Rate

Chapter 66

Romance Completed 26118

Bab 66

Perlukah aku minta wang dari Zafran? Lagipun ini masalah keluarga kami. Tidak! Aku tak boleh susahkan dia. Dia tak boleh tahu tentang hutang ayah. Duha Maisara menggelengkan kepala. Masa yang diberi sudah hampir tapi pada saat-saat akhir, dia masih buntu mencari jalan keluar.

“Kenapa Duha tak minta tolong dengan lelaki yang datang tempohari? Lagipun Duha sendiri yang kata lelaki itu baik orangnya.” Kata-kata Zarina semalam muncul semula di ingatannya. Dia terkedu.Haruskah aku meminta bantuannya?

“Aku cuma nak bantu kau. Niat aku ikhlas!” Ucapan lelaki itu tempohari masih segar dalam ingatan. Sudah nyata lelaki itu menawarkan bantuan, namun untuk menerimanya dia rasa serba-salah. Sudah acapkali dia termakan budi lelaki itu. Lagipun dia segan mahu meminta tolong, apatah lagi pertemuan terakhir mereka dahulu berakhir dengan perang dingin. Dia sendiri tidak tahu kenapa ketika itu, senang benar dia melepaskan marahnya pada lelaki itu. Tapi dia benar-benar sakit hati ketika itu. Fikirannya serabut.

Tapi kini dia sudah tidak ada jalan lain. Satu-satunya jalan yang dia nampak hanyalah meminta pertolongan lelaki itu. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Duha Maisara pantas mengeluarkan telefon bimbitnya.

“Nombor telefon aku ada dalam telefon kau!” Mengingatkan kata-kata lelaki itu, dia segera mencari nombor telefon lelaki itu. Setiap nombor diperiksa, namun yang terkandung hanyalah nombor-nombor lama. Lagipun dia sendiri tidak tahu nama lelaki itu. Puas meneliti, akhirnya Duha Maisara tersenyum hambar. Gila! Apa aku fikir ni? Mustahil, dia akan tinggalkan nombor telefonnya sedangkan aku baginya hanyalah perempuan murahan. Sudah tentu dia hanya bermain-main dengan aku. Tak mungkin lelaki seperti dia akan terlibat dengan perempuan seperti aku.

Duha Maisara terduduk lemah. Dia bersandar tak bermaya di kepala kerusi. Matanya merenung jauh. Pandangannya singgah kosong di situ. Dia sendiri tidak tahu apa yang dipandangnya. Yang pasti, menanti hari esok umpama suatu hukuman baginya.

******

Dia tergaman memandang lauk pauk yang terhidang di atas meja. Kepalanya diangkat memandang Zafran. Anak muda itu tertawa. Lucu melihat wajah Duha Maisara yang kaget.

“Kenapa? Duha tak suka makanan-makanan ni semua?”

“Bukan, tapi buat apa abang membazir belanja Duha makan di restoran mewah macam ni. Kalau abang nak makan sedap-sedap, Duha pun boleh masakkan.”

Zafran tertawa lagi mendengar kata-kata Duha Maisara. Dia merenung anak gadis itu tidak berkelip. “Duha, malam ni malam yang istimewa bagi abang. Jadi apa salahnya kita habiskan sedikit duit untuk meraikan hari yang istimewa ni”

Mata Duha Maisara tidak berkelip memandang Zafran. Hari yang istimewa?

“Maksud abang?”

Zafran tersenyum. Dia merenung Duha Maisara yang kelihatan keliru. Perlahan-lahan wajah anak gadis itu dirapati. “Petang tadi, abang dibenarkan mengikut Doktor Helmi ke bilik bedah. Dia benarkan abang jalankan beberapa proses, bersama dua doktor lain. Nampaknya dia berpuas hati dengan prestasi abang. Harap-harap selepas ini impian abang untuk bergelar pakar bedah akan tercapai.” Ucap Zafran gembira.

Duha Maisara turut tersenyum. Dia juga gembira kerana Zafran semakin dekat dengan impiannya. “Tahniah Duha ucapkan pada abang. Duha tahu suatu hari nanti abang akan berjaya.”

“Tapi kejayaan abang ini pun sebab Duha yang banyak menyokong. Abang yang sepatutnya ucapkan terima kasih pada Duha.”

Duha Maisara terdiam. Melihat raut wajah Zafran yang ceria, Duha Maisara tidak sampai hati mahu memberitahu Zafran tentang Bustaman. Asalnya dia setuju keluar dengan lelaki itu malam itu, semata-mata mahu menyatakan perkara yang sebenarnya. Tapi kini semuanya jadi rosak begitu sahaja. Mana mungkin dia rosakkan kebahagiaan Zafran malam ini dengan memberitahu segala-galanya pada lelaki itu.

“Duha makan dulu, abang nak ke restroom sekejap,” pinta lelaki itu seraya bangun. Dia hanya mengangguk tanpa banyak soal. Sepeninggalan Zafran, mata Duha Maisara tak sudah-sudah memerhatikan ke segenap ceruk restoran itu. Beberapa pasangan di meja sebelah tak putus-putus memerhatikannya sampai dia naik segan.

Menyedari renungan-renungan itu tak lepas dari wajahnya, Duha Maisara semakin malu. Dia melihat dirinya sendiri. Pakaian yang membalut tubuhnya agak simple dan lusuh, tidak seperti gadis-gadis lain di restoran itu yang nampak cantik dengan dress malam.

Segan sendirian lama-lama di situ, Duha Maisara bingkas bangun. Dia juga ingin beredar ke bilik air. Namun belum sempat dia melangkah, dua lelaki berpakaian kasual tiba-tiba memasuki restoran itu dari pintu utama. Dia tergaman. Kemunculan lelaki itu benar-benar membuatkan dia terkejut. Semalam tak putus-putus dia berdoa agar dipertemukan dengan lelaki itu sekali lagi. Tak sangka malam ini hasratnya tercapai.

Melihat lelaki itu beredar ke sebelah bersama temannya, Duha Maisara terburu-buru melangkah. Dia ingin bertemu lelaki itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience