Rate

Chapter 186

Romance Completed 26118

Bab 186

Dia sudah membulatkan tekad. Bibirnya diketapkan serapatnya. Aku harus bertemu dengan gadis itu. Aku harus pujuk dia melepaskan Nashriq, supaya Nashriq boleh kembali pada Suraya. Hanya ini saja satu-satunya jalan untuk menyelamatkan legasi yang dibina oleh Zainal sejak sekian lama.

Dia menekan loceng pintu beberapa kali. Tak lama kemudian bunyi derap kaki melangkah jelas terdengar di telinganya. Dia terus berdiri menanti. Apabila pintu di hadapannya terkuak, wajah Duha Maisara muncul di hadapan matanya seperti yang dijangka.

“Puan?” Duha Maisara terkejut besar. Dia tidak menyangka wanita itu boleh muncul di rumahnya awal-awal pagi begini. Apa mahunya kali ini?

Tanpa mempedulikan Duha Maisara, Engku Latifah melangkah masuk tanpa dipelawa. Duha Maisara sedikit gugup. Dia menjeling bilik tidur kedua berhampiran dapur. Ibunya masih nyenyak tidur setelah semalaman dia bermain-main dengan ibunya. Entah kenapa dia benar-benar risau jika ibunya menerpa keluar secara tiba-tiba. Dia tidak mahu wanita itu tahu siapa dirinya. Dia juga belum bersedia untuk mengungkit kisah lama dengan Engku Latifah.

Mata wanita itu liar menatap kawasan sekeliling sudut dan anjung rumah. Hiasan ruang tamu nampak simple tapi kemas dengan beberapa perabot yang tidak terlalu banyak. Di almari sudut, dia terpandang beberapa bingkai potret gadis itu bersama seorang lelaki bercermin mata serta seorang lelaki separuh umur. Hatinya berdetik. Barangkali inilah lelaki yang dimaksudkan oleh Engku Iskandar tempoh hari.

“Boleh saya tahu apa tujuan puan datang ke mari?” Tanya Duha Maisara mencelah kesunyian yang wujud seketika. Wanita itu berpaling. Raut wajah gadis itu nampak resah. Dia tersenyum hambar.

“Rasanya awak dah tahu tujuan saya ke mari Duha. Sudah saya katakan saya tidak suka bercakap soal yang sama dua kali. Begitu juga saya benci mengingatkan benda yang sama pada orang yang sama.” Ujar wanita itu.

Duha Maisara terdiam. Meskipun wanita itu tidak memberitahunya, dia juga boleh menduga. Pasti soal Nashriq lagi. Dia memandang wanita itu sambil mengeluh.

“Maaf kalau saya mungkiri janji saya untuk tidak berjumpa lagi dengan Nashriq, puan. Tapi saya tak boleh lari dari dia kalau dia terus dan terus mencari saya. Sudah saya katakan yang saya hanya akan pergi kalau dia sudi lepaskan saya. Puan sepatutnya bercakap dengan anak puan dan bukannya saya,” ujar Duha Maisara tenang. Entah di mana dia mendapat keberanian untuk berhadapan dengan wanita itu.

“Apa sebenarnya yang awak mahu Duha? Saya tahu perempuan macam awak tentu perlukan sesuatu sebagai ganjaran bukan. Beritahu saya apa yang awak mahukan, dan saya akan cuba tunaikan asalkan awak pergi jauh dari hidup anak saya.”

Duha Maisara menarik nafas panjang. Dia merenung wanita di hadapannya dalam-dalam. Entah kenapa hatinya rasa tercalar dengan kata-kata itu.

“Kenapa puan rasa saya perlukan sesuatu?”

Engku Latifah tersenyum sinis. “Sebab perempuan macam awak takkan bersusah payah menggapai mimpi yang bukan milik awak, jika bukan kerana mahukan sesuatu. Saya cukup kenal dengan jenis perempuan macam awak ni Duha.” Ucap Engku Latifah dengan nada keras.

“Perempuan macam saya? Maksud puan, perempuan kelab malam macam saya? Belum puas lagikah puan cuba membeli saya dengan wang puan itu? Sampai bila puan mahu terus menghina saya begini? Kenapa sejak dulu lagi, kedudukan begitu penting bagi puan? Apakah darah diraja milik puan lebih mahal dari harga darah yang saya miliki?”

Engku Latifah memandang gadis di hadapannya dalam-dalam. Mata Duha Maisara berani bertentang dengannya. Dia mendengus geram.

“Hentikan cakap merepek awak tu Duha. Berhenti kerja dan tinggalkan Nashriq, hanya itu yang saya mahu. Jika awak tak mahu diganggu, jadi jangan ganggu Nashriq lagi. Masa depannya lebih cerah tanpa perempuan macam awak.” Rengus Engku Latifah benar-benar berang.

“Itu semua terpulang pada Nashriq untuk menentukannya. Puan tiada hak untuk menghalau saya pergi dari Mega Timur.”

“Siapa kata saya tak berhak? Saya boleh buat apa sahaja yang saya inginkan. Tapi saya mahu awak keluar dari Mega Timur dan dari hidup kami dengan jalan yang awak pilih sendiri.” Herdik Engku Latifah.

Duha Maisara terdiam. Dia mahu menjawab kata-kata angkuh perempuan itu, namun suaranya tersekat di kerongkong tatkala menyedari pintu di belakangnya tiba-tiba terbuka. Dia memandang mata Engku Latifah yang seolah terpaku memandang ke suatu arah. Wajah wanita itu pucat lesi.

“Kau? Tak mungkin!” Dia mengelengkan kepala. Dirinya enggan percaya dengan apa yang dilihatnya.

Duha Maisara memejamkan matanya. Oh Tuhan, apa yang ditakutinya terjadi jua. Perlahan-lahan dia berpaling. Wajah ibunya Maisara menatap tepat ke wajah Engku Latifah. Tapi raut wajah ibunya kelihatan aneh.

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah ibu Duha mengingati siapa Engku Latifah?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience