Rate

Chapter 91

Romance Completed 26118

Bab 91

“Entah, I tak tahu. Tapi siang tadi Estella tak pula cakap apa-apa pada I. I don’t think that she noticed this.

“I bimbang kalau Estella tahu.”

“You ingat I tak bimbang? I paling rapat dengan dia, silap-silap haribulan hubungan I dengan dia boleh terjejas kerana hal ni.” Keluh Reyna.

“You yakin budak perempuan tu dah mati?” Soal Reyna tiba-tiba.

“I tak nampak dengan mata sendiri. Tapi Bim dengan Keith kata, mereka nampak budak tu dilanggar van. Bila mereka pergi dekat, pemandu tu kata budak tu dah mati.” Ujar Engku Iskandar.

“You biar betul Is, kalau budak tu tak mati macamana?” Giliran Reyna pula menyoal. Dia terdiam. Betulkah anak gadis itu belum mati?

“Bagaimana kalau suatu hari nanti, dia muncul semula dan mendakwa you cuba membunuh dia dan ibunya?”

Dia tersentak. Kata-kata Reyna ada kebenarannya. Bagaimana kalau suatu hari nanti, Raihana tiba-tiba muncul di hadapannya? Apa patut dia buat? Engku Iskandar termenung panjang. Ah! Persetankan dengan segala kemungkinan. Mana mungkin gadis itu hidup kembali. Kalau dia hidup, kenapa selama beberapa tahun ini dia tidak pernah muncul? Reyna hanya menolak segala sangkaan buruk masuk ke kepalanya. Kata-kata wanita itu hanya menyemakkan kepalanya, membuatkan fikirannya sarat.

Raihana Munif! Dia menyebut nama itu berulangkali dalam hatinya. Nama itu indah, secomel gadis yang cuba dijualnya di sempadan dua belas tahun yang lalu. Malangnya wajah comel itu tidak panjang nyawanya. Dia tidak berniat mahu membunuh gadis itu sebenarnya, semuanya hanya satu kemalangan. Raihana tidak sepatutnya mati dengan cara itu. Bukan itu yang diharapkannya, walau sedikit sebanyak puncanya datang darinya sendiri. Kalau bukan dia merancang mahu menjual gadis itu ke seberang, mana mungkin Raihana bertindak melarikan diri dan bertembung dengan sebuah van. Mana mungkin gadis itu akan pergi begitu sahaja.

Dia hanya mahu gadis itu jauh dari rumah Zainal Ikram sebenarnya, jauh dari kehidupan Engku Latifah dan Nashriq sendiri. Malah jauh dari segala-galanya yang boleh membuatkan rahsia yang tersimpan sekian lama dahulu terbongkar semula.

******

“Awak ni Cik Duha?” Wanita itu menelitinya dari atas ke bawah. Dia sedikit serba salah direnung begitu. Apa, aku salah berpakaiankah? Atau baju kurung yang aku pakai terlalu lusuh untuk syarikat besar seperti Mega Timur Construction? Berbagai pertanyaan menyentuh benak Duha Maisara.

Mata wanita yang bernama Wan Rohayu itu masih di wajahnya. Lama kemudian wanita berusia lewat 30an itu tersenyum memandangnya.

“Kenapa Cik Duha lambat sangat laporkan diri? Kasihan saya tengok Encik Nashriq, hari-hari dia datang bertanya di sini.” Ujar wanita itu.

Duha Maisara tercengang. Terkejut mendengar kata-kata Wan Rohayu. Biar betul. Patutlah lelaki itu seperti marah-marah beberapa hari yang lalu.

“Boleh saya tengok resume Cik Duha?” Pinta Wan Rohayu. Duha Maisara tergaman. Resume? Perlukah resume, jika aku tidak memiliki kelulusan mahupun pengalaman kerja?

“Cik Duha?” Mata Wan Rohayu masih menjamah wajah Duha Maisara. Dia cepat-cepat tersenyum, sedang kepalanya masih buntu mahu memberi penjelasan.

“Emm, maaf…boleh saya tahu apa kerja yang disediakan untuk saya dalam syarikat ni?” Tanya Duha Maisara perlahan.

Giliran Wan Rohayu pula terkejut mendengar kata-kata gadis itu.

“Err maksud saya Puan, saya tak memiliki kelulusan apa-apa, hanya setakat STPM sahaja. Jadi saya tak kisah kalau buat apa-apa kerja sekalipun. Kerja mencuci pun boleh,” ujar Duha Maisara merendah diri. Dia tidak mahu wanita itu salah sangka dengan pertanyaannya.

Wan Rohayu terdiam. Dia memandang gadis itu lama-lama. Airmuka di hadapannya itu kelihatan jujur. Orangnya juga manis. Entah apa agaknya hubungan antara Nashriq dengan gadis itu? Sekali lagi Wan Rohayu diterpa perasaan ingin tahu. Namun tak terluah pula di hadapan gadis itu. Sudahnya Wan Rohayu hanya tersenyum.

“Tak apalah Cik Duha, biar Encik Nashriq saja jelaskan bidang tugas Cik Duha nanti. Soal resume tu, Cik Duha bagilah apa-apa sijil yang Cik Duha ada nanti pada saya. Yang lain-lain tu biar saya yang uruskan,” ujar Wan Rohayu akhirnya.

Selepas bertemu Wan Rohayu, Duha Maisara segera menuju ke ruang pentadbiran mengikut brosur syarikat yang dibekalkan oleh wanita itu.

“Cik Duha pergi jumpa Encik Nashriq sekarang di tingkat 12.” Kata-kata wanita masih diingatnya. Langkahnya diatur perlahan memasuki ruang bilik bahagian pentadbiran di tingkat 12, sambil matanya mencari-cari bilik lelaki itu.

Apabila dia terpandang seorang gadis muda di kaunter, bibir Duha Maisara melemparkan senyum.

“Assalamualaikum, cik boleh saya tahu bilik….” Kata-kata Duha Maisara terhenti apabila pintu bilik besar di hadapannya tiba-tiba terbuka. Dia memanjangkan lehernya. Dadanya berdebar-debar sebaik terpandang kelibat Nashriq melangkah laju diiringi beberapa orang lelaki.

...bersambung

Bab akan datang:

Mengapa Duha seakan terkejut melihat Nashriq? Adakah Nashriq akan memarahinya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience