Rate

Chapter 57

Romance Completed 26118

Bab 57

“Doktor tahu siapa yang membawa dia ke institusi rawatan ni?”

“Hmm kalau tak salah ada seorang wanita yang membawanya ke sini. Tapi dia memberi sejumlah wang yang besar kepada institusi ini untuk menjaga pesakit ini.” Jelas Doktor Habibah lagi.

Melihat raut resah terpancar di wajah Duha Maisara, Doktor Habibah mengerutkan dahinya. “Kalau tak keberatan, boleh saya tahu adik ni siapa, dan apa hubungan adik dengan pesakit ni?” Soal doktor wanita bercermin mata itu.

“Err…nama saya Duha Maisara, dan saya pernah ke mari bersama abang saya Doktor Zafran dua hari yang lalu. Saya terserempak dengan pesakit doktor ni pada hari itu. Saya cuma…cuma nak tahu siapa dia, itu saja. Lagipun saya kasihan melihatnya.” Ujar Duha Maisara sedikit tergagap.

“Hmm..baguslah kalau semua orang tak memandang hina pada pesakit mental macam cik Duha ni. Sebenarnya pesakit jiwa sama macam pesakit lain juga, perlukan perhatian dan jagaan rapi. Tak lupa juga sedikit kasih sayang.” Ujar Doktor Habibah seraya tersenyum.

“Boleh saya lawat pesakit itu, doktor?” Soal Duha Maisara tiba-tiba.

“Boleh, kami kat sini tak ada aturan ketat, cuma kadangkala saja berjaga-jaga. Tapi memandangkan Cik Duha ni adik Doktor Zafran, saya tak rasa itu satu halangan. Bila-bila masa Cik Duha mahu, Cik Duha boleh datang menjenguk pesakit-pesakit di sini.” Ujar doktor itu memberi keizinan.

* * * *

Mata Duha Maisara tertumpu lama ke wajah wanita itu. Wajah itu pucat lesi. Pergerakannya lemah tak berdaya. Hanya matanya yang seakan merenung jauh. Namun renungannya tampak kosong, bagaikan setiap helaan matanya hanya memandang kegelapan. Suatu pandangan yang tak memiliki emosi mahupun harapan.

Perlahan-lahan Duha Maisara berteleku di hadapan wanita itu. Meskipun jururawat sudah mengingatkannya bahawa dia tidak boleh duduk terlalu hampir dengan pesakit, namun larangan itu tidak diendahkan. Matanya merenung sayu pada raut wajah yang hampir dua belas tahun tidak ditemui. Mulanya dia ragu-ragu samaada wanita itu adalah benar-benar ibunya. Namun kini, sebaik berhadapan, dia benar-benar yakin wanita itu adalah ibu yang dirinduinya selama ini.

Meskipun kerut-kerut halus mula menghiasi wajah itu, namun nalurinya seakan memberitahu agar dia tidak ragu-ragu lagi memanggil wanita itu ibunya. Perlahan-lahan jari-jemari runcingnya naik ke setiap helaian rambut wanita itu. Dia mengusapnya perlahan-lahan sambil menahan sebak.

“Mak….?” Panggil Duha Maisara. Setitis airmata yang cuba gugur, ditahan. Dia menarik nafas, cuba menahan perasaan pilu.

“Mak dah tak kenal dengan Hana lagi?” Bisik Duha Maisara. Mata wanita itu tiba-tiba beralih ke wajahnya. Mata itu merenungnya tak berkelip. Duha Maisara tergaman. Apakah wanita itu mengenalinya?

“Ini Hana mak. Hana anak mak. Maafkan Hana kerana selama ini Hana ingatkan mak dah tak ada. Hana ingatkan mak dah tinggalkan Hana sendirian.” Ucap Duha Maisara sebak.

Mata itu hanya merenungnya kosong. Melihat keadaan wanita itu, hati Duha Maisara bagaikan ditusuk dengan bilah belati yang tajam. Luka lama di hatinya berdarah kembali. Tersayat hatinya melihat ibu yang menyayanginya selama ini sudah tidak mampu bergurau senda. Kebahagian yang dulu dia rasai dalam sekelip mata, punah direnggut manusia zalim.

“Apa mereka dah buat pada mak? Beritahulah Hana mak. Cakap dengan Hana yang mak masih kenal Hana lagi.” Dia menggoncang tubuh wanita itu. Dia yakin wanita yang selalu melindunginya masih wujud dalam tubuh itu. Dia juga yakin yang suatu hari nanti, ibunya pasti memanggil namanya.

“Beritahulah Hana siapa yang buat macam ni pada mak? Sampai hati mereka buat kita macam ni. Mereka pisahkan kita. Hana benci mereka mak, Hana juga benci dengan semua kebahagiaan yang pernah kita miliki dulu.” Bisik Duha Maisara dengan mata berlinangan. Meskipun wanita itu tidak mampu mendengarnya, namun dia cuba meluahkan perasaan yang terbuku dalam hatinya sejak sekian lama.

“Mak tahu bagaimana Hana hidup selama ini? Hana hidup bagaikan patung bernyawa mak. Dalam sekelip mata mereka buat Hana jadi anak yatim piatu. Selama dua belas tahun Hana hidup dengan nama orang lain. Hidup dengan kenyataan bahawa mak dan ayah sudah mati, bagaikan menyeksa Hana dalam neraka. Kalau bukan sebab abang Zafran, Hana lebih rela memilih untuk mati.”

“Tapi kepedihan di hati Hana ni selama-lamanya takkan sembuh mak. Orang yang selama ini Hana harap-harapkan untuk membela Hana, tak pernah ada di sisi Hana. Ketika Hana paling memerlukan sokongannya, dia tak pernah muncul meskipun dalam mimpi. Hana membencinya mak. Hana sangat-sangat membencinya. Sampai bila-bila pun Hana takkan memaafkan dia.”

Duha Maisara meletakkan kepalanya di bahu ibunya. Airmatanya semakin lebat gugur.

...bersambung

Bab akan datang:

Siapa yang menghantar ibu Duha di situ? Siapakah yang menjadi punca mereka dipisahkan?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience