Rate

Chapter 120

Romance Completed 26118

Bab 120

Sekeping sampul surat dikeluarkan dari dalam poket, lalu turut diletakkan di hadapan lelaki itu.

“Aku nak kau cari apa sahaja maklumat fasal perempuan dalam gambar ni. Semua peribadi dia ada dalam fail tu. Ekori gerak geri dia. Upah permulaan kau ada dalam sampul surat tu.” Ujar Engku Iskandar.

Robert membelek fail biru di tangannya. Sekeping gambar yang terselit di dalam diambil lalu ditatap. Dia memandang sampul surat di hadapannya. Sampul surat itu diambil lalu dibuka. Bibirnya menguntum senyuman apabila melihat lembaran cek yang tersimpan di dalam.

“Jangan bimbang Is, aku akan jalankan tugas ni dengan baik sekali.” Ujarnya seraya bingkas bangun dari kerusi yang baru sekejap diduduki. Lelaki India itu terus berlalu pergi. Engku Iskandar memandang kelibat lelaki bertubuh besar itu menghilang di sebalik pintu. Dia tersenyum tenang.

******

“Dia dah nampak tenang sikit sejak beberapa minggu ini. Sejak minggu lepas kami dah kurangkan dos ubat penenang. Mak cik Jamilah pun dah boleh makan sendiri,” ujar jururawat itu padanya.

“Habis di mana dia sekarang?” Tanya Duha Maisara, sudah tidak sabar mahu bertemu wanita itu. Hampir dua minggu dia tidak datang menjenguk ibunya. Hatinya teramat rindu.

“Selalunya petang-petang begini, dia ada di taman. Cuma dia masih tak mahu bercakap dengan sesiapa. Tapi Doktor Habibah pesan, Cik Duha jangan terlalu mendesak dia.” Ujar jururawat itu.

“Saya nak jumpa Doktor Habibah, dia ada?”

“Doktor ke Bangi, ada konvensyen di UKM Bangi. Tapi dia memang ada sebut nak bertemu dengan Cik Duha.”

Sepeninggalan jururawat muda itu, Duha Maisara segera melangkah ke belakang laman hospital. Matanya melilau ke serata taman, mencari-cari kelibat ibunya. Akhirnya dia terlihat wanita itu sedang duduk bersendirian di sebuah bangku batu sambil mengadap ke suatu arah.

Duha Maisara tersenyum. Wajah ibunya sudah nampak sihat. Perlahan-lahan dia melangkah ke arah wanita itu. Dia tercegat lama di belakang wanita itu sebelum mula menegur.

“Mak, Hana ni. Mak apa khabar?’ Sapanya seraya memeluk bahu wanita itu. Matanya dipejamkan. Kerinduan yang telah disimpan lama seakan membuak-buak. Wanita itu tidak menunjukkan sebarang reaksi. Matanya menerawang jauh.

“Maaf sebab Hana dah lama tak lawat mak di sini. Hana sibuk dengan kerja baru.” Bisiknya. Dia meraih tangan wanita itu ke bibirnya seraya dikucup. Perlahan bercampur sebak. Wanita itu tiba-tiba berpaling.

“Kau ni siapa?” Tanyanya. Duha Maisara tergaman. Matanya dilarikan ke wajah ibunya yang masih menatapnya tidak berkelip.

“Mak, mak dah tak cam Hana. Ini Hana mak, ini anak mak Raihana.”

“Hana?” Wajah wanita itu berkerut.

“Bohong! Kau bohong! Anak aku Hana masih kecil. Dia bukan budak besar macam kau.” Wanita itu menggelengkan kepalanya, enggan percaya.

Duha Maisara terdiam. Dia tahu wanita itu masih dalam dunianya. Dia teringat kata-kata Doktor Habibah beberapa minggu yang lalu.

“Ibu Duha masih tidak boleh terima kenyataan tentang apa yang berlaku dalam hidupnya. Sebab itu dia tidak ingat apa-apa tentang perkara masa sekarang. Dia hanya mempunyai memori masa lalu. Kemungkinan besar pesakit begini tidak mampu menerima realiti yang ada di sekeliling mereka.”

“Adakah ibu saya masih ada peluang untuk sembuh, doktor?”

“Insya Allah jika mereka dikejutkan dari mimpi yang ada dalam ingatan mereka.”

Duha Maisara menarik nafas. Terasa berat. Penjelasan Doktor Habibah meskipun menyatakan harapan namun melihat keadaan ibunya sekarang, dia tidak tahu sampai bila dia harus menunggu. Bagaimana jika wanita itu tidak dapat mengingatinya buat selama-lamanya? Apa patut dia lakukan jika takdir sudah ditentukan begitu?

******

Sebaik dia sampai ke kawasan apartment, dia ternampak kelibat Nashriq sedang menunggunya di kawasan taman bersebelahan. Melihat lelaki itu asyik memandang kanak-kanak di kawasan apartment itu bermain riang, entah kenapa Duha Maisara seakan ragu-ragu mahu melangkah ke arah lelaki itu. Kata-kata Erman masih terukir jelas dalam ingatannya.

Mungkin kata-kata lelaki itu betul. Mungkin dia terlalu asyik memegang hubungan persahabatan mereka yang dulu, hingga dia terlupa pada kedudukan dirinya yang kini. Kini dia bukannya Raihana yang sering dimanjakan oleh Nashriq dan Tuan Zainal. Tapi dia adalah Duha Maisara. Gadis yang tidak mempunyai apa-apa dalam hidup. Tiada keluarga dan tiada juga cinta.

Perlahan-lahan Duha Maisara melangkah ke arah apartment. Namun belum jauh kakinya melangkah, telefon bimbitnya berbunyi. Dia mengambil telefon dari dalam beg tangannya. Skrin telefon dipandang seimbas lalu. Nama yang tertera membuatnya terpana.

Duha Maisara berpaling. Dia memandang gerak geri Nashriq dari jauh. Lelaki itu nampak gelisah apabila dia tidak menjawab panggilan. Beberapa kali Nashriq mencuba untuk menghubunginya, namun entah mengapa Duha Maisara seakan berat hati mahu menerima panggilan itu.

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah ibunya akan sembuh dan mula menerima realiti?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience