Rate

Chapter 82

Romance Completed 26118

Bab 82

Bersusah payah dia mengaturkan agar Duha Maisara bekerja di situ, tapi gadis itu bagaikan tidak menghargai apa yang dilakukannya.

“Err, boleh saya tahu kawan Encik Nashriq ni lulusan apa?” Tanya Wan Rohayu.

Nashriq terdiam. Dia sendiri tidak pernah bertanya kepada Duha Maisara tentang kelulusannya.

“Saya pun tak pasti kak Wan. Tapi kalau boleh, saya mahukan dia untuk jawatan pembantu saya Kak Wan.” Ujar Nashriq berterus terang.

“Tapi saya ingatkan Encik Nashriq tidak mahukan pembantu. Dulu Puan Engku ada minta saya sediakan pembantu untuk Encik Nashriq, tapi selepas itu Puan Engku kata tidak perlu lagi.”

“Saya dah ubah fikiran saya. Lagipun saya perlukan dia untuk membantu Erman. Boleh Kak Wan uruskan prosedur tu? Saya pasti dia akan datang ke sini. Mungkin dia ada masalah.”

Wan Rohayu terdiam. Nashriq kelihatan beria-ria benar ingin melantik gadis bernama Duha Maisara itu. Entah apa hubungan antara keduanya. Entah kenapa Wan Rohayu cepat-cepat membuang sangkaan buruk yang bermain di kepalanya. Dia tidak fikir Nashriq lelaki sebegitu. Selama mengenali lelaki itu beberapa bulan yang lalu, dia merasakan Nashriq seorang yang cekap dan komited pada kerjanya.

“Kak Wan, terus terang saya cakap dengan Kak Wan. Duha Maisara mungkin tidak mempunyai kelulusan yang tinggi, tapi dia bercita-cita tinggi. Saya kasihan dengannya, sebab itu saya nak bantu dia. Saya harap Kak Wan faham.” Jelas Nashriq bagaikan tahu apa yang difikirkan oleh wanita itu.

Wan Rohayu terdiam. Wajah Nashriq serius. Sejurus kemudian, Wan Rohayu tersenyum sambil mengangguk. “Kak Wan akan cuba Encik Nashriq. Tapi kalau Puan Engku tanya, apa Encik Nashriq nak beritahu dia?” Soal Wan Rohayu.

Nashriq tersenyum tenang. “Biar saya uruskan hal itu. Lagipun lambat laun saya kena berhadapan juga dengan ibu saya.” Jawab Nashriq.

Selepas menghabiskan masa di bilik Wan Rohayu, Nashriq segera menuju ke pintu lift. Dia ingin ke ruang pentadbiran untuk bertemu ibunya. Masih ada beberapa projek yang perlu dibincangkan dengan wanita itu. Namun di pintu lift dia bertembung dengan Suraya. Gadis itu hanya tersenyum memandangnya.

“You dari mana?” Tanya Suraya.

“Dari bilik Kak Wan, di bahagian personnel.”

“Bahagian personnel? Kenapa? You nak intoducekan orang ke untuk masuk ke Mega Timur?” Soal Suraya. Nashriq tidak menjawab. Apabila pintu lift terbuka, kedua-duanya masuk. Namun kedua-duanya tidak meneruskan perbualan apabila lift yang dinaiki nampak padat.

******

Duha Maisara keluar dari pintu lift dengan langkah longlai. Dia mengatur langkah lemah menuju ke lobi syarikat itu. Dia mengarahkan kakinya ke arah bangku kecil yang baru dikosongkan seorang lelaki. Dia berlabuh di situ dengan wajah muram.

“Cik, cik tak apa-apa?” Tegur seorang pengawal keselamatan yang kelihatan hairan melihat langkah Duha Maisara yang tak bermaya. Tanpa dipinta, lelaki separuh umur itu membantu Duha Maisara melempiaskan tubuhnya di dada kerusi.

“Saya… saya tak apa-apa pak cik.” Ujar Duha Maisara.

“Muka cik ni pucat, apa cik sakit? Nak saya panggilkan doktor?” Tanya lelaki itu lagi. Namun Duha Maisara hanya menggelengkan kepalanya.

“Tak perlu, saya tak apa-apa,” gadis itu menggelengkan kepalanya. Dia memandang ke arah orang ramai yang keluar masuk dari pintu utama. Suasana sedikit hingar-bingar namun deruan suara riuh itu entah kenapa kedengaran sunyi di telinganya.

Duha Maisara memandang lelaki yang asyik memerhatikannya. Dia menarik nafas panjang. “Pakcik, dah berapa lama pakcik kerja di sini?” Soal Duha Maisara.

“Pak cik?” Lelaki itu terdiam. Matanya merenung jauh bagaikan mencongak. Sejurus dia memandang Duha Maisara dengan senyuman. “Kalau tak silap lebih kurang 25 tahun. Dari zaman pak cik muda lagi.”

Duha Maisara tersenyum hambar. “Jadi pak cik tentu dah lama kenal dengan arwah Tuan Zainal dan keluarganya kan?”

Lelaki itu terdiam, apabila mendengar nama Zainal Ikram disebut. Dia memandang gadis itu tidak berkelip. “Kenapa tiba-tiba anak ni tanya fasal arwah?”

Duha Maisara hanya tersenyum.

“Dah lama arwah meninggal, lebih sepuluh tahun dulu. Selepas dia meninggal, syarikat ni diteruskan oleh isterinya Puan Engku. Tapi pak cik dengar, anak tunggal Tuan Zainal baru saja pulang dari luar negara. Mungkin tak lama lagi dialah yang akan mengambil alih perniagaan ni.” Cerita lelaki itu.

Duha Maisara terdiam. Jadi betullah lelaki itu sudah pulang? Di dalam lift tadi, dia mendengar dua wanita berbual tentang lelaki itu itu. Mulanya dia buat tidak kisah, tapi mendengar nama Nashriq Adli disebut, darahnya berderau tiba-tiba.

“Nampak tak tadi? Bukan main mesra lagi.” Ujar wanita bercermin mata bulat itu.

“Habis kalau mesra sekalipun kenapa? Kau cemburu? Kau takkan tak tahu Suraya tu siapa? Dia anak Dato’ Mustadza. Tentulah gadis macam dia saja yang sesuai berdampingan dengan Encik Nashriq.”

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah Duha mempunyai kaitan dengan keluarga Nashriq?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience