Rate

Chapter 67

Romance Completed 26118

Bab 67

Biar malu sekalipun, dia sanggup menahannya, asalnya hutang ayahnya dapat diselesaikan dengan apa cara sekalipun. Tapi langkah Duha Maisara tersasar. Dia tidak nampak kelibat seorang pelayan yang sedang menghampirinya dari arah hadapan.

Pelayan itu tergaman. Duha Maisara sudah kaku di suatu sudut. Dalam beberapa saat, dia sudah menjadi tumpuan pengunjung restoran itu semula. Dia hanya mampu memerhatikan dulang berisi makanan yang dibawa oleh pelayan tadi tertumpah di atas lantai.

“Maaf, saya tak sengaja…” Ujar Duha Maisara serba salah. Sepantas kilat dia tunduk ke lantai. Terperanjat pelayan itu melihatnya mengutip kaca-kaca yang bertaburan.

“Tak apa cik, saya boleh kemaskan ini.” Larang pelayan itu serba salah.

“Maaf, saya benar-benar tak sengaja.” Duha Maisara seakan kalut. Ketika dia mahu mencapai sekeping kaca, tiba-tiba jarinya terguris hujung kaca yang agak tajam. Dia mendesis kesakitan. Serentak jarinya dilarikan ke bibirnya. Dia mengerutkan dahinya. Luka di jarinya terasa perit.

“Cik tak apa-apa?” Tanya pelayan itu lagi bimbang.

Duha Maisara menggelengkan kepala. Ketika itu juga sepasang kaki singgah di hadapan mukanya. Dia tercengang. Kepalanya didongakkan. Mata Duha Maisara bertembung dengan sepasang mata yang tak berkelip merenungnya. Dia! Hati Duha Maisara tiba-tiba terasa lega.

Lelaki itu tunduk di hadapannya. Jari Duha Maisara yang berdarah diraihnya. Lama matanya terpaku di situ sebelum dia mengeluarkan sehelai sapu tangan dari dalam poket seluar. Terpegun Duha Maisara melihat lincahnya tangan lelaki itu membalut luka di jarinya. Sekejap sahaja balutan itu diakhiri dengan ikatan kemas. Diam-diam Duha Maisara memandang lelaki itu. Wajah itu tampak serius memandangnya, bagaikan ingin melontarkan kemarahan.

“Apa kau buat kat sini?” Soal lelaki itu.

Duha Maisara terdiam. Dia tidak tahu bagaimana mahu memulakan bicara. Apatah lagi jika dikelilingi oleh mata pengunjung-pengunjung lain yang memandang ke arahnya.

“Saya…sa…” Tergagap-gagap Duha Maisara mahu bersuara. Melihat gerak geri gadis itu, Nashriq mengerutkan dahinya. Ada sesuatukah yang mahu diberitahu oleh Duha Maisara? Matanya tak putus-putus memandang gadis itu. Wajah itu nampak cemas.

“Duha, Duha tak apa-apa?”

Nashriq berpaling. Seorang lelaki bercermin mata meluru ke arah Duha Maisara dengan wajah bimbang. Duha Maisara menggelengkan kepala. Namun matanya masih mencari-cari wajah Nashriq.

“Macamana boleh jadi macam ni?” Keluh Zafran kesal.

“Duha tak sengaja langgar pelayan tu.” Ungkap Duha Maisara lembut.

“Itulah, dah berapa kali abang pesan, jalan tu hati-hati. Duha bukan budak kecil lagi, nak dipimpin-pimpin,” leter Zafran. Duha Maisara tergaman. Dia memandang ke arah Nashriq. Mata lelaki itu masih memandangnya.

Menyedari kelibat Nashriq berdiri di situ, Zafran tiba-tiba menoleh. Wajahnya berkerut memandang Nashriq. “Maaf, encik ni…?”

“Err abang….dia yang tolong Duha tadi. Tapi Duha dah tak apa-apa. Kalau boleh Duha nak balik, Duha rasa tak sedap badan.” Sampuk Duha Maisara. Zafran dan Nashriq serentak memandangnya.

“Duha tak sihat? Kita ke hospital?” ujar Zafran pantas.

“Duha cuma sakit kepala, terasa nak balik. Kita balik?” Pintanya pada Zafran. Zafran hanya mengangguk lalu memimpin Duha Maisara berlalu dari situ. Nashriq hanya mampu memerhatikan dari arah belakang. Namun dia perasan, sebelum keluar mata Duha Maisara asyik tertumpu ke arahnya. Kenapa dengan dia agaknya. Sakitkah dia?

“Naz?” Panggil Erman yang tercegat menjadi pemerhati sedari tadi. Nashriq bagaikan baru tersedar, terus melangkah menuju ke arah Erman.

“Siapa tu?” Tanya Erman.

“Gadis.” Jawab Nashriq ringkas. Erman tergelak besar mendengar jawapan itu.

******

Selepas makan malam, Nashriq kembali ke pejabat meneruskan kerja-kerjanya yang masih terbengkalai. Namun belum separuh fail-fail itu disiapkan, fikirannya sudah jauh menerawang teringatkan Duha Maisara. Entah kenapa wajah gadis itu seperti membendung masalah. Sejak di restoran tadi dia menyedari sesuatu. Bibir Duha Maisara bagaikan ingin mengucapkan sesuatu padanya.

Tak senang duduk Nashriq dibuatnya. Dia cuba melupakan bayang Duha Maisara buat seketika. Namun semakin dicuba, semakin dia tidak dapat melupakan wajah sedih yang menangis di taman kecil itu. Nashriq menghela nafas panjang. Pen di tangannya diletakkan. Dia bingkas bangun seraya mencapai kot yang tergantung di kepala kerusi.

“Naz, nak ke mana ni?” Tegur Erman sebaik dilihatnya anak muda itu bergegas keluar. Namun Nashriq tidak menjawab. Kelibat anak muda itu menghilang pantas sebelum sempat Erman menahan.

Nashriq memandu laju ke arah Blue Ocean. Entah kenapa dia seperti dapat merasakan yang Duha Maisara berada di Blue Ocean. Lagipun dia sudah menghafal jadual persembahan gadis itu di kelab itu. Setengah jam memandu, akhirnya dia sampai ke Blue Ocean.

* * * *

“Duha, ayah kau nak jumpa di bilik Mawar.” Bisik salah seorang pelayan sebaik sahaja Duha Maisara turun dari pentas. Mendengar kata-kata itu, Duha Maisara segera melangkah perlahan-lahan ke sebuah bilik. Dia menolak daun pintu.

...bersambung

Bab akan datang:

Mengapa ayahnya datang ke situ?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience