Rate

Chapter 31

Romance Completed 26118

BAB 31

Sedar tak sedar, mulut Duha Maisara mengomel sendirian. Kalau aku tahu begini, lebih baik aku tunggu Zafran di rumah saja. Tapi entah kenapa, hari itu rajin betul dia bersiap awal dan merancang menunggu lelaki itu di perkarangan hospital. Barangkali kerana seharian terkurung dalam rumah, dia cepat bosan.

Menyesal pula rasanya dia memohon cuti dari Kak Syafa. Kalau dia tahu begini, baik dia menghabiskan masanya di kedai buku itu. Tentu masanya tak terbuang begitu sahaja. Namun untuk ke tempat kerja, dia bimbang sekaligus takut. Takut jika lelaki-lelaki yang mencarinya dapat menjejakinya di situ. Tentu secara tak langsung, dia akan menyusahkan ramai orang, fikir Duha Maisara.

Memandang seorang lelaki tua yang sedang berhempas pulas dengan tongkatnya, Duha Maisara jadi kasihan. Dia lantas merapati lelaki itu.

“Pakcik nak ke mana?” Tanya Duha Maisara lembut.

“Err pakcik nak ke bilik doktor sebelah sana. Bilik Doktor Hasnah.” Jawab lelaki tua itu.

“Tak apalah nanti, saya pimpin pakcik ke sana. “ Ujar Duha Maisara seraya memimpin lengan lelaki itu. Sebaik sampai di hadapan bilik doktor, itu lelaki itu berpaling ke arah Duha Maisara.

“Terima kasih nak sebab tolong pakcik. Baik anak ni, pakcik doakan anak ni murah rezeki, disenangkan hidup anak dunia dan akhirat,” doa lelaki itu. Duha Maisara hanya tersenyum. Dia senang dengan doa lelaki itu. Lama matanya berpaling menatap ke arah lelaki tua itu yang sudah pun melangkah masuk ke bilik doktor.

Apabila dia berpaling, matanya bertembung pandang dengan seraut wajah yang tersenyum ke arahnya. Duha Maisara terkedu. Hendak tak hendak dia membalas senyuman itu. Namun dia sedikit segan, kerana gadis itu asyik memandangnya sedari tadi.

Perlahan-lahan gadis itu merapatinya. Dia memandang gadis itu tidak berkelip. Apa yang dia mahu agaknya? Fikir Duha Maisara ingin tahu.

“Baik hati you tolong pakcik tadi. Jarang jumpa orang baik hati lagi zaman sekarang ni. Kebanyakan orang hanya jaga tepi kain masing-masing.” Ujar gadis itu.

Duha Maisara terdiam. Dia hanya tersenyum.

“I Suraya. Nama you?” Gadis itu menghulurkan tangannya. Duha Maisara terpaku. Haruskah dia menyebut namanya pada gadis itu? Diam-diam mata Duha Maisara menyorot penampilan gadis di hadapannya. Dari gaya gadis itu berpakaian, dia tahu gadis itu tentunya anak orang berada. Mahukah dia berkawan jika dia tahu siapa aku sebenarnya? Duha Maisara ragu-ragu.

“Takkan tak sudi nak berkawan dengan saya?” Suraya seperti berjauh hati. Duha Maisara terkejut. Pantas tangannya menyambut huluran tangan gadis itu. Suraya tersenyum senang.

******

“So macamana? Apa kata doktor?” tanya lelaki di hadapannya. Suraya tidak menjawab. Dia memandang lelaki itu acuh tak acuh. Bibirnya tersenyum tiba-tiba.

“Sue rasa macam tak selera nak makan nasi di sini. Sue rasa macam nak makan pizza. Jom kita ke Pizza Hut, tapi abang kena belanja Sue ok?”Ujar gadis itu.

Sachary terdiam. Tajam matanya merenung wajah si adik. Dia tahu Suraya seperti sengaja mahu bermain teka teki dengannya. Bibir Suraya meskipun tersenyum, namun mata itu tak mampu berbohong di hadapannya. Dua puluh lima tahun dia hidup bersama gadis itu. Setiap gerak geri dan airmuka Suraya berada di matanya.

“Kita takkan ke mana-mana kalau Sue tak beritahu abang apa-apa. I need to know Sue.”

“Sue dah cakap yang Sue tak apa-apa.”

“Bohong! Jangan berbohong kalau Sue tak pandai. Jangan sampai abang jumpa ayah.”

Suraya tersentak. Bulat matanya memandang ke arah Sachary yang bagaikan mengugutnya. Dia resah. “Abang, please jangan cakap apa-apa pada ayah. Abang tahukan bagaimana sikap ayah kalau ayah tahu Sue sakit. Ayah akan layan Sue macam pesakit, Sue tak mahu semua tu.” Rayu Suraya.

“Sampai bila Sue nak rahsiakan sakit Sue ni pada ayah? Sue nak suruh ayah menyesal seumur hidup?” Geram Sachary dengan tingkah si adik. Selama ini dia hanya ikutkan sahaja kehendak Suraya, sedangkan hatinya terseksa melihat Suraya tertawa pulas di hadapan orang lain. Jauh di sudut hati, Sachary sedar bagaimana perasaan Suraya. Namun dia juga mengerti sikap adiknya yang keras kepala.

“Abang jangan bimbang. Sue janji dengan abang yang Sue akan hidup sampai abang dah beranak dan bercucu. Sue takkan sesekali putus asa.” Janji Suraya.

Sachary terdiam. Dia menatap Suraya yang kelihatan selamba. Kau silap berjanji dik. Sepatutnya kau berjanji untuk hidup demi kebahagiaan kau sendiri, dan bukannya kerana kebahagiaan abang.

Suraya memandang Sachary yang kelihatan muram. Entah kenapa dia rasa bersalah terhadap abangnya. Kalau bukan kerana lelaki itu terjumpa rekod kesihatannya yang tercicir di dalam bilik, tentu sekarang ini Sachary tak akan berwajah pilu setiap kali menghadapinya. Dan dia pula tidak perlu merasa serba salah di hadapan abangnya. Maafkan Sue, abang!

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah penyakit yang dihidapi Suraya hingga membuat Sachary bimbang?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience