Rate

Chapter 125

Romance Completed 26118

Bab 125

“Tak mahu naik?” Tanyanya. Duha Maisara serba salah. Dia ingatkan lelaki itu mahu mengajaknya makan di hotel itu, namun nampaknya Nashriq bagaikan sudah bersiap sedia. Mahu ke mana lagi kali ini agaknya?

******

Terkebil-kebil mata Duha Maisara apabila melihat Nashriq masuk ke dalam sebuah butik. Dia tercegat di hadapan kedai itu seperti diikat kakinya. Apabila Nashriq melihatnya seperti ragu-ragu mahu melangkah, lelaki itu mengerutkan dahinya. Hairan.

Nashriq keluar semula dari dalam kedai. Matanya memandang ke arah Duha Maisara yang hanya tercegat di situ.

“Kenapa tak masuk?” Soal Nashriq.

“Saya tak terasa nak masuk. Lagipun saya bukannya nak membeli baju.”

“Bodoh! Kalau tak beli baju, kau nak pakai apa untuk majlis makan malam nanti?” Dengus Nashriq seakan marah dengan kata-katanya. Duha Maisara terkejut. Diakui kata-kata Nashriq ada kebenarannya. Namun begitu dia agak hairan dengan kata-kata Nashriq. Bagaimana lelaki itu tahu yang dia tak memiliki baju untuk malam itu?

Melihat baju-baju yang tergantung di situ, entah kenapa darah Duha Maisara mula menyirap. Biar betul! Takkan sepasang baju sampai beribu harganya. Dia teringat beberapa pakaian yang dikhaskan olehnya untuk menyanyi, tak sampai pun harganya tiga ratus. Itupun harganya mahal kerana dipenuhi labuci di merata tempat.

Diam-diam dia menjeling Nashriq yang asyik memilih baju. Segan dia kerana memikirkan dia tidak memiliki banyak duit untuk membeli baju itu. Sudahnya Duha Maisara pura-pura membelek baju tersebut, tanpa niat mahu membeli.

Tiba-tiba sahaja lengannya ditarik mengadap ke arah Nashriq.

“Aku rasa ini sesuai untuk kau.” Dengan selamba Nashriq mengunjukkan sepasang dress labuh berwarna hitam, berbunga putih di tepi dada. Di bahagian belakangnya pula, sehelai renda terjulur jatuh secara memanjang. Buat seketika Duha Maisara terpesona melihat keindahan pakaian tersebut. Lama matanya terpaku di situ. Namun apabila melihat harganya, dia menggelengkan kepalanya.

“Err tak payahlah, saya tak suka.” Dia menolak. Mata Nashriq membulat memandang ke arah Duha Maisara yang seakan resah.

“Kau tak suka tak penting. Yang penting aku suka.” Ucap Nashriq lalu segera membawa pakaian tersebut ke kaunter bayaran. Dari dompet duitnya dikeluarkan sekeping MasterCard.

Duha Maisara terpinga-pinga. Memang cari nahas aje dia ni. Cakaplah siang-siang dia yang nak bayar. Buat nafas aku sesak aje, rungut Duha Maisara di dalam hati. Namun dia gembira dengan pakaian yang dipilih oleh Nashriq. Memang cantik! Meskipun belum digayakan pada tubuhnya, tapi dia sudah tidak sabar mahu memakainya.

“Agak-agak baju ni muat tak dengan kau?” Tiba-tiba Nashriq berpaling ke arahnya. Wajah lelaki itu nampak serius memandangnya. Duha Maisara tercengang. Alamak, janganlah pula dia tukar fikiran sedangkan aku memang suka dengan baju ni.

“Kenapa encik?” Gadis di kaunter itu bertanya. Mujurlah kad kredit lelaki itu masih belum di swipe. Jika tidak jenguh dia hendak berkira.

“Miss, you rasa dress tu sesuai ke untuk perempuan yang pregnant dua bulan?” Tanya Nashriq tiba-tiba. Gadis di kaunter itu tercengang. Wajah Duha Maisara sudah merah padam. Dia tidak sangka, Nashriq masih belum puas memperolok-olokkannya.

Lelaki itu ketawa kecil sambil merenungnya. Entah kenapa, wajah Duha Maisara yang malu-malu begitu, membuatkan dia benar-benar suka menatap wajah itu.

******

Seperti yang dijanjikan, malam itu Duha Maisara hadir di samping Nashriq yang nampak bergaya dengan suit hitamnya. Makan malam itu diadakan di ruang makan hotel berkenaan. Sesekali apabila terlihat kelibat orang-orang yang dikenalinya, membuatkan Nashriq terpaksa meninggalkan Duha Maisara bersendirian untuk bertegur sapa dengan kenalannya.

Duha Maisara termenung sendirian. Dia sebenarnya tidak kenal sesiapa pun di situ. Tapi demi tugas, dia harus berada di samping lelaki itu untuk menemaninya. Lama mata Duha Maisara terpaku pada wajah Nashriq yang masih rancak berbual. Sesekali mata lelaki itu mencari-cari wajahnya di sebalik kelibat orang ramai. Duha Maisara hanya mampu tersenyum, membalas pandangan mata Nashriq yang seakan tidak mengizinkan dia pergi jauh.

Aneh! Dulu dia terpaksa menemani lelaki itu kerana wang. Tapi kini pula kerana tugasnya sebagai pembantu Nashriq. Kadang-kadang dia rasa seolah dia masih bermimpi dipertemukan semula dengan lelaki itu. Lelaki yang dirinduinya sejak lama dulu. Kerana rindunya, dia terpaksa menolak cinta lelaki sebaik Zafran. Kerana rindunya juga, perasaan bencinya pada keluarga yang telah membuatkan ibunya menderita, dibuang jauh-jauh. Anehnya rindu ini terus hadir tanpa dia sedar, tanpa dia pinta.

“Hi, I can’t believing my eyes. Is that you again?” Suatu suara menegur Duha Maisara yang asyik termenung. Serta-merta lamunannya terputus entah ke mana. Dia menoleh. Terkejut Duha Maisara apabila melihat lelaki berketurunan India yang dijumpai dalam penerbangannya tadi, kini sudah singgah di hadapannya.

...bersambung

Bab akan datang:

Apa yang lelaki itu buat disitu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience