat gadis itu sedang duduk di suatu sudut yang agak terlindung, dia segera melangkah malas. Tapi langkahnya kian perlahan tatkala menyedari Suraya bukan keseorangan. Ada seorang lelaki di samping Suraya.

Apabila lelaki itu berpaling ke arahnya, Nashriq terpaku seketika. Zafran! Apa dia buat bersama Suraya? Pelbagai fikiran menggasak mindanya, namun satupun persoalan tak berupaya dirungkainya.

“Maaf Naz, I tak beritahu you tadi yang I berteman. I jumpa doktor Zafran pun tak sengaja tadi, jadi I ajak dia join kita makan.” Beritahu Suraya sebaik Nashriq mengambil tempat duduk di hadapan mereka. Lelaki itu tidak berkata apa-apa. Matanya memandang tepat ke arah Zafran yang turut menatapnya. Wajah Zafran serius sahaja, sama seperti kali pertama dia terserempak dengan lelaki itu di apartment Duha Maisara tempohari. Lelaki itu seolah-olah tidak menyukainya. Dia sendiri tidak tahu kenapa.

“Doktor Zafran apa khabar?” Tegur Nashriq.

“Baik dan masih sihat.” Balas Zafran. Kedua-duanya saling menatap tidak mahu lepas. Suraya mula menyedari sesuatu. Kelakuan kedua-duanya dirasakan ganjil.

“You masih ingat dengan doktor Zafran, Naz?” Tanya Suraya.

Lelaki itu tersenyum. “Of course I remember him. Susah nak lupakan doktor lelaki yang menarik seperti doktor Zafran ni.” Ujar Nashriq tenang.

“Anehnya, fikiran saya juga sama seperti Encik Nashriq. Tak mungkin saya lupa siapa Encik Nashriq,” balas Zafran sinis. Nashriq hanya tersenyum.

Zafran menoleh ke arah Suraya sambil bingkas bangun. “Maaf Suraya, saya nak minta diri dulu. Saya masih ada hal yang nak diuruskan. Lain kali saja kita makan bersama.” Ujarnya meminta diri.

“Kenapa tak tunggu makan tengahari bersama?” Suara Suraya seperti kecewa.

“Tak mengapa, lain kali saya belanja Suraya makan.” Janji Zafran. Dia menoleh ke arah Nashriq yang turut memandangnya. “I hope you will enjoy your lunch, Encik Nashriq.” Ucapnya seraya melangkah pergi. Lama mata Nashriq tertumpu ke arah kelibat lelaki itu. Entah kenapa berhadapan dengan Zafran, dia jadi tidak senang hati. Renungan Zafran padanya sering menimbulkan tandatanya.

Beberapa ketika, Nashriq kembali memandang Suraya. “You sihat?” Tanyanya.

Suraya tercengang. Anehnya soalan itu? Bolehkah aku sihat sedangkan hati di dalam terasa pedih terhiris? Namun dia tahu niat hati Nashriq baik. Lelaki itu masih tahu mengambil berat setelah hatinya diguris malam itu tanpa belas.

“I nak minta maaf dengan you Sue, itu bukan niat I, percayalah. You pun tahu pendirian I sejak dulu kan. I tak pernah sorokkan apa-apa pun pada you.”

“Naz, please…jangan cakap fasal hal yang dah lepas. I ajak you makan bukan nak bincang fasal malam itu, tapi I nak beritahu you fasal ayah I.” Ujar Suraya lambat-lambat.

Nashriq terdiam. Fasal Dato’ Mustadza?

“I rasa you dah tahu fasal rancangan ayah I nak jual saham-saham Mega Timur tu. Dia benar-benar serius kali ini.”

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah tindakan Dato’ Mustadza akan menjejaskan syarikat Mega Timur?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience