Rate

Chapter 191

Romance Completed 26118

Bab 191

“Kenapa abang tengok Duha macam tu?” Tanyanya serba tidak kena. Entah kenapa, dia bagaikan dapat merasai ada sesuatu yang mahu diucapkan oleh lelaki itu padanya. Zafran tersenyum.

“Duha ingat lagi tak waktu kita ikut ayah lari dari rumah tumpangan tu bila rumah tu diserbu polis?”

Duha Maisara termenung panjang. Mana mungkin dia lupa peristiwa itu. Ketika itu mereka benar-benar kesempitan duit, mujurlah teman ayahnya yang membuka rumah tumpangan itu sanggup membantu. Tapi tak disangka-sangka, rumah tumpangan itu juga dijadikan sarang perjudian. Apabila polis menyerbu, Bustaman cepat-cepat menyuruhnya dan Zafran lari.

“Kita cuba keluar ikut tingkap. Abang melompat dahulu tapi Duha teragak-agak. Abang katakan pada Duha, lompat sahaja tingkap tu dan abang akan sambut Duha di bawah. Abang suruh Duha percaya pada abang, percaya pada setiap kata-kata abang. Tapi Duha tetap juga teragak-agak. Jika bukan kerana ayah tiba-tiba muncul dan menarik tangan Duha, masakan Duha akan melompat tingkap itu bukan?” Zafran ketawa kecil, cuba mengenang kisah lama. Duha Maisara terdiam. Dia tidak tahu kenapa Zafran tiba-tiba mengungkit soal itu dengannya.

“Masa itu abang marah benar dengan Duha. Abang kesal kerana Duha seolah-olah tidak percayakan abang. Tapi abang yakinkan diri abang yang suatu hari nanti Duha akan mempercayai abang. Tapi tak sangka, sehingga kini pun abang tetap hanya seorang anak kepada lelaki yang pernah membawa Duha pulang. Tak lebih dari itu dan tidak cukup untuk buat Duha mempercayai abang,” Keluh Zafran.

“Abang cakap apa ni?” Duha Maisara kian resah.

Zafran terdiam. Dia mengerling ke arah jam di lengannya seraya bangun dari kerusi yang diduduki. Matanya masih tertumpu ke arah gadis itu.

“Sudahlah, Duha berehat saja. Abang kena sambung bertugas. Nanti abang datang semula, kita berbual-bual lagi ya,” ujar Zafran seraya melangkah ke muka pintu.

“Kalau abang nak tahu siapa Duha, kenapa abang tak terus tanya? Kenapa abang biarkan Duha terus rasa bersalah pada abang?”

Langkah Zafran terhenti. Perlahan-lahan dia berpaling. Wajah gadis itu sudah basah dengan airmata.

“Memang Duha berbohong dengan abang dan ayah selama ni. Duha bukan gadis kecil yang hilang ingatan dua belas tahun dulu. Wanita di rumah tadi adalah ibu Duha. Ibu kandung Duha.” Ucap Duha Maisara dengan airmata berlinangan.

Zafran terpegun. Meskipun dia sudah maklum serba sedikit tentang gadis itu, tapi entah kenapa pengakuan Duha Maisara di hadapannya membuatkan hatinya gusar. Dia segera merapati Duha Maisara. Tubuh kecil yang teresak-esak dirangkul di bahunya. Erat. Duha Maisara tidak menolak kali ini.

Sebaik tangisan itu sedikit reda, Zafran melonggarkan pelukannya. Wajah Duha Maisara ditenung lama. Entah kenapa dia tidak dapat menahan perasaan. Kesedihan Duha Maisara menjadi belati yang menikam perasaannya jua. Perlahan-lahan jari-jemarinya menyelak helaian rambut gadis itu yang terjuntai di dahinya. Dia mengesat sisa-sisa airmata yang masih bertamu di pipi licin itu. Duha Maisara hanya membiarkan. “Abang cintakan Duha. Abang akan terus mencintai Duha buat selama-lamanya,” bisik Zafran di telinga gadis itu.

Tanpa sedar adegan itu ditonton sepasang mata yang kebetulan hendak melangkah masuk. Mendengar pengakuan yang lahir dari bibir Zafran, dia terpegun. Dadanya berombak kencang. Dia segera berundur dari pintu. Hatinya tiba-tiba membara.

“I nampak Duha di hospital, dia macam cedera. I beritahu you takut you tak tahu.” Kata-kata Suraya sebentar tadi membuatkan dia tidak berfikir panjang, terus berkejar ke hospital. Mendengar tentang apa yang terjadi, membuatkan dadanya berdebar kencang sepanjang meredah ‘traffic jam’ di tengah ibukota.

Tapi tidak disangka-sangka dia dikejutkan dengan peristiwa Zafran memeluk Duha Maisara bersama ungkapan cinta. Nashriq menghela nafas berat. Apakah ini jawapan yang kutunggu-tunggu selama ini? Apakah ini persoalan dan tandatanya yang sentiasa mencarik rasa ingin tahunya tentang hubungan antara Duha Maisara dan Zafran? Jika benar begitu, dia langsung tidak menyangka kenyataan ini benar-benar merobekkan hatinya, mencederai perasaannya.

Jika dia tahu jawapan yang ingin dicarinya benar-benar mengecewakannya, dia lebih rela tidak tahu apa-apa. Agar beban perasaan yang dirasainya kini, terlepas dari sangkar cinta Duha Maisara.

******

“Saya dah uruskan pembelian itu. Nampaknya Cik Reyna tak mengesyaki apa-apa, dan dia juga nampaknya tidak kisah dengan vila itu. Cuma kata orang yang kita hantar tu, dia ada bertanyakan tentang latar belakangnya. Tapi soalan yang ditanya tidak detail dan rasanya dia tidak syak apa-apa.” Ujar Jason.

“Bagus. Berapa yang dia nak jual?”

“Lebih kurang RM700,000 tidak termasuk kos-kos lain.”

Estella terdiam seketika. “Kalau macam tu beli saja, tapi jangan sampai dia syak apa-apa. Thanks Jason, hanya you saja yang I percaya sekarang.”

...bersambung

Bab akan datang:

Sejauh manakah kebaikan Jason terhadap Estella?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience